Seorang mangsa kes penculikan kanak-kanak yang terjadi baru-baru ini, berjaya diselamatkan oleh pihak polis apabila tujuh individu termasuk dua wanita telah diberkas pada 18 November lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa menyatakan anaknya yang berusia 15 tahun itu keluar rumah pada jam 4 petang dan tidak pulang sehingga jam 6.30 petang.
Baca juga: Pelakon Aiman Hakim Diarah Masuk Penjara Gara-Gara Makan Coklat Anaknya! Apa Cerita?
KES PENCULIKAN KANAK-KANAK USIA 15 TAHUN BERJAYA DISELAMATKAN
Beliau berkata, bapa mangsa cuba menghubungi telefon bimbit anaknya, namun menerima pesanan suara yang menimbulkan persoalan mengenai keberadaan mangsa.
Ekoran itu kata beliau, bapa mangsa telah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anak gadisnya itu.
“Pesanan suara yang diterima meminta pengadu untuk mengambil mangsa di kawasan Subang dan anaknya ketika itu bertengkar dengan seorang lelaki dipercayai suspek.
“Menerusi lokasi kedudukan mangsa yang dihantar, bapa kepada remaja perempuan itu telah ke lokasi diberikan tetapi mangsa tiada di kawasan terbabit.
“Pengadu seterusnya menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan suspek akan melepaskan mangsa di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya lagi, bapa mangsa ada menyatakan kepada suspek untuk membuat laporan polis dan tindakan itu menyebabkan suspek mengugut mahu menjual mangsa serta meminta membayar ganti rugi jika hendak pulangkan gadis tersebut.
Baca juga: Bayi Termakan Najis Tikus, Ibu Luah Rasa Bimbang & Mohon Doa Daripada Semua!
Suspek berusia 15-19 tahun berjaya diberkas
Kemudian bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah membuat serbuan di sebuah pangsapuri di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 18 November jam 11 malam.
Dalam serbuan itu, katanya, polis berjaya menyelamatkan mangsa dalam keadaan selamat dan menahan tiga suspek lelaki serta dua wanita berusia 15 hingga 19 tahun.
Beliau berkata, menerusi serbuan pertama itu, tangkapan susulan dibuat pada 19 November jam 1.10 pagi di pekarangan Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.
Kata beliau, dua suspek lelaki berusia 16 dan 18 tahun telah ditangkap dalam tangkapan kedua itu. Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana mengambil atau memikat kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun ke bawah tanpa kerelaan penjaga yang sah,” ujarnya.
Tambahnya, permohonan reman telah dibenarkan selama sehari terhadap empat suspek berusia 18 tahun ke bawah, manakala suspek lain direman selama empat hari sehingga 22 November lalu.
Katanya lagi, semua suspek telah dijamin dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut untuk tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian / Google