Apakah cara yang sunnah dan afdal untuk kedudukan tangan ketika bangun dari sujud? Adakah keadaan tapak tangan menyentuh bumi atau mengepal seperti penumbuk?
Ketahui jawapannya dengan lebih lanjut, penjelasan Ustaz Azhar Idrus di bawah.
Baca juga: Cara MANDI WAJIB Untuk Lebih 1 Hadas Besar, Perlu Gabung Niat Ke?
KEDUDUKAN TANGAN KETIKA BANGUN DARI SUJUD
Soalan:
“Ketika bangun dari sujud untuk berdiri ke rakaat seterusnya biasanya saya lihat orang lakukan ialah dengan bertekan kedua tapak tangannya atas bumi untuk bangun.
“Tetapi ada juga saya lihat orang yang mengepalkan kedua tangannya seperti penumbuk ketika bertekan atas bumi sebelum naik dari sujud itu.
“Manakah satu cara yang betul dan sah?”
Baca juga: Kata Ulama, Jaga 3 Perkara Ini Agar Hati Anak Lembut & Tak Biadap Tingkahnya!
Jawapan:
Bertekan tangan ketika bangun dari sujud ke rakaat seterusnya boleh sahaja dengan apa cara jua pun termasuk dengan cara mengepal kedua tangan seperti penumbuk yang disebut dalam soalan.
Tetapi cara yang sunnah dan afdhal ialah dengan meletakkan kedua tapak tangan ke bumi ketika bangun tersebut.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:
يُسَنُّ ( أَنْ يَعْتَمِدَ فِي قِيَامِهِ مِنْ السُّجُودِ وَالْقُعُودِ عَلَى يَدَيْهِ )
وَكَيْفِيَّةُ الِاعْتِمَادِ أَنْ يَجْعَلَ بَطْنَ رَاحَتَيْهِ ، وَبُطُونَ أَصَابِعِهِ عَلَى الْأَرْضِ وَسَوَاءٌ فِيهِ الْقَوِيُّ وَالضَّعِيفُ
Artinya: “Disunatkan bertekan atas dua tangannya pada ketika bangunnya dari sujud.
Dan cara bertekan itu ialah meletakkan tapak tangannya dan batin segala jarinya atas bumi. Dan bersamaan ia pada orang yang kuasa dan orang yang lemah.” (Kitab Mughni Muhtaj)
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari:
(وَ) مَنْ لَهُ (أَنْ يَعْتَمِدَ فِي قِيَامِهِ مِنْ سُجُودٍ وَقُعُودٍ عَلَى كَفَّيْهِ) أَيْ بَطْنِهِمَا عَلَى الْأَرْضِ؛ لِأَنَّهُ أَعْوَنُ لَهُ
Artinya: “Dan bahawa bertekan ia atas tapak tangannya pada ketika berdirinya dari sujud dan duduk yakni batin kedua tapak tangannya atas bumi kerana ia membantu baginya untuk bangun.” (Kitab Fathul Wahab)
Baca juga: Duduk Di Antara Dua Sujud Terselit Doa Yang Tak Disangka, Ini Pengertiannya!
Kesimpulan
Berbalik kepada soalan di mana seorang itu bangun dari sujud dengan mengepalkan kedua tangan seperti penumbuk maka pendapat yang muktamad ialah tidak disunatkan cara demikian.
Dan sebahagian pendapat mengatakan sunat cara yang demikian kerana berdalil dengan hadith Ibnu Abbas r.a. Di sisi jumhur ulamak hadith adalah mereka menganggap hadith tersebut dhaif.
Kesimpulannya, yang afdal ketika bangun dari sujud kepada qiam itu ialah dengan bertekan atas dua tapak tangan ke bumi.
Bertekan dengan gaya seperti penumbuk itu tidak afdal tetapi sah solatnya kerana cara bertekan ketika naik dari sujud bukanlah rukun atau syarat sah solat.
Wallahua’lam.
Baca juga: Hukum Guna Harta Pusaka Si Mati Sebelum Kiraan Faraid!
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
FT Image: CaraSholat.com