Asuh

Anak Yang Comot Itu Sebenarnya Lebih Sihat Dan Bijak

15.7K
SHARES

“Eh, kenapa baju kotor ni? Kan Mama dah cakap tadi, main elok-elok. Nanti comot macam ni senang kena gatal-gatal tau.”

Sebagai ibu bapa, kita memang cepat saja berasa rimas atau kurang selesa apabila melihat anak-anak bermain kotor. Macam-macam yang difikirkan – takut susah nak basuh baju, risau terdedah kepada bakteria dan khuatir anak selalu sakit.

Realitinya, kini kanak-kanak hanya meluangkan sedikit masa di luar berbanding 20 tahun dahulu, seperti kajian yang dilaporkan oleh Majalah TIME.

Anak Yang Comot Adalah 3 Kali Ganda Lebih Sihat

Yang mengejutkan, para saintis juga mendapati bahawa tindakan menghalang anak daripada meneroka dunia luar ini menjadikan mereka ini adalah 3 kali ganda lebih cenderung menghidapi lelah (asthma), alergi, obesiti dan diabetes kerana kurangnya mikrob yang yang aktif melindungi organ dalaman daripada bakteria.

Ini dibuktikan dengan kajian yang dilaporkan oleh The Daily Mail, di mana 41% anak-anak yang aktif dan bebas daripada sebarang penyakit didapati dibesarkan dalam rumah yang terdedah dengan pelbagai jenis bakteria dan alergen.

Walaubagaimanapun, mungkin di zaman ini ibu bapa menjadi fobia untuk mengambil sebarang risiko. Oleh itu, di sini disenaraikan 5 tabiat ‘kotor’ yang selamat dan patut digalakkan pada anak-anak.

5 Tabiat ‘Kotor’ Yang Patut Digalakkan Pada Anak Anda

1. Meneroka Alam Semulajadi

Semasa pergi ke tepi pantai atau taman rekreasi, biarkan anak menyentuh apa saja yang mereka mahu terokai.

Tak kisahlah sama ada mereka mahu melompat dalam lumpur, memanjat pokok, menangkap serangga, atau bermain pasir. Semua aktiviti ini perlu digalakkan dan ia tidak membahayakan. Sekalipun tanah termasuk ke dalam mulut mereka, jangan panik! Sekurang-kurangnya mereka tahu bagaimana rasa tanah itu dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Anak-anak sebenarnya dilahirkan sebagai pencinta alam, lalu tindakan ini turut memberi peluang kepada anak-anak untuk mempraktis kemahiran motor mereka di samping menjadikan mereka lebih banyak berfikir tentang keajaiban ciptaan Tuhan.

anak selalu sakit

Foto Kredit: justdakhila.com

2. Bermain Dengan Haiwan

Apabila berjumpa haiwan, tanamkan rasa kasih terhadap haiwan tersebut. Jika anak-anak sukakan kucing contohnya, beri peluang kepada mereka untuk membelanya sebagai haiwan peliharaan sejak kecil.

Ternyata, salah satu kajian terbaru membuktikan tanggapan bahawa haiwan peliharaan dalam rumah menjadikan anak selalu sakit adalah salah. Bahkan, ia menjadikan antibodi bayi dan anak kecil lebih kuat berbanding mereka yang tidak membela haiwan.

Selain itu, haiwan peliharaan juga dapat memberi impak positif terhadap personaliti dan keyakinan diri si kecil!

kelebihan bela kucing

Foto Kredit: mamatoga.com

3. Mencipta Resepi

Daripada anda membiarkan anak mencipta resipi dengan ‘play dough’ atau tanah liat, apa kata ajarkan mereka untuk menyediakan makanan sebenar. Beri peluang mereka memecahkan telur, menyukat tepung, memukul adunan, dan seterusnya menghasilkan sebuah ‘masterpiece’.

Jangan takut dapur berkecah kerana itu semua boleh dicuci semula. Tetapi, pengalaman dan peluang yang anda berikan kepada mereka tidak ternilai harganya!

tanda anak bijak

Foto Kredit: daddymindtricks.com

4. Menumpahkan Makanan

Beri peluang anak kecil untuk menyuap makanan sendiri walaupun mereka akan melakukannya dengan begitu comot!

Inilah peluang untuk mereka belajar dan memaksimakan kesemua deria mereka sejak kecil. Biarkan mereka menggunakan jari-jari kecil mereka untuk merasa pelbagai tekstur makanan. Apabila mereka sudah pandai memegang, berikan sudu atau garfu untuk mereka meneroka apa yang boleh dilakukan oleh alatan tersebut pada makanan. Ini adalah salah satu proses pembelajaran juga.

Satu lagi penelitian melalui TODAY.com mendapati mereka yang bermain dengan makanan ini lebih banyak mengetahui jenis makanan dan mereka dapat membezakan makanan berbanding mereka yang tidak berpeluang bermain dengannya.

tanda anak bijak

Foto Kredit: videami.com

5. Menconteng Dan Melukis

Antara yang boleh anda lakukan adalah mengajak anak mewarna pada batu ‘rock painting’, membuat hasil seni daripada daun, ranting kayu, atau apa saja yang mereka suka. Jika di dalam rumah, tampalkan kertas gergasi pada dinding agar pergerakan mereka tidak terbatas semasa melukis.

Jangan hadkan cat dan warna hanya pada kertas. Biarkan mereka bebas untuk melukis dan meneroka imaginasi dengan cara mereka yang tersendiri. Jika takut mereka termakan warna, anda boleh membuat ‘edible paint’ yang selamat untuk dimakan. Mudah saja!

Foto Kredit: theodysseyonline.com

Foto Kredit: theodysseyonline.com

Lebih Comot, Lebih Kreatif!

Selepas ini, jangan terlalu fobia dan mengawal anak daripada melakukan tabiat-tabiat ‘kotor’ ini ya. Semua aktiviti seperti ini sebenarnya banyak manfaatnya terhadap si kecil dalam memacu kreativiti mereka serta mengasah kemahiran fizikal. Seronok pun seronok!

Ibu bapa tidak perlu risau kerana semua aktiviti ini selamat. Namun, jika anak selalu sakit apabila terdedah kepada aktiviti yang dijalankan, bolehlah anda mendapatkan kepastian daripada doktor.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×