Sebagai seorang wanita yang sedang hamil, penjagaan diri dari segi kesihatan dalam dan luaran amatlah penting kerana tubuh menjadi lebih sensitif. Khususnya ketika masuk kehamilan trimester ketiga, sangat merisaukan sebenarnya jika ibu hamil demam secara tiba-tiba.
Walaupun dianggap demam akan pulih dalam jangka masa yang singkat, pemantauan dan mencari punca ibu hamil demam perlu dilakukan supaya lebih berjaga-jaga dan dapat rawatan sewajarnya. Jika ibu hamil mengalami demam sehingga mempunyai 5 tanda di bawah, cepat-cepat jumpa pakar ya!
Baca juga: 7 Jenis Makanan Yang Kaya Dengan Asid Folik, Badan Bakal Mommy Makin Subur & Sihat!
IBU HAMIL DEMAM KHUSUSNYA PADA TRIMESTER 3, KENAPA?
Ibu hamil dikatakan demam apabila suhu badannya mencapai 37.5°C atau lebih. Memetik daripada NaÎtre et Grandir, demam dengan suhu badan melebihi 38.5°C dikatakan amat berbahaya untuk ibu yang tengah hamil. Selain suhu badan melebihi 38.5°C, demam ringan yang berlarutan lebih daripada 24 jam juga merupakan sesuatu yang mesti diambil kira, kerana keadaan ini boleh menunjukkan ada jangkitan pada tubuh ibu.
Untuk si ibu hamil dan para suami yang menjaga isteri, sila prihatin dan segera berjumpa doktor jika anda mengalami demam yang sangat tinggi disertai dengan keadaan berikut:
1.Demam yang anda alami diikuti dengan gejala selesema dan berlarutan selama lebih daripada 24 jam, dengan suhu badan (diukur melalui mulut) sekitar 38°C – 38.4°C .
2.Tubuh ibu menunjukkan tanda-tanda dehidrasi, seperti dahaga yang melampau, air kencing berwarna gelap, dan penurunan jumlah pengeluaran air kencing.
3.Demam muncul disertai dengan peningkatan jumlah cecair faraj yang keluar dan mempunyai bau yang tidak menyenangkan.
4.Si ibu rasa sejuk atau menggigil dengan teruk.
5.Demam diikuti dengan penurunan kekerapan pergerakan bayi dalam perut.
Punca demam pada trimester ketiga ini khususnya adalah disebabkan:
1.Listeriosis
Listeriosis adalah jangkitan bakteria yang disebabkan oleh bakteria Listeria monocytogenes. Bakteria ini biasanya terdapat dalam tanah, air dan pelbagai jenis makanan. Jangkitan ini boleh muncul pada sesiapa sahaja, termasuk wanita hamil. Dipetik daripada Kongres Obstetrik dan Ginekologi Amerika, wanita hamil mempunyai risiko listeriosis yang lebih tinggi berbanding biasa. Jangkitan ini boleh menyebabkan komplikasi serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, atau jangkitan pada bayi baru lahir.
2.Covid-19
Demam yang si ibu alami pada trimester ketiga juga boleh disebabkan oleh Covid-19. Penyakit yang digeruni ini disebabkan oleh virus Corona dan merebak dengan sangat cepat. Dipetik dari Mayo Clinic, wanita hamil berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit serius akibat Covid-19. Malah, penyakit ini juga mungkin boleh menyebabkan si ibu terpaksa menjalani rawatan intensif di hospital!
3.Jangkitan saluran kencing
Jangkitan saluran kencing semasa hamil boleh disebabkan oleh perubahan hormon dan juga disebabkan oleh pertumbuhan janin yang akan meningkatkan tekanan pada pundi kencing. Disebabkan inilah yang boleh mengurangkan aliran air kencing sihat yang menyebabkan jangkitan kuman. Jangkitan saluran kencing turut boleh menyebabkan demam pada wanita hamil. Selain itu, keadaan ini juga boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin.
BAHAYA KE DEMAM KETIKA HAMIL?
Nampak seperti tidak ada apa perlu dirisaukan, walau bagaimanapun, jika demam mempunyai suhu lebih tinggi daripada 38.5°C, maka keadaan ini akan menjadi lebih serius.
Ini kerana beberapa kajian menunjukkan bahawa demam dengan suhu badan yang tinggi sering dikaitkan dengan hipertermia. Keadaan ini juga akan meningkatkan risiko kecacatan tiub neural, masalah perkembangan janin, masalah jantung, dan juga keguguran. Oleh itu, si ibu tidak boleh memandang rendah kalau mengalami demam panas semasa mengandung ya!
*Para suami pun tolong tengok-tengokkan isteri ya..
Baca juga: Cara Bertangas Atau ‘Sitz Bath’, Mommy Hamil Pun Boleh Buat Untuk Elak Gatal Di Kemaluan
Sumber: Popmama, Mayo Clinic
Foto: Smart Parenting