40 Minggu

Semua Ibu Hamil Trimester Dua & Tiga Akan Diberikan Vaksin Tdap Percuma Mulai Tahun 2024

13
SHARES
vaksin untuk ibu hamil

Pemberian dan pengambilan vaksin untuk ibu hamil adalah sangat penting bagi melindungi mereka serta bayi dalam kandungan dari sebarang jangkitan virus. Salah satu suntikan vaksin yang boleh diambil adalah vaksin TDAP (tetanus-difteria-pertussis).

Terkini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan dalam satu kenyataan baharu bahawa semua ibu hamil di Malaysia termasuk bukan warganegara akan diberikan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) secara percuma, bermula tahun depan (2024).

Baca juga: Kahwin Dengan Sepupu Berisiko Dapat Anak Lambat Perkembangan, Ini Hasil Kajian!

TDAP VAKSIN UNTUK IBU HAMIL PERCUMA MULAI TAHUN HADAPAN

vaksin untuk ibu hamil

Pelaksanaannya akan bermula setelah urusan perolehan bekalan vaksin Tdap selesai dan bekalan vaksin berkenaan tersedia di kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.

Menurutnya, inisiatif yang melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil pada setiap tahun, bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara

Dr Zaliha menambah, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi berkenaan lahir dan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan.

Hal ini kerana, bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan yang paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan mengalami komplikasi penyakit berkenaan seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian.

Untuk pengetahuan anda, antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan optimum apabila bayi lengkap menerima tiga dos vaksin pertussis yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan apabila berumur lima bulan.

Bagi tahun ini sehingga 23 Ogos, katanya sebanyak 343 kes Pertussis dengan 24 kematian dilaporkan di Malaysia. Daripada 343 kes pertussis yang dilaporkan itu, 173 kes atau 50.4 peratus merupakan bayi berumur bawah lima bulan, manakala daripada 24 kematian yang dicatatkan pula, 19 kematian adalah dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan

Baca juga: Bentuk Perut Mama Ketika Hamil Lebih Kecil Dari Orang Lain, Normal Atau Pelik?

Sumber: AWANI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×