Nur

Jangan Pandang Ringan Hukum Anak Susuan Dalam Islam. 7 Perkara Mesti Faham

1.2K
SHARES

“Iffa sekarang dah kurang menyusu dan aku pun cadang nak berhentikan susu sebab dah 2 tahun umurnya. Tapi, masih banyaklah stok susu lebih ni. Bagus juga kalau aku dermakan kat anak buah aku. Susu ibu kan berkhasiat.”

Dengan pelbagai kemajuan teknologi zaman kini, penyusuan ibu semakin diterima ramai dan ianya dapat dipermudahkan. Di samping itu, penggunaan media sosial juga memainkan peranan dalam menyebarkan ilmu dan kesedaran tentang kepentingan susu ibu. Tapi, adakah kita menyedari tentang hukum anak susuan dalam Islam?

Di sini, kami ingin berkongsikan kupasan isu berkaitan hukum anak susuan oleh Puan Masturah Abu Bakar, seorang pendidik dan juga pemegang Ijazah Undang-undang Syariah di Universiti Malaya beserta sudut pandangan beliau sebagai ibu kepada 2 orang anak.

Mari ikuti selanjutnya.

7 Isu Berkaitan Hukum Anak Susuan Dalam Islam

Saya mengambil perhatian beberapa isu tentang susu ibu berikut penjelasan oleh Mufti Wilayah Persekutuan melalui Bayan Linnas Siri 70: Isu Berkenaan Ibu Susuan & Pelbagai Hukum. Ringkasan ini bertujuan memudahkan masyarakat awam memahami isu berkaitan penyusuan dan rumusan daripada ulasan terperinci dan mendalam oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Isu 1: Mahram

Apakah kesan memberikan susu ibu kepada bayi yang bukan anak kandung?

Jawapan:

Pemberian susu kepada anak susuan memberikan kesan kepada hubungan kekeluargaan iaitu golongan yang haram dikahwini termasuklah:

  • Ibu susuan ke atas (nenek dan sebagainya).
  • Anak perempuan ibu susuan dan ke bawah.
  • Saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.
  • Ibu saudara sebelah bapa dan ibu saudara sebelah ibu, sekalipun jauh hubungan persaudaraannya.
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa, seibu atau sebapa.
  • Anak perempuan kepada saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.

Melalui senarai ini boleh difahami bahawa kesan mahram sangat serius sebagaimana hubungan dengan ibu kandung.

Oleh itu ada beberapa perkara yang perlu diteliti oleh ibu susuan dan ibu bapa bagi anak susuan iaitu:

1. Perlulah ibu bapa anak susuan mengenali ibu susuan dengan rapat. Tidak semestinya selalu berjumpa. Buat rutin ziarah sekali atau dua kali setahun terutamanya ketika keluarga yang ramai berkumpul supaya dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat.

2. Ibu bapa anak susuan perlu menceritakan dengan terperinci hubungan anak mereka dengan ibu susuan. Silaturrahim perlu disambung sehingga anak dewasa supaya tidak berlaku kekeliruan sehingga menyebabkan anak terkahwin dengan mahram sendiri.

Isteri sembunyikan daripada suami

Foto Kredit: in-islam.com

Isu 2: Pergaulan

Soalan: Bolehkah bergaul dengan anak susuan?

Jawapan: Semua perkara yang halal di kalangan keluarga kandung adalah halal kepada keluarga kerana susuan.

Contoh:

  • Melihat saudara perempuan susuannya, sebagaimana saudaranya sendiri.
  • Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan.
  • Bermusafir dengannya melebihi tiga hari.

FotoKredit: angsanacare.org

Isu 3: Syarat Menjadi Anak Susuan

Soalan: Apakah syarat seseorang bayi menjadi anak susuan?

Jawapan: Terdapat 2 syarat untuk membolehkan seseorang itu menjadi anak susuan yang sah menurut syarak iaitu:

1. Umur bayi belum mencapai 2 tahun. Sekiranya sudah mencapai 2 tahun tidak dikira sebagai anak susuan.

2. Kanak-kanak itu disusu kenyang sebanyak 5 kali yang berasingan. Sesuatu penyusuan itu dianggap berasingan atau tidak berdasarkan pandangan umum. Jika anak tersebut berhenti menyusu kerana kenyang, ia dianggap sebagai sekali susu. Tetapi, jika anak itu berhenti menyusu kerana bermain-main seketika dan kemudian menyusu semula atau bertukar payudara, maka ia juga dianggap sekali susu sahaja.

Dikira sebagai satu susuan adalah apabila bayi tersebut menyusu dan kemudiannya melepaskan dari susuan atas pilihannya sendiri (kerana telah kenyang) tanpa ada gangguan yang mendatang.

Terdapat khilaf dalam kalangan ulama tentang bilangan kenyang. Namun tarjih yang diberikan oleh Muzakarah Fatwa ialah hanya 4 kali kenyang.

cara buat jus kurma

Foto Kredit: babycenter.com.my

Isu 4: Cara Memberi Susu

Soalan: Bolehkah memberi susu ibu susuan melalui botol?

Jawapan: Majma Fiqh Islami berpandangam perantaraan untuk meneguk susu tidak diambil kira kerana pada pandangan ulama muktabar, `illat (punca) hukum penyusuan ialah sampainya susu ke dalam perut bayi (walau dengan apa jua cara).

Oleh itu apabila susu sampai ke dalam perut bayi melalui perantara seperti botol, sudu, picagari dan sebagainya, cara tersebut juga dikira sebagai memberi susu. Boleh diberi menggunakan cara selain direct feeding namun hendaklah dipastikan bayi diberikan susu tersebut sehinggalah bayi kenyang.

Para ulama telah bersepakat bahawa telah sabit anak susuan dengan hisapan mulut melalui cara yang lain seperti melalui hidung. Cara ini juga dianggap sebagai anak susuan seperti pandangan Dr. Wahbah al-Zuhaili asalkan cukup bilangan kenyang.

Seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan sama ada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadis riwayat Abu Daud:

“Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.”

Petua Nipple Crack

Foto Kredit: themominmemd.com

Isu 5: Bayi Berkeperluan

Muzakarah Fatwa juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.

Sekiranya seseorang bayi memerlukan bekalan susu, syaratnya yang dicadangkan oleh Dr Wahbah Azzuhaili ialah bagi bank susu ialah:

1. Hendaklah susu itu diberikan kepada anak-anak oleh seorang wanita sahaja dan tidak bercampur aduk agar tidak bercampur nasab apabila ia memberikan susu lebih dari lima kali yang mengenyangkan.

2. Hendaklah pihak pengurusan bank susu itu mengeluarkan ‘sijil ibu susuan’ agar ia mengetahui ibu susuan dan saudara susuannya.

Tambahan dari saya, dalam konteks ini, sekiranya beberapa orang sukarelawan mendermakan susunya kepada seorang bayi, hendaklah ibu bapa bagi anak tersebut melakukan perkara berikut:

1. Keluarkan surat hitam putih khusus yang menyatakan bahawa anak mereka telah menyusu dengan ibu-ibu tertentu. Sekiranya terdapat 5 sukarelawan, tulislah 5 surat untuk 5 sukarelawan secara berasingan.

*Contoh surat seperti di bawah.

PERKARA: HUBUNGAN ANAK DAN IBU SUSUAN

Dengan ini saya (nama) bapa dan (nama ibu) ibu kepada bayi bernama (nama bayi) telah memastikan anak kami telah cukup bilangan kenyang iaitu empat kali dengan menggunakan susu ibu yang telah diberikan secara sukarela oleh (nama ibu susuan).

Mengikut hukum syarak, (nama ibu susuan) telah menjadi ibu susuan kepada anak kami.

Kami memahami kesan hukum daripada pemberian susu ibu oleh ibu susuan dan akan berusaha memastikan hubungan silaturrahim anak kami dengan ibu susuan sebagaimana hubungan keluarga kandung.

TANDATANGAN BAPA

TANDATANGAN IBU

TANDATANGAN IBU SUSUAN

*Perlu dokumen berikut sebagai simpanan:

  • Salinan surat beranak/mykad bayi
  • Salinan kad pengenalan ibu dan ayah kandung serta ibu susuan.
  • Gambar keluarga ibu susuan

2. Asingkan dan tag botol/plastik susu mengikut nama sukarelawan. Hal ini penting untuk memastikan bayi telah cukup bilangan kenyang dengan susu sukarelawan tertentu.

3. Walaubagaimanapun, lebih baik mempunyai seorang ibu susuan (sukarelawan) sahaja untuk menjaga maslahah yang lebih besar iaitu nasab dan keturunan.

Simpanan untuk susu perahan sangat penting

Isu 6: Susu Dihantar Melalui Kiriman

Soalan: Bolehkah susu ibu dihantar melalui kiriman ekspres, kiriman bas atau pos?

Jawapan: Boleh sekiranya syarat menjadi anak susuan telah dipastikan dengan teliti dan ditepati. Kedua-dua pihak juga harus mencermati hubungan kekeluargaan sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Isu 7: Keperluan Mendesak

Soalan: Bolehkah memberikan susu ibu tanpa keperluan mendesak?

Jawapan: Ulama fiqh berpendapat seorang perempuan MAKRUH menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak.

Saya percaya pemberian susu ibu yang dilakukan hari ini oleh sukarelawan susu ibu dilakukan disebabkan keperluan mendesak.

Oleh itu perlulah diberi susu ibu kepada anak susuan dengan mencermati hukum yang berkaitan penyusuan ibu menurut syarak.

hukum anak susuan

Foto Kredit: kellymom.com

Hukum Anak Susuan Perlu Dititikberatkan

Terdapat uslub untuk mendidik dan menegur amalan orang awam yang berkaitan dengan hukum hakam. Sama ada bertepatan dengan syarak atau bertentangan, hukum asas perlu dijelaskan terlebih dahulu. Kita pendakwah, bukan penghukum.

Saya sokong penyusuan ibu.

Masturah Abu Bakar

*Penulisan asal tentang hukum anak susuan oleh adalah oleh Puan Masturah Abu Bakar ini diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk pertanyaan dan lebih banyak perkongsian, follow Facebook beliau di sini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×