Lahirnya seorang bayi di dunia ini maka turut bergemalah tangisannya melambangkan telah selamat menghirup udara yang sama dengan ibu yang melahirkan. Namun, ada beberapa situasi menyaksikan bayi tidak menangis ketika lahir dan ini membuatkan ramai dalam kalangan ibu tertanya-tanya.
Adakah normal bayi tidak mempunyai tangisan pertama atau ini melambangkan tanda-tanda bahaya? Berikut merupakan penjelasan dari sudut medikal dan Islam.
Baca juga: Bayi Menangis 1 Jam Ketika Sleep Training, Ibu Sangka Senyap Tanda Berjaya Rupanya Dah ‘Pergi’
TERKEJUT! KENAPA BAYI TIDAK MENANGIS KETIKA DILAHIRKAN?
Menurut penjelasan dari Helo Sehat, bayi yang normal selalunya akan menangis dalam masa 30 saat hingga 1 minit pertama selepas kelahirannya. Semasa dilahirkan, bayi akan segera menyesuaikan diri dengan dunia luar dan menghirup udara buat pertama kali. Proses inilah yang mencetuskan respons bayi dengan mengeluarkan suara tangisan.
Ketika masih di dalam rahim, bayi mendapat oksigen melalui plasenta. Ini kerana paru-paru dan organ lain masih dalam proses perkembangan sehingga mencapai tahap sempurna ketika bayi lahir. Selain itu, paru-paru bayi mengandungi cecair amnion (air ketuban) yang melindungi bayi semasa dalam kandungan.
Air ketuban kadangkala masih tersisa di paru-paru bayi ketika tiba waktu kelahiran. Keadaan ini berisiko menyumbat sistem pernafasannya. Dalam keadaan tersebut, tangisan bayi dapat membantu membersihkan lendir yang tersisa di paru-paru bagi memudahkan laluan masuk dan keluar oksigen.”
Menurut kajian dalam jurnal Pediatrics, bayi yang tidak menangis ketika lahir boleh terjadi akibat adanya gangguan pada pernafasan bayi. Hasil kajian menunjukkan, daripada jumlah bayi yang diperhatikan, 5.2% bayi yang tidak menangis juga sudah tidak bernafas semasa lahir.
Berikut beberapa penyebab bayi lahir tidak menangis:
1.Asfiksia
Penyebab bayi tidak menangis semasa lahir yang paling umum adalah kerana terdapat sumbatan pada saluran pernafasan bayi. Sumbatan tersebut boleh berupa lendir, air ketuban, darah, najis bayi, mahupun lidah yang tertolak ke belakang tekak.
Inilah yang menyebabkan bayi menjadi sukar bernafas sehingga tidak boleh memberikan respons dengan menangis. Dalam dunia perubatan, keadaan ini disebut dengan asfiksia, iaitu saat bayi kekurangan oksigen semasa proses kelahiran.
Merujuk kepada Seattle Children’s, keadaan ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu seperti berikut:
-Masalah plasenta
-Gangguan pada tali pusat
-Ibu mengalami preeklampsia dan eklampsia
-Anemia pada ibu atau bayi.
-Jangkitan serius pada ibu atau bayi
-Tekanan darah tinggi (hipertensi) atau tekanan darah rendah (hipotensi) pada ibu.
-Saluran pernafasan bayi tidak terbentuk sempurna atau tersumbat.
Oleh kerana oksigen tidak sampai ke otak bayi, maka hal ini akan meningkatkan risiko kecacatan, seperti lumpuh otak (cerebral palsy), autisme, ADHD, sawan, hingga kematian.
2.Lahir Pramatang
Bayi lahir pramatang menjadi salah satu penyebab bayi tidak menangis semasa lahir. Ini kerana, organ paru-paru pada bayi pramatang belum berkembang secara sempurna seperti bayi yang lahir cukup bulan. Hal ini disebabkan kerana zat pelindung paru-paru tidak berkembang secara sempurna. Akibatnya, bayi pramatang cenderung mengalami gangguan pernafasan semasa lahir.
TANGISAN PERTAMA BAYI MENURUT ISLAM
Terdapat juga beberapa pandangan mengenai tangisan bayi semasa dilahirkan dalam Islam. Menurut hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnad-nya, bayi yang baru lahir terus menangis disebabkan kerana sentuhan syaitan. Dari Abu Hurairah RA, beliau mengatakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda,
“Setiap anak yang dilahirkan pasti akan disentuh oleh syaitan ketika dia dilahirkan, maka anak itu akan menjerit menangis kerana sentuhan tersebut. Lain halnya ketika Siti Maryam melahirkan anaknya.”
Ada juga hadis yang menyebut bahawa syaitan akan memukul dada bayi yang dilahirkan oleh ibunya sehingga dia akan menangis. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad dari Haitsam, dari Hafsh bin Maisarah, dari Ala, dari ayahnya, dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW.
“Setiap manusia ketika dilahirkan oleh ibunya pasti dipukul oleh syaitan di kedua-dua dadanya, kecuali ketika Maryam melahirkan anaknya. Lihatlah bagaimana jeritan seorang bayi ketika dia dilahirkan.”
Para sahabat menjawab, “Benar sekali wahai Rasulullah SAW.”
Nabi SAW berkata, “Jeritan itu adalah akibat pukulan syaitan di kedua-dua dadanya.”
Dalam hal ini, ada dua bayi sahaja yang tidak menangis semasa lahir. Mereka adalah Maryam binti Imran dan puteranya, Nabi Isa AS, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Setiap manusia yang dilahirkan pasti akan disentuh oleh syaitan dengan jarinya, kecuali Maryam binti Imran dan anaknya, Isa.” (HR Ahmad dalam Musnad Ahmad)
Oleh sebab itulah Islam menganjurkan si bapa mengumandangkan azan dan iqamat bagi bayi yang baru lahir. Anjuran ini bersandar pada hadis yang diriwayatkan Hasan ibnu Ali apabila Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa yang telah lahir anaknya, lalu diazankan pada telinga kanan anak itu dan diiqamatkan pada telinga kirinya, maka anak tersebut tidak akan mudah diganggu jin dan terlepas dari penyakit (yang sering menimpa anak-anak)..”
Wallahu’alam.
Baca juga: “Binatang Pun Sayang Anak”- Bayi Baru Lahir Berbalut Kain Ditemui Dalam Semak Di Belakang Surau
Sumber: Detik Hikmah, Hello Sehat