Asuh

Jangan Sebut 7 Perkara Ini Pada Ibu Yang Kurang Susu Badan

20.5K
SHARES
bayi menggigit

“Eh, kau tak menyusu badan ke? Dulu aku pun ada masalah kurang susu badan tau. Macam-macam cuba, tapi akhirnya berjaya juga habiskan sampai 2 tahun. Hmmm… Tapi, mesti senang sikitlah kalau bagi anak susu formula kan? “

Rasa macam ‘berdesing’ juga telinga kalau dengar orang bagi komen sebegini kan?

Sejak susu badan kembali popular, begitu banyak alatan dan kemudahan yang disediakan untuk membantu proses ini berjalan lancar. Ada pam susu elektrik dan ‘portable’, ‘freezer’ khas untuk menyimpan susu, ‘warmer’, dan macam-macam vitamin untuk membantu ibu yang kurang susu badan. Semuanya nampak mudah sekali.

Namun hakikatnya, tidak semua wanita mampu untuk menyusu badan dengan jayanya. Akhirnya, ada yang terpaksa menghentikan penyusuan badan walaupun bayi baru berusia seawal 1-2 bulan. Tapi, golongan ini sering dikecam dan diperli.

Bayi Sendawa - Kenapa Bayi Perlu Sendawa Lepas Minum Susu?

Foto Kredit: deltadentalilblog.com

Jangan Sebut 7 Perkara Ini Pada Ibu Yang Kurang Susu Badan

Begitu banyak salah tanggapan terhadap ibu yang kurang susu badan dan beralih kepada susu formula. Sebagai seorang wanita dan juga seorang ibu seperti mereka, kita seharusnya lebih sensitif dan cuba berhati-hati semasa memberi pendapat. Ini 7 perkara yang amat sensitif kepada mereka.

1. “Susu ibu kan susu terbaik untuk bayi!”

Rasanya mereka dah sedia maklum bahawa susu ibu adalah susu terbaik untuk bayi. Tak mungkin andalah orang pertama yang memberitahu mereka. Sejak membuat pemeriksaan di klinik lagi, tentu mereka dah diberitahu oleh doktor, jururawat, dan ramai lagi kaum keluarga yang mengambil berat.

Jadi, tak perlulah memberi syarahan dan kepentingan susu ibu kepada bayi. Mereka memahaminya dan sudah cuba melakukannya setakat yang terdaya. Ini hanya akan menjadikan si ibu rasa lebih kecewa dan bersalah terhadap anaknya!

Foto Kredit: sky-t.ru

Foto Kredit: sky-t.ru

2. “Tak bahayakah bagi anak minum susu formula awal-awal?”

Anda mungkin berhasrat menyuarakan keprihatinan dalam mengajukan soalan sebegini. Tapi, ia seolah-olah menunjukkan bahawa ibu yang beri anak susu formula tergamak memberi sesuatu yang bahaya untuk anak yang dikasihi mereka.

Tentunya pasangan tersebut telah membuat ‘research’ yang mendalam dan telah melalui tempoh yang sukar. Ingat, proses ini bukanlah semudah yang anda sangkakan. Kita tak tahu bagaimana ibu itu sendiri menitiskan air mata kerana tidak dapat meneruskan penyusuan badan. Malahan, terpaksa menahan sebak dan rasa bersalah yang bersarang dalam jiwa setiap kali bayi minta disusukan.

tips memilih susu formula

Foto Kredit: tesco-baby.com

3. “Mesti anak selalu sakit-sakit kalau minum susu formula.”

Walaupun ada kajian yang menunjukkan bahawa susu formula boleh menyebabkan alahan, cirit-birit, sakit perut dan kerengsaan, ini bukanlah masanya untuk anda membuat sebarang andaian.

Buat masa ini, mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa bergantung kepada alternatif lain, iaitu susu formula. Maka, hormatilah pendirian ibu tersebut dan tak perlulah kita mempertikaikan pilihan mereka.

