Setiap kali menunaikan solat berjemaah bersama satu keluarga bercampur lelaki dan perempuan, sudah semestinya imam akan melaungkan azan terlebih dahulu. Namun, ada masanya kita sebagai jemaah wanita tertanya-tanya adakah perlu dan apa hukum melaungkan azan apabila solat berjemaah bersama?
Berikut merupakan penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan mengenai situasi ini untuk mengelakkan kekeliruan apabila anda menunaikan solat berjemaah bersama saudara sesama wanita.
Baca juga: Hukum Cium/Pegang Batu Hajar Aswad, Dr. Zulkifli Tegur Untuk Bezakan Perkara Wajib & Sunat
HUKUM MELAUNGKAN AZAN BAGI JEMAAH WANITA
Wanita yang ingin mendirikan solat sama ada secara bersendirian ataupun secara berjemaah disunatkan melaungkan iqamah. Namun, adalah dengan syarat tidak melaungkan suara pada nada yang tinggi iaitu pada kadar suara yang perlahan kerana dibimbangi boleh mendatangkan fitnah. Sementara itu, wanita tidak disunatkan melaungkan azan walaupun ketika mendirikan solat dalam kalangan wanita berdasarkan pendapat yang muktamad.
Pandangan fuqaha mazhab Imam al-Syafi’e yang muktamad menyatakan wanita tidak melaungkan azan ketika berjemaah sesama wanita. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami:
“Disunatkan iqamah bagi jemaah solat wanita, golongan khunsa dan juga yang solat sendirian menurut pendapat yang masyhur. Ini kerana bertujuan untuk mengajak hadirin untuk bangun, maka tidak boleh meninggikan suara dalam jemaah kerana khuatir perkara terlarang yang akan datang. Tidak disunatkan azan menurut pendapat yang masyhur kerana padanya laungan suara tinggi yang dibimbangi menimbulkan fitnah dan menyerupai perbuatan kaum lelaki. Oleh kerana itu diharamkan melaungkan suara jika di situ terdapat lelaki ajnabi asing yang mendengar “ (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa-al-‘Abadi 1/466)
Sementara itu, tidak sah azan dan iqamah yang dilaungkan oleh wanita yang mana wujud bersama mereka jemaah lelaki ajnabi. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Syirbini:
“ Disunatkan bagi jemaah wanita untuk iqamah iaitu salah seorang jemaah wanita yang melakukan iqamah, sekiranya dia solat sendirian maka dia juga melakukan iqamah untuk dirinya. Sekiranya wanita melaungkan iqamah untuk lelaki atau khunsa maka hukumnya tidak sah (tidak azan menurut pendapat yang masyhur) pada keduanya. Hal ini kerana azan wanita yang dilaungkan pada kadar yang kuat dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah dan iqamah dilaungkan bertujuan mengajak hadirin bangun, oleh itu tidak meninggikan suara seperti azan” (Rujuk, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj 1/406)
Jadi sebagai konklusi, setelah meneliti pandangan fuqaha mazhab Syafi’e, wanita disunatkan iqamah sama ada secara bersendirian atau ketika berjemaah pada kadar suara yang perlahan kerana dikhuatiri mendatangkan fitnah. Selain itu, wanita tidak disunatkan melaungkan azan walaupun dalam kalangan jemaah wanita. Sementara itu, tidak sah iqamah dan azan wanita bagi jemaah lelaki.
Baca juga: Ketua Keluarga Wajib Sediakan Satu Fail Faraid Lengkap Dengan 7 Dokumen Ini, Senang!
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Foto: AlHijrah