Asuh

5 Cara Memuji Anak Dengan Tepat. Jangan Asyik Cakap, “Pandainya!”

2.5K
SHARES

“Wah, pandainya anak Papa ni…!”

Ada sesetengah ibu bapa suka memuji anak setiap kali berpeluang berbuat demikian. Mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan cara ibu bapa kita sendiri memuji kita semasa kecil. Kita menganggap memuji anak boleh membangkitkan semangat mereka.

Tapi, ada pula ibu bapa yang kurang memanjakan anak mereka dengan pujian semasa kecil kerana menganggap pujian ini akan membuat anak kurang berusaha dan meninggi diri.

Maka, apakah cara berkomunikasi dengan anak yang dapat meningkatkan motivasi mereka?

cara berkomunikasi dengan anak

Foto Kredit: smsshopmag.com

5 Cara Memuji Anak Dengan Tepat Dan Efektif

Cara berkomunikasi dengan anak ada tekniknya tersendiri, termasuklah semasa memberikan kata-kata positif atau pujian. Berikut adalah cara memuji anak dengan tepat mengikut ahli psikologi agar mereka mendapat kesan luarbiasa daripadanya.

1. Puji Usaha, Bukan Hasilnya

Perkara pertama yang harus diingat ketika memuji anak ialah puji mengikut usaha yang dia telah tunjukkan, bukan hasilnya. Dengan memanamkan ‘mindset’ ini, anak-anak akan rasa lebih termotivasi meningkatkan potensi diri dan berani mencuba walaupun apa jua hasilnya.

Contohnya:
a) “Pandainya kamu pakai baju!” (Salah)
b) “Mama nampak kamu dah banyak berlatih. Patutlah kamu dah boleh pakai baju tanpa bantuan Mama lagi!” (Betul)

Jika kita sekadar memuji hasilnya, anak akan cenderung kecewa sekiranya mereka tidak mampu melakukan sesuatu dengan baik seperti apa yang mereka harapkan.

Foto Kredit: kukuriku.ru

Foto Kredit: kukuriku.ru

2. Kata-kata Yang Spesifik

Tidak cukup sekadar berkata “Pandainya anak Mama!”, tetapi cara berkomunikasi dengan anak yang betul adalah lebih spesifik. Anak-anak perlu tahu secara terperinci apakah perbuatan yang menyebabkan anda berasa bangga dengannya. Dengan cara ini, mereka dapat belajar dan mengembangkan sesuatu kemahiran dengan lebih baik.

Contohnya:
a) “Wah, cantiknya lukisan kamu!” (Salah)
b) “Wah, Papa suka kombinasi warna biru dan putih pada lukisan langit ini!” (Betul)

Menurut ahli psikologi, anak yang diberi pujian secara spesifik akan belajar untuk meningkatkan usaha yang lebih berlipat-ganda berbanding pujian yang bersifat umum.

Foto Kredit : mibebeyyo.com.mx

Foto Kredit : mibebeyyo.com.mx

3. Puji Dengan Ikhlas / Realistik

Anak-anak sebenarnya lebih sensitif dan intuitif berbanding apa yang anda sangkakan. Jadi, jangan ambil remeh dan elakkan pujian ‘sepintas lalu’ kerana mereka tahu membezakan sama ada anda betul-betul ikhlas atau sekadar mengambil hatinya. Walaupun niat kita murni, anak tidak perlu dipuji setiap masa. Hanya puji mereka pada tempat dan waktu yang tertentu sahaja sudah memadai.

Kita perlu ingat bahawa pujian adalah medium untuk melatih keyakinan anak dan tidak wajar digunakan untuk memanjakan anak. Misalnya, jika dia kalah dalam pertandingan, kita tidak boleh memuji dan mengucapkan tahniah padanya hanya untuk mengelakkannya bersedih. Kita perlu mengajar anak untuk menerima kenyataan dan memberi kata semangat untuk menghadapi kekalahan tersebut.

Seperti tabiat terlebih memuji, memuji tidak kena pada tempat juga mampu memberi kesan buruk pada tahap keyakinan anak.

tips didik anak

Foto Kredit: voiceofsandiego.org

4. Tidak Membandingkan

Secara tidak sedar, ada kalanya dalam pujian kita ada terselit unsur perbandingan yang tidak sepatutnya.

Contohnya:
a) “Kakak memang hebat dapat nombor satu, adik belajar rajin-rajin ya supaya nanti boleh jadi macam kakak.” (Salah)
b) “Kakak dah berusaha dan korbankan banyak masa untuk peperiksaan. Syukurlah dia dah berjaya.” (Betul)

Sebagai anak, kita mesti tidak suka dibandingkan walau apa jua alasannya. Tambahan pula, ibu bapa perlu mengetahui hakikat bahawa setiap individu adalah unik dan tidak mempunyai minat mahupun kebolehan yang sama.

Foto Kredit: lady.day.az

Foto Kredit: lady.day.az

5. Manfaatkan ‘Body Language’

Tahukah anda, salah satu cara memuji yang paling berkesan tidak memerlukan sebarang kata-kata! Ada masanya juga, kata-kata boleh mengelirukan anak dan merumitkan keadaan.

Cukup sekadar senyuman, pelukan, dan mata anda yang bersinar ini memberi makna mendalam bahawa anda amat berbangga dengan anak anda.

Contohnya, anda boleh buat ‘high five’ dengan anak apabila mereka siap mengemaskan mainan. Dan anda boleh memberi senyuman yang paling manis sambil menggosok belakangnya apabila mereka sedang belajar dan menyiapkan kerja sekolah. Mudah, bukan?

Foto Kredit: iqrafoundation.com

Foto Kredit: iqrafoundation.com

Jangan Sampai Anak ‘Ketagih’ Sanjungan

Anak-anak yang terlalu sering dipuji akan hilang rasa keyakinan pada diri sendiri. Bila terlalu biasa dengan kata-kata penghargaan daripada kita, akan terbit suatu perasaan yang dahagakan pujian. Perasaan ini akan membuatkan anak sentiasa mahu mendengar kata-kata pujian dan seterusnya akan sentiasa merasa tidak yakin dengan kebolehan diri.

Rasulullah juga menegah kita untuk terlebih memuji sesama sendiri kerana dikhuatiri akan terbit rasa ujub atau hasad dengki. Sebaliknya, ucapkanlah ‘Alhamdulillah’ dan doakanlah kejayaan mereka.

Sabda Baginda: “Jika salah seorang dari kalian melihat sesuatu yang menakjubkan dari saudaranya, pada dirinya atau pada hartanya, maka doakan keberkatan padanya, kerana sesungguhnya penyakit ain itu haq (benar). (HR Ahmad)

Walau bagaimanapun, pujian adalah antara elemen penting dalam cara berkomunikasi dengan anak. Seteguh manapun anak kita, mereka masih perlukan kata-kata rangsangan daripada kita. Semoga anak-anak ini akan menjadi seorang yang lebih optimis dalam apa jua yang dilakukannya- tidak kiralah sama ada ia membuahkan hasil atau sebaliknya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×