Foto Kredit: rcemlearning.co.uk

Foto Kredit: rcemlearning.co.uk

4. “Bukan senang nak menyusu badan sebenarnya. Senanglah kalau bagi anak minum susu formula.”

Tidak, mereka yang beri anak minum susu formula bukanlah ‘mengelat’ dengan mengambil jalan mudah. Menyusu badan atau tidak, setiap wanita yang melahirkan tetap akan melalui tempoh tak cukup tidur, keletihan, dan emosi turun naik.

Pokok pangkalnya, kita tak tahu masalah mereka yang sebenarnya. Kata-kata begini hanya akan membuat mereka patah semangat kerana mungkin mereka masih dalam proses untuk mencuba dan memujuk anak mereka untuk menyusu badan.

Walau apa pun alasan mereka, keputusan untuk memberi susu formula itu bukanlah diambil tanpa rasa bersalah. Sebaliknya, ramai wanita yang berasa ‘gagal’ menjadi ibu yang baik apabila tidak dapat menyusu badan selama tempoh yang dikhususkan.

Foto Kredit: parents.com

Foto Kredit: parents.com

5. “Aku dulu menyusu badan tak adalah susah sangat. Awal-awal tu saja ambil masa sikit nak biasakan diri.”

Jangan sesekali membandingkan keadaan anda dengan orang lain. Mereka tentu dah dengar banyak cerita dan pengalaman yang amat dicemburui!

Percayalah, kalau mereka mampu melakukannya, tentu mereka akan menyusu badan. Sewaktu mereka bersalin, tiada ibu yang pernah terlintas untuk memberi anak minum susu formula.

Jadi, janganlah menambah kepada perasaan bersalah mereka. Ketahuilah bahawa keputusan tersebut amat berat dan meninggalkan kesan yang mendalam buat seumur hidup mereka.

pengalaman bersalin caesar

Foto Kredit: malibuvist.com

6. “Kenapa tak cuba petua yang aku beritahu hari tu?”

Adakah anda fikir mereka akan berdiam diri apabila mengalami masalah? Tentu tidak, bukan?

Bermacam-macam petua, resipi, tips dan pandangan telah diambil kira. Lagi banyak yang mereka dengar, makin bertambahlah rasa kecewa dan stres kerana mereka tidak dapat melakukannya. Malangnya, tiada yang sesuai dan berhasil dengan keadaan mereka.

kurang susu badan

Foto Kredit: krokha.ru

7. “Alahai, kasihan anak kau tak dapat menyusu badan.”

Betapa ‘kasihan’nya anda terhadap anak mereka, tentu mereka sebagai ibu bapa lebih lagi berasa sedemikian. Janganlah ungkapkan keluhan sebegini di hadapan mereka kerana ia boleh menjadikan mereka berasa sangat ‘teruk’.

Mungkin saja mereka suami isteri pernah ‘perang’ besar untuk membuat keputusan ini, mungkin si ibu telah diherdik oleh mertua kerana kurang susu badan, mungkin saja wanita ini telah menangis sepanjang hari kerana tiada setitis pun yang keluar walaupun seharian mengepam dan menyuakan puting kepada si bayi. Sehinggakan, si ibu tak sanggup lagi melihat bayinya kehausan dan kelaparan.

kurang susu badan

Foto Kredit: verywell.com

Jangan Cepat Menghukum

Tanggapan negatif seperti ini perlu dihentikan kerana ia semakin menjadi stigma dalam masyarakat kita.

Dalam Al-Quran sendiri Allah berfirman bahawa walaupun 2 tahun adalah tempoh yang disyorkan untuk menyusu, namun ia tidak diberatkan melainkan menurut kemampuannya.

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya)….”

– Surah Al-Baqarah, ayat 233

Tidak dinafikan bahawa susu ibu adalah susu terbaik untuk bayi. Namun, siapakah kita untuk menghukum mereka ini jika mereka tak mampu melakukannya? Walau apa jenis susu pun yang diberikan kepada anak, percayalah bahawa kasih sayang seorang ibu kepada anaknya tidak pernah berkurang walau sedikit pun.

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×