Risiko yang sangat digeruni semasa melahirkan anak adalah mengalami pendarahan selepas bersalin. Inilah yang berlaku apabila dua pakar obstetrik meninggalkan pesakit hanya untuk minum sehingga menyebabkan wanita tersebut mengalami pendarahan kritikal sebelum meninggal dunia.
Lebih membawa padah adalah, Mahkamah Tinggi di Petaling Jaya, Selangor memerintahkan pusat bersalin itu membayar RM6 juta kepada keluarga si mati.
Baca juga: Dr Imelda ‘Dedah’ Sindrom Ekstrem Bayi Satu Mata & Tanpa Hidung Berlaku 1 Dalam 100,000 Kelahiran
WANITA ALAMI PENDARAHAN SELEPAS BERSALIN MAUT GARA-GARA DOKTOR ‘MINUM’ SEKEJAP
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Mendiang M Punita yang berusia 36 tahun meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa Punita yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun memberi jaminan pesakit yang berusia 36 tahun itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit, walaupun tidak mempunyai kelayakan dan pendaftaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Malah, Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
IBU PUNITHA YANG LIHAT ANAK ALAMI PENDARAHAN!
Tragis sekali apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas.
“Kedua-dua doktor terbabit tidak hadir pada saat kritikal ini. Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang,”
Doktor HTAR menyifatkan keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan, berikutan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC). Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin. Norliza juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH,”
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit. Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakiman,”
Hakim juga mengecam doktor kerana ‘tidak menghiraukan’ keadaan si mati.
“Dalam kes ini, seorang ibu muda meninggal dunia selepas bertungkus-lumus melahirkan anaknya. Selepas bersalin, dia terpaksa menahan kesakitan yang tidak terbayang sebelum dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Ketika dihantar ke HTAR, ibu muda itu sudah berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, sehingga pihak hospital ‘mengisytiharkan kematian’ ibu malang ini.
“Peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, dan tidak meninggalkannya dalam jagaan jururawat, sementara Dr Ravi keluar minum. Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat,” tambahnya.
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati; RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Baca juga: Senarai Harga Pakej Bersalin C-Section Di 8 Buah Hospital Dalam Malaysia, Cecah Belasan Ribu!
Sumber: Berita Harian