Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad berpandangan bahawa Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang dilakukan sejak tujuh tahun lalu dianggap tidak berjaya.
Beliau menyokong agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan sebelum ini dikembalikan semula.
Baca juga: Cikgu Boleh ‘Upload’ Gambar Atau Video Murid Di Media Sosial, Rata-Rata Ibu Bapa Setuju
PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH DIANGGAP TAK BERJAYA
“Pada saya, pelaksanaan PBD selepas 7 tahun berlalu TIDAK BERJAYA seperti yang diharapkan. Ini adalah pandangan peribadi saya selepas meneliti data-data tersebut. Tidak mengapa kalau ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya.
“Oleh itu, saya berpandangan buat masa ini adalah lebih baik UPSR dan PT3 dikembalikan semula supaya kita dapat pulihkan kembali sistem pendidikan negara demi kebaikan anak-anak kita,” jelasnya di laman Facebook.
Tambahnya juga, ini adalah satu keputusan yang tidak mudah kerana ia diibaratkan ditelan mati emak, diluah mati bapa.
“Ini adalah satu keputusan yang bersifat memilih yang buruk daripada yang terburuk. Pilihan ini dibuat kerana saya tidak boleh lagi bergantung harap pada pelaksanaan PBD yang tidak jelas hala tuju dan keberkesanannya.
“Saya juga faham jika ada pihak bertegas dan merasakan pentaksiran UPSR dan PT3 tidak sebaik amalan PBD. Saya faham. Tetapi mereka juga harus faham, keputusan saya untuk menyokong supaya kita kembali kepada UPSR dan PT3 adalah kerana selepas 7 tahun PBD dilaksanakan sejak 2017, PBD telah gagal berfungsi secara berkesan di negara ini,” katanya.
Data -data kemerosotan murid dalam PISA 2022, angka keciciran 3M di sekolah rendah sehingga sekolah menengah serta data pencapaian Matematik yang rendah dalam SPM 2022 dan 2023 membuatkan beliau menyokong keputusan untuk kembalikan UPSR serta PT3.
Anuar menyatakan bahawa kegagalan PBD di negara ini berpunca dari perancangan dan persiapan ekosistem yang kurang berjaya.
Jika ekosistem PBD bersedia sejak 2017, sudah pasti PBD akan berjaya seperti mana kejayaan PBD di negara Eropah dan Scandinavia. Malangnya, ekosistem kita belum bersedia untuk laksanakan PBD.
“Saya tidak mahu anak-anak kita berterusan menjadi ‘mangsa’ kecelaruan PBD. Maka, saya harus berani memilih setelah menimbang semasak-masaknya. Pada saya, kembalikanlah UPSR dan PT3.
“Pada masa yang sama, jika masih berhajat pada PBD, rancanglah sebaiknya ekosistem PBD untuk dilaksanakan pada masa depan. Tetapi buat masa ini, cukuplah. Sudah tujuh tahun lamanya saya memberi sepenuh harapan pada PBD. Akhirnya kecewa,” ujarnya.
Baca juga: 4 Subjek Utama Adik-Adik Kena Skor Waktu SPM, Markah Merit Tinggi & Senang Masuk Universiti
Sumber: Facebook Anuar Ahmad