Islam muliakan wanita dan Allah SWT serta Rasul sentiasa meletakkan wanita di martabat paling tinggi. Menjadi seorang perempuan yang dipandang mulia di sisi Islam, perlulah menjaga percakapan, tingkah laku, peribadi dan lain-lain.
Terdapat 5 sabda Nabi Muhammad SAW tentang kemuliaan wanita dalam Islam. 5 bukti ini dapat disimpulkan bahawa wanita bukan untuk dikhianati.
Baca juga: Surah At-Taubah Ayat 128 & 129 Rumi, Amalkan Baca 7 Kali Selepas Solat Fardu
5 BUKTI ISLAM MULIAKAN WANITA, BUKAN UNTUK DISAKITI
1. Nabi SAW perintah agar berbuat baik kepada wanita
Daripada Saidina Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
اِسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا، فَإِنَّهُنَّ خُلِقْنَ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِلَعِ أَعْلَاهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا
Maksudnya: “Berlaku-baiklah kepada wanita, kerana sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagian tulang rusuk yang paling bengkok itu adalah yang pada bahagian yang paling atas. Jika kamu berusaha meluruskannya maka ia akan patah, dan jika dibiarkan maka ia akan tetap bengkok. (Oleh yang demikian) bersikap baiklah kepada wanita.” (HR Al-Bukhari, hadis sahih)
2. Nabi SAW anjurkan melayani wanita dengan baik
Rasulullah SAW bersabda:
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ
Maksudnya: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu adalah orang yang menyantuni (melakukan kebaikan) terhadap wanita-wanita kamu.” (HR Tirmizi, hadis hasan sahih)
3. Nabi SAW ada sebut ciri-ciri wanita solehah
Daripada abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang sesuatu:
أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ؟ قَالَ: «الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِها بِمَا يَكْرَهُ»
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, wanita yang manakah yang paling baik?” Maka Baginda menjawab: “Wanita yang menyenangkan hati jika dilihat (suaminya), taat jika diperintah dan tidak bercanggah (dengan suaminya) dalam perkara yang dia benci terjadi pada dirinya (isteri) dan pada harta suaminya.” (HR An-Nasa’i, hadis hasan sahih)
4. Rasulullah SAW santuni anak perempuan
Daripada Ummu al-Mukminin, Aisyah RA, dia berkata:
مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ سَمْتَا وَهَدْيًا وَدَلَّا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ كَرَّمَ اللَّهُ وَجْهَهَا كَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَيْهِ قَامَ إِلَيْهَا فَأَخَذَ بِيَدِهَا، وَقَبَّلَهَا ، وَأَجْلَسَهَا فِي مَجْلِسِهِ، وَكَانَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا قَامَتْ إِلَيْهِ، فَأَخَذَتْ بِيَدِهِ فَقَبَّلَتْهُ، وَأَجْلَسَتْهُ فِي مَجْلِسِهَا»
Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat orang yang paling mirip sifatnya, perilakunya, dan petunjuknya dengan Rasulullah melainkan Fatimah (Allah muliakan wajahnya). Sesungguhnya jika Fatimah masuk kepada Nabi SAW maka Nabi SAW akan berdiri dan mengucupnya dan mendudukkannya di tempat duduk Baginda. Dan (sekiranya) Nabi SAW datang ke (rumah) Fatimah, maka beliau akan berdiri menyambutnya, dan beliau mencium Baginda dan memberikan tempat duduk beliau.” (HR Abu Daud)
5. Nabi SAW minta suami bersabar bila isteri beremosi
Daripada Anas RA, dia berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ بَعْضٍ نِسَائِهِ، فَأَرْسَلَتْ إِحْدَى أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ بِصَحْفَةٍ فِيهَا طَعَامٌ، فَضَرَبَتِ الَّتِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِهَا يَدَ الْخَادِمِ، فَسَقَطَتِ الصَّحْفَةُ فَانْفَلَقَتْ، فَجَمَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَقَ الصَّحْفَةِ، ثُمَّ جَعَلَ يَجْمَعُ فِيهَا الطَّعَامَ الَّذِي كَانَ فِي الصَّحْفَةِ، وَيَقُولُ: «غَارَتْ أُمَّكُمْ» ثُمَّ حَبَسَ الْخَادِمَ حَتَّى أُتِيَ بِصَحْفَةٍ مِنْ عِنْدِ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا، فَدَفَعَ الصَّحْفَةَ الصَّحِيحَةَ إِلَى الَّتِي كُسِرَتْ صَحْفَتُهَا، وَأَمْسَكَ المَكْسُورَةَ فِي بَيْتِ الَّتِي كَسَرَتْ
Maksudnya: “Pernah Nabi SAW berada di (rumah) salah seorang isterinya, lalu seorang isteri (yang lain) mengirimkan satu piring yang berisi makanan, lalu isteri yang Nabi SAW sedang berada di rumahnya itu memukul tangan pembantu (yang membawa piring berisi makanan tadi), maka jatuhlah piring itu dan pecah. Lalu Baginda Nabi SAW mengumpulkan pecahan piring dan kemudian Baginda mengutip dan mengumpul makanan-makanan yang tadinya di dalam piring dan bersabda: “Ibu kamu sedang cemburu.“ (HR Bukhari, hadis sahih)
Semoga bermanfaat dan hargailah semua wanita di sisi anda.
Baca juga: Hukum Solat Terlalu Cepat Macam Keretapi, Nampak Tak Ada Apa Tapi Sebenarnya …
Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun