Baru-baru ini, tular di media sosial satu dakwaan membabitkan seorang wanita Rohingya yang didakwa cuba tukar bayi dengan bayi milik keluarga lain di sebuah hospital.
Perkongsian tersebut pantas menjadi perhatian ramai selepas dimuat naik di Threads, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan rasa bimbang dan marah terhadap dakwaan berkenaan.
Baca juga: Memang Comel Tapi Apa Hukum Pisahkan Anak Kucing Dengan Ibunya? Boleh Jatuh HARAM Kalau…
WANITA ROHINGYA TUKAR BAYI DI HOSPITAL TULAR, INI RESPON KKM

Foto: Threads @nurulnurhidayahhh
Menerusi hantaran yang tular, individu berkenaan mendakwa seorang wanita Rohingya ditempatkan di wad yang sama dengan seorang ibu Melayu.
Menurut dakwaan itu, bayi wanita tersebut dikatakan sering menangis, manakala bayi milik pesakit di katil bertentangan berada dalam keadaan tenang.
Pengguna Threads itu turut mendakwa bahawa ketika ibu kepada bayi berkenaan keluar sebentar untuk menggunakan tandas, wanita tersebut dipercayai mengambil kesempatan untuk menukar bayinya dengan bayi milik pesakit di katil hadapan.
Bagaimanapun, menurut perkongsian itu, tindakan tersebut disedari oleh seorang jururawat yang sedang bertugas sebelum keadaan menjadi kecoh.
Perkongsian itu kemudiannya tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
KKM Ingatkan Orang Ramai Jangan Sebar Dakwaan Belum Disahkan

Foto: Threads @kementeriankesihatanmalaysia
Susulan penularan isu tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Threads rasminya.
Menurut KKM, penyebaran dakwaan sensitif yang belum disahkan, lebih-lebih lagi melibatkan aspek keselamatan bayi, merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
KKM menjelaskan bahawa maklumat yang dikongsi tanpa sebarang pengesahan boleh mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“KKM mengambil maklum akan isu ini. Penyebaran dakwaan sensitif yang belum disahkan, apatah lagi yang melibatkan keselamatan bayi adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.”
“Maklumat yang dikongsi tanpa pengesahan boleh menimbulkan kegusaran dan ketegangan dalam masyarakat. Sebarang isu yang dibangkitkan perlu berdasarkan fakta yang sahih, bukan spekulasi semata-mata.”
Dalam masa sama, KKM turut menggesa orang ramai supaya membuat laporan terus kepada pihak berkuasa sekiranya benar berlaku sebarang kejadian yang mencurigakan atau membahayakan keselamatan.
“Sekiranya wujud kejadian seperti ini, laporkan terus kepada pihak berkuasa.”
Pada akhir kenyataan tersebut, KKM turut mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
Sementara itu, hasil semakan mendapati hantaran asal di Threads yang mengandungi dakwaan berhubung insiden tersebut telah dipadamkan daripada platform berkenaan.
