“Sikit lagi umur Aisy dah nak masuk 2 tahun. Cadangnya nak cerai susu badan minggu depan. Tapi, macam mana nak buat ya kalau dia masih nak minum susu? Patut ajar anak minum susu guna botol atau cawan?”
Setiap bayi dan anak kecil tentu ada episod tersendiri dengan botol susu masing-masing. Selalunya, ibu yang bekerja telahpun memperkenalkan botol susu kepada bayi sebaik saja mula bekerja untuk mengisinya dengan susu perahan. Ada juga yang menggunakan botol susu untuk mengisi susu formula sebagai susu tambahan kepada anak kecil yang telah bercerai susu badan.
Ternyata, botol susu dan anak kecil memang kelihatan seperti gandingan yang sukar dipisahkan. Jadi, tidak hairanlah ada anak yang dah nak masuk prasekolah pun masih hisap botol. Namun, tabiat ini tidak patut dibiarkan atas beberapa alasan yang penting untuk ibu bapa tahu.
5 Sebab Perlu Hentikan Anak Hisap Botol Susu Sebelum Usia 3 Tahun
Menurut laporan daripada TIME, pakar kanak-kanak mencadangkan usia yang sepatutnya berhenti hisap botol susu adalah 2 tahun. Malah, ramai yang mengatakan bahawa anda boleh mula melatih dan ajar minum susu menggunakan cawan pada usia 18 bulan lagi.
Berikut adalah sebab mengapa anda perlu ajar anak minum susu menggunakan cawan sebelum usianya mencecah 3 tahun.
1. Ia Mengundang Kerosakan Gigi
Walaupun susu formula kini mula memperkenalkan rumusan bebas gula dan sebagainya, namun hakikatnya kesihatan gigi tetap akan terjejas melalui penggunaan botol susu yang berpanjangan.
Menurut laman kesihatan Web MD, Dr Keith T. Ayoob menegaskan bahawa apabila minuman diminum melalui botol susu, asid dan gula akan berada lebih lama dalam mulut lalu mendedahkan anak kepada risiko kaviti. Lebih teruk lagi, jika anak dibiarkan tidur malam dengan menghisap botol susu, badan mereka akan memproduksikan kurang saliva (air liur) yang berfungsi membersihkan sisa makanan semasa tidur.
2. Tabiat Ini Dikaitkan Dengan Obesiti
Sungguhpun susu membekalkan nutrisi yang penting untuk tubuh anak, namun ia juga mengandungi nilai kalori tertentu yang boleh menyebabkan penambahan berat badan berlebihan jika tidak dikawal.
Menurut kajian yang dilaporkan oleh TIME, anak-anak yang lewat diceraikan botol susu selepas usia 2 tahun akan berisiko mengalami obesiti pada usia 6 tahun.
3. Punca Anak Susah Makan
Ada yang beranggapan susu adalah alternatif ‘penyelamat’ jika anak susah makan. Sebenarