Pantang

9 Kesilapan Yang Selalu Dibuat Semasa Berpantang Sendiri. Elakkan!

11.8K
SHARES

“‘Apa nak buat, Mak bukannya sihat sangat nak jaga aku. Nanti menyusahkan mereka pula. Kalau menumpang rumah mertua rasa segan pula sebab suami tak ada sekali. Terpaksalah aku berdikari dan berpantang sendiri.”

Sebagai insan terpilih, usah cemburu pada mereka yang boleh balik kampung untuk berpantang atau bawa Mak datang untuk menjaga anda di rumah. Atas desakan kehidupan masa kini, sebenarnya makin ramai yang berpantang sendiri – dan mereka mampu melakukannya.

Walaupun rejim berpantang yang kita tahu adalah agak ketat dan menyukarkan, tidak semestinya kita perlu mengikutnya 100%. Anda boleh menjadikan amalan berpantang sendiri lebih praktikal dengan mengetahui tips dan memberi penekanan kepada perkara yang penting.

pakej berpantang

Foto Kredit: klikdokter.com

9 Kesilapan Semasa Berpantang Sendiri. Jangan Ambil Ringan!

Semasa berpantang sendiri, kita memang ada kecenderungan untuk menjadi ‘malas’ atau ‘mengelat’ kerana tiada siapa yang memantau. Jangan begitu. Walaupun sekarang anda tak merasakan apa-apa kesan, ia mungkin akan menimbulkan masalah pada masa akan datang.

Ini antara perkara yang selalu diambil ringan, elakkan ya!

1. Tak Ada Perancangan

Walaupun berpantang sendiri, anda perlu ada perancangan agar anda mampu mengurus keluarga di samping menjaga kesihatan diri dan bayi.

Pada awalnya, mungkin anda akan mengambil masa untuk mencari rentak, namun tetapkan objektif anda dan utamakan kesihatan diri.

Contohnya, bangun awal pagi supaya anda dapat mengurus diri, memasak, atau bersarapan sambil meminta suami untuk menjaga bayi sebelum pergi ke pejabat. Atau, anda boleh bergilir dengan suami untuk memandikan bayi. Dengan cara ini, anda mempunyai sedikit masa berkualiti untuk diri sendiri.

2. Malas Berbengkung

Bengkung ini bukan saja dipakai untuk mengembalikan kelangsingan, tetapi ia juga mempunyai kelebihan dari segi kesihatan lepas bersalin. Menurut Datin Sharifah Anisah Barakbah, penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, amalan berbengkung dapat mengecutkan rahim yang bengkak serta turut membantu menetapkan kedudukan peranakan daripada ‘jatuh’. Ia juga memperbaiki postur, menghilangkan sakit belakang dan mempercepatkan keluar darah kotor.

Selain itu, kita pun lebih selesa dan yakin untuk bergerak, sekaligus memudahkan proses penyusuan badan.

Sekarang sudah terdapat pelbagai jenis bengkung moden yang dijual di pasaran. Kalau dulu alasannya susah nak pakai yang bertali, kini ada jenis ‘zap on’ atau berzip. Mudah saja. Jadi, jangan malas ya!

pakej berpantang

Foto Kredit: hatchedathome.com

3. Tak Pakai Stokin

Pemakaian stokin sewaktu berpantang juga sering dipandang enteng. Kalau diikutkan petua orang-orang dahulu, memang mereka akan benarkan ianya ditanggal semasa mandi atau ke tandas saja. Alasannya panas, tak selesa, dan leceh.

Seeloknya, ia perlu dipakai setiap masa. Malah, kajian saintifik ada menunjukkan bahawa tidur dalam keadaan berstokin mempunyai banyak manfaatnya untuk kesihatan. Walaubagaimanapun, sebagai ganti stokin, boleh juga memakai selipar lembut yang sesuai dipakai di dalam rumah. Asalkan ada lapik di antara kaki kita dengan lantai.

Amalan ini bertujuan mengelakkan urat kaki kita daripada bersimpul dan mengelak ‘angin’ memasuki badan kita. Bila rasa tak bermaya, pening-pening lalat dan sebagainya, itulah tandanya badan kita dimasuk ‘angin’.

4. Abaikan Kesakitan

Sewaktu berpantang, memang kita akan selalu sakit-sakit badan. Ada beberapa lagi amalan yang amat bermanfaat untuk membantu mengembalikan kesegaran tubuh wanita berpantang seperti bertungku dan berurut. Dengan kedua-dua amalan ini, ia akan mempercepatkan proses pemulihan luaran dan dalaman.

Selain itu, boleh juga ‘request’ dengan bidan untuk urut melancarkan pengeluaran susu badan. Jika tidak, kita boleh demam akibat susu tersumbat atau bengkak susu yang melimpah ruah.

Mereka juga boleh memberi khidmat nasihat jika anda mempunyai masalah berkaitan kesihatan semasa dalam pantang. Bidan dan tukang urut zaman sekarang bukan hanya mengikut adat semata-mata, tetapi kebanyakannya memahami cara hidup moden dan boleh memberi nasihat yang praktikal berdasarkan fakta sains dan hukum agama. Namun, jangan teragak-agak berjumpa doktor sekiranya anda mengesyaki sebarang masalah serius.

Foto Kredit: http://www2.hmetro.com.my/articles/Berpantangcaramoden/Article/

Foto Kredit: hmetro.com.my

5. Makan Suka Hati

Apabila kurang perancangan, anda mungkin cenderung untuk memakan terlalu banyak makanan berproses akibat tak cukup masa. Atau, ada yang terpaksa makan biskut, roti, dan air milo saja sampailah suami pulang dari kerja. Kalau nak masak pun, tak tahu nak masak apa sebab takut ‘pantang’.

Banyak menu berpantang yang telah terpampang di laman web dan blog masakan. Untuk memudahkan, anda boleh print siap-siap menu makanan beserta resipi yang ‘simple’. Jadi, kalau anda tak dapat memasak, suami bolehlah membantu dengan mudah.

Kalau dah tak sempat sangat pun, telefon saja untuk tempahan. Ramai bidan yang menyediakan perkhidmatan begini. Canggih bukan? Tak perlu pening kepala lagi!

pakej berpantang 5

6. Kurang Minum Air

Ada yang berpantang cara lama takut nak minum air. Tapi sebenarnya air kosong sangat penting bagi mengelakkan kita terhidrat. Kalau kurang air, kita boleh terkena sembelit, malah penghasilan susu badan pun boleh terjejas.

Seperkara lagi, minuman berais juga tidak digalakkan. Namun menurut laman web Babycenter, buat masa ini belum terdapat kajian dan bukti yang kukuh mengatakan bahawa ais akan mendatangkan mudarat kepada ibu berpantang. Yang penting, elakkan air manis kerana ia sememangnya tidak menyihatkan.

sakit bersalin normal

7. Sibuk Nak Buat Banyak Kerja

Kalau ikutkan kerja rumah, memang tak pernah habis. Lebih-lebih lagi buat wanita yang ada anak kecil yang perlu dijaga selain bayi.

Jadi, cuba minimakan kerja anda sebanyak mungkin. Contohnya, cukuplah dengan memasak sekali untuk sehari. Sarapan dengan makanan yang mudah seperti roti atau lempeng dan sekalikan lauk tengahari dan malam. Tangguhkan dulu kerja lain yang boleh seperti mencuci baju atau menyapu sampah.

Ini bukannya masa untuk anda menjadi ‘superwoman’ dan penyelamat untuk semua orang. Ahli keluarga tentu memahami keadaan anda.

berpantang sendiri

Foto Kredit: parents.com

8. Selalu Keluar Rumah

Sediakan semua keperluan menyambut bayi dan keperluan diri seperti stok makanan, peralatan mengepam susu, ubat-ubatan, dan sebagainya supaya anda tak perlu lagi keluar rumah semasa berpantang sendiri.

Ada yang menganggap amaran ini kolot, tapi dari saintifiknya ia ada juga kebenarannya. Ini kerana, bayi baru lahir amat sensitif dan mudah terdedah kepada kuman sekeliling. Ibu pula masih belum betul-betul pulih dan terpaksa mengangkut banyak barang untuk keperluan bayi. Bukankah ini akan menyukarkan dan boleh membahayakan?

Namun, menurut laman Web MD tiada salahnya jika anda terpaksa ke hospital untuk urusan bayi. Cuma perlu pastikan bayi berpakaian sesuai dan elakkan tempat awam yang sesak.

bayi kembung perut

Foto Kredit: candgbabyclub.ie

8. Fobia Nak Mandi

Selepas bersalin, ada juga yang fobia untuk mandi. Yalah, badan masih rengat dan luka pun masih belum pulih. Walaubagaimanapun, menjaga kebersihan diri amat penting kerana ia dapat mengelakkan ibu daripada terkena jangkitan.

Untuk memberi keselesaan, mandi dengan air suam dan keringkan badan secepat mungkin supaya tubuh anda tidak terdedah kepada ‘angin’. Anda juga boleh mengamalkan mandian herba untuk membantu proses pemulihan. Kalau dapat bertangas sekali, lagi elok.

pakej berpantang

Foto Kredit: hmetro.com.my

9. Tak Pilih Ubat-ubatan Dengan Betul

Jamu atau vitamin moden terpulanglah kepada individu. Untuk memudahkan tugas anda di dapur, pilihlah jenis yang ‘convenient’ seperti kapsul atau uncang. Kurang kerja, tak perlu menumbuk atau merebus di dapur lagi.

Tapi pastikan yang ianya betul-betul selamat dan berkesan. Ada sesetengahnya boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.

Untuk pertama kali, cuba dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu dan lihat reaksi pada tubuh anda dan bayi. Jika semuanya bagus, barulah boleh diteruskan.

risiko herba tradisional

Foto Kredit: sublimemagazine.com

Jangan Culas

Wanita zaman moden memang serba boleh. Hampir semua perkara mampu diuruskan sendiri dengan efisyen. Tak salah berpantang sendiri, cuma perlu konsisten dan disiplin. Kalau rasa  malas dan culas, tapi masih lagi ingin berpantang sendiri, carilah penyedia khidmat berpantang dan urut selepas bersalin yang boleh ditempah secara online.

Ingatlah, berpantang adalah proses pemulihan tubuh yang amat penting dan akan memberi kesan kebaikan kepada kesihatan jangka masa panjang.

Sebab itulah kalau tengok wanita zaman nenek-nenek kita, mereka masih langsing dan cergas bertenaga walaupun telah lanjut usia dan beranak ramai. Selain pemakanan dan cara hidup, rejim berpantang yang diamalkan sedikit sebanyak dapat membantu kepada faktor tersebut. Jika dibandingkan dengan wanita zaman kita, umur baru 30 pun dah banyak penyakit yang datang.

Pokok pangkalnya, tak mustahil anda boleh berpantang dengan betul walaupun tidak terlalu ekstrem!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×