Sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap 8 Mac, kali ini Sirap Limau memaparkan kisah inspirasi seorang wanita bernama Nora AlMatrooshi menjadi wanita Islam keturunan Arab pertama yang lulus latihan angkasawan oleh Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat.
Ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan kerana bukan senang dalam kalangan wanita beragama Islam dapat melepasi latihan ini selari dengan menjaga batas sebagai seorang Muslim.
Baca juga: Pertama Dalam Sejarah, Penerbangan Air India Hanya Bawa Krew & Jemaah Haji Wanita Sahaja!
WANITA ISLAM PERTAMA TAMAT LATIHAN ANGKASAWAN
Nora Al-Matrooshi yang berusia 30 tahun yang bersedia untuk dihantar ke angkasa berkata, beliau masih ingat pelajaran di sekolah rendah mengenai angkasa ketika gurunya menunjukkan perjalanan olok-olok ke permukaan bulan, lengkap dengan pakaian untuk angkasawan.
Menjadi inspirasi ramai kerana beliau memakai tudung/hijab dan menjaga batas aurat menjelaskan, penyelidik NASA membangunkan produk bagi membolehkannya menutup rambut ketika memakai sut angkasa dan topi keledar agensi itu, yang dikenali secara rasmi sebagai Unit Mobiliti Ekstravehikular (EMU).
“Sebaik sahaja anda memakai EMU, anda memakai topi (komunikasi) (dilengkapi dengan mikrofon dan pembesar suara), yang menutup rambut,” katanya.
Katanya, cabaran yang dihadapi untuk menanggalkan tudungnya, sebelum memakai topi komunikasi berkenaan. Apa yang merumitkan lagi ialah bahan atau jenis kain tertentu yang dibenarkan secara khusus boleh dipakai di dalam EMU.
Bagi membantu beliau menjalani latihan dengan mudah dan menjaga aurat, pereka sut akhirnya menjahitkan tudung sementara untuk Nora dan boleh memakainya, sebelum menggunakan topi komunikasi. Walaupun ketika itu topi sudah ditanggalkan tetapi rambutnya tetap terlindung. Ini merupakan tindakan yang sangat dihargai oleh Nora dan menjaga batasnya sebagai seorang beragama Islam.
MISI HANTAR MANUSIA KE BULAN 2026
NASA merancang untuk menghantar manusia ke bulan pada 2026 untuk misi Artemis 3.
“Untuk menjadi seorang angkasawan memang sukar, tidak kira apa agama atau latar belakang anda. Saya tidak fikir menjadi seorang muslim menjadikan tugas ini lebih sukar. Menjadi seorang Muslim menyedarkan saya mengenai sumbangan nenek-moyang saya, ulama dan saintis Islam sebelum saya yang mengkaji bintang.
“Saya menjadi seorang angkasawan hanya meneruskan tugas mereka memulakan misi ini beribu-ribu tahun yang lalu,” kata Nora.
Sebelum menyertai misi latihan ini, Nora ialah seorang jurutera mekanikal yang pernah bekerja dalam industri minyak, menjadi seorang daripada dua calon angkasawan yang dipilih oleh Agensi Angkasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2021 untuk menyertai latihan dengan NASA.
Selepas dua tahun bekerja keras termasuk berlatih di angkasa, beliau bersama rakan senegaranya Mohammad Al-Mulla dan 10 yang lain dalam latihan itu layak menjadi angkasawan.
Walaupun Nora yang pertama menamatkan pengajian dari NASA, wanita Arab lain turut menyertai misi angkasa lepas secara persendirian, termasuk penyelidik bioperubatan Arab Saudi, Rayyanah Barnawi, yang terbang dengan Axiom Space ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tahun lalu, dan jurutera Mesir-Lubnan, Sara Sabry, seorang kru dalam penerbangan suborbital Blue Origin 2022.
*Tahniah diucapkan kerana berjaya membanggakan kaum wanita dan umat Islam sedunia!
Sumber: X @Astronaut_Nora, Sinar Harian