Setiap kali makan bihun goreng yang dimasak oleh ibu dan makcik-makcik yang jual di gerai atau kafe, mesti akan rasa puas. Hal ini kerana, cara masak bihun goreng yang mereka gunakan adalah sangat ‘pro’ di mana bihunnya tidak putus dan menjadi pendek.
Bukan itu sahaja, disebabkan bihun tidak terlampau lembik dan putus, rasa dalam rencah bihun goreng ini turut menjadi enak dan membuatkan kita teringat-ingat. Oleh itu, bagi anda yang mahu mencuba teknik masak bihun goreng ala-ala makcik ini, boleh cuba perkongsian tips di bawah.
Baca juga: Cara Masak Beras Basmathi Supaya Lembut & Peroi, Ada 4 Pantang Larang Jangan Buat!
CARA MASAK BIHUN GORENG MACAM MAKCIK-MAKCIK, INI TIP BIHUN TAK PUTUS!
Bahan-bahan:
-1 biji bawang merah
-2 ulas bawang putih
-1 sudu cili kisar
-5 sudu sos tomato
-5 sudu sos tiram
-2 sudu kicap
-Kiub pati bilis
-Garam & gula
-Protein seperti ayam atau daging
-Udang (sebab air udang membuatkan lagi sedap)
-Bihun jenama Jasmine
-Sayur
Cara-caranya:
1.Tumis sebiji bawang merah dan dua ulas bawang putih. Potong dadu pun boleh dan kalau rajin boleh tumbuk.
2.Masukkan satu sudu besar cili kisar, kalau nak pedas boleh tambah.
3.Kemudian masukkan 5 sudu sos tomato, 5 sudu sos tiram dan sedikit kicap untuk gelaplan warna cili.
4.Masukkan setengah kiub pati bilis, gula dan garam secukup rasa. Kalau pekat sangat boleh masukkan sedikit air sahaja.
5.Kemudian masukkan bahan protein sama ada ayam atau daging. Masukkan juga udang supaya dapat rasa keenakan air udang.
6.Masukkan bihun yang sudah direndam selama 30 minit dalam air biasa. Kalau nak cepat, boleh rendam dalam air panas selama 5 minit.
7.Masukkan sayur ikut kepada apa yang anda ada dan suka.
8.Inilah yang paling penting untuk tips supaya bihun tak putus. Pertama, air jangan terlampau banyak kerana bihun akan jadi lembik dan mudah putus. Kedua, jangan gaul guna sudip dan hanya guna garfu untuk lerai-leraikan sahaja. Ketiga, kalau bihun masih lagi keras JANGAN TAMBAH AIR! Hanya percik-percik air sahaja ke atas bihun supaya tak lembik.
Siap! Barulah sedap macam makcik-makcik masak kan?
Baca juga: Basuh & ‘Bakar’ Periuk Atas Dapur, Petua Elak Nasi Cepat Basi
Sumber: Nor Farah Atika