Sihat

7 Perkara Tentang Penyakit Kawasaki Yang Ibu Ayah Kena ‘Alert’

78.7K
SHARES
penyakit kawasaki

Beberapa hari lalu, beberapa akhbar tempatan dan antarabangsa telah melaporkan bahawa pakar perubatan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memberi amaran pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan peningkatan kes penyakit Kawasaki, iaitu satu penyakit yang jarang berlaku di kalangan kanak-kanak.

Menurut Astro Awani, Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK), Matt Hancock memaklumkan bahawa beberapa kanak-kanak di negara itu telah meninggal dunia akibat penyakit Kawasaki, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan COVID-19.

Selain AS dan UK, Itali juga menunjukkan peningkatan kes penyakit Kawasaki di kalangan kanak-kanak, terutamanya di bahagian yang paling teruk terjejas dengan COVID-19.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain mengeluarkan amaran pertama pada bulan April mengenai peningkatan kecil bilangan kanak-kanak dijangkiti COVID-19 yang ‘mempunyai ciri bertindih dengan sindrom kejutan toksik dan penyakit Kawasaki tidak tipikal’.

Tahukah ibu ayah tentang penyakit Kawasaki ini?

Jom baca lebih lanjut tentangnya di bawah.

7 Perkara Tentang Penyakit Kawasaki Yang Ibu Ayah Kena ‘Alert’

1. Apakah Penyakit Kawasaki?

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail menerusi Positive Parenting, penyakit Kawasaki pertama kali telah dilaporkan pada 1967 oleh pakar pediatrik Jepun, Dr Tomisaku Kawasaki, dan kes-kes pertama di luar Jepun dilaporkan di Hawaii pada 1976.

Secara umumnya, penyakit ini menyebabkan keradangan pada dinding salur darah, terutamanya arteri koronari yang membekalkan darah ke otot jantung.

Lebih kurang 75% pesakit penyakit Kawasaki terdiri daripada kanak-kanak berumur bawah 5 tahun, kebanyakannya lelaki, dan ia penyebab paling biasa untuk penyakit jantung perolehan (acquired) dalam kanak-kanak.

2. Adakah Ia Merbahaya?

Menurut Dr Latif Saad menerusi artikel beliau di laman web The Diagnosa, penyakit ini akan menyebabkan keradangan di seluruh saluran darah dalam badan yang akan mewujudkan simptom-simptom penyakit kawasaki seperti ruam atas badan, mulut yang kemerah-merahan dan juga demam yang tinggi.

Kesan daripada keradangan ini, ia juga akan membunuh sel otot di bahagian salur darah menyebabkan dinding salur darah tersebut menjadi lemah.

Perkara ini akan menyebabkan dinding salur darah yang terlibat membesar seolah-olah seperti belon. Keadaan ini dipanggil sebagai aneurysm.

Darah yang terkumpul dalam Aneurysm pula akan membeku disebabkan struktur salur darah tersebut yang tidak normal hingga menyebabkan salur darah tersebut tersumbat.

Jika salur darah yang tersumbat itu berlaku dibahagian jantung, ia akan menyebabkan serangan sakit jantung pada pesakit.

Oleh kerana itu, kanak-kanak yang menghadapi penyakit ini mempunyai risiko untuk terkena serangan sakit jantung yang lebih tinggi berbanding orang lain.

3. Punca

Penyebab utamanya masih tidak diketahui tetapi ia tidak berjangkit secara langsung.

Namun secara umumnya penyakit Kawasaki ini boleh berpunca daripada 2 faktor berikut:

  • Jangkitan kuman: Secara amnya, dikatakan jika seseorang itu mengalami jangkitan kuman, dia mungkin boleh menyebabkan Penyakit Kawasaki berlaku. Akan tetapi tiada satu kuman spesifik yang dikatakan menjadi penyebab kepada masalah ini.
  • Genetik: Adik-beradik yang pernah mengalami penyakit Kawasaki akan mempunyai risiko 10-20 kali ganda berbanding orang lain
penyakit kawasaki

Foto Kredit: Wikimedia

4. Gejala / Tanda Penyakit Kawasaki

Antara gejala atau tanda penyakit Kawasaki ini termasuklah:

  • demam berpanjangan (antara 38.3-39.4°C yang melebihi 4 hari dan tidak sembuh dengan ubatan demam biasa)
  • nodus limfa (kelenjar) yang membesar
  • kemerahan di mulut, tangan dan kaki, serta kadangkala dengan ruam
  • ‘Strawberry tongue’, iaitu lidah yang kemerahan dan bertekstur seperti kulit strawberi
  • kemerahan pada tempat suntikan BCG
  • konjunktivis, mata merah dan tidak berair
  • kulit terkupas pada hujung jari dan kaki selepas 2 minggu

Menurut Dr Zulkifli lagi, simptom penyakit Kawasaki ini muncul dalam 3 peringkat.

Ia boleh menyebabkan masalah kepada jantung antara 10-14 hari selepas bermulanya simptom pertama.

Sesetengah pesakit mungkin mengalami radang atau sakit sendi antara masa demam berakhir sehingga hari ke-25 penyakit tersebut.

Foto Kredit: My Positive Parenting

5. Rawatan

Sebilangan besar kanak-kanak yang dijangkiti penyakit Kawasaki sembuh dengan sendirinya setelah 4 hingga 8 minggu.

Jika dirawat awal, kebanyakan kanak-kanak pulih dalam beberapa hari.

Menurut portal MyHealth, rawatan untuk penyakit Kawasaki adalah imunoglobulin intravena (diberikan melalui titisan ke pembuluh darah).

Penyakit Kawasaki juga diubati dengan aspirin berdos tinggi untuk mengurangkan keradangan. Dos aspirin akan dikurangkan setelah demam atau radang semakin reda untuk mencegah pembentukan bekuan darah.

penyakit kawasaki

6. Komplikasi

Walaupun kebanyakan kanak-kanak pulih sepenuhnya, terdapat kes-kes terpencil di mana komplikasi berlaku akibat keradangan salur darah menyebabkan dinding arteri semakin lemah lalu menyebabkan aneurisme.

Bahagian lain pada jantung yang mungkin turut terkesan ialah membran yang menyelaputi jantung, injap dan otot jantung.

Bayi menghadapi risiko komplikasi serius yang lebih tinggi. Rawatan awal akan mengurangkan risiko kesan jangka panjang.

penyakit kawasaki

7. Risiko Jangka Masa Panjang

Dari segi kesan jangka masa panjang, mereka yang tidak mempunyai aneurysm koronari dikatakan mempunyai prospek yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang mengalami aneurysm kerana risiko pembekuan darah terbentuk di arteri koronari yang melebar boleh berisiko menyebabkan serangan jantung.

Ada pakar juga berpendapat bahawa penyakit Kawasaki semasa zaman kanak-kanak dikaitkan dengan risiko penyakit jantung yang meningkat apabila dewasa.

Ibu Ayah Perlu Peka, Ya!

Buat masa ini, pakar perubatan kini sedang mengkaji sama ada sindrom itu merupakan komplikasi yang berlaku akibat COVID-19.

Walaupun perkaitan antara penyakit Kawasaki dan COVID-19 ia masih tidak dibuktikan, ibu ayah perlu peka dengan keadaan anak terutamanya ketika mereka demam supaya sebarang risiko dan komplikasi dapat dielakkan seawal mungkin.

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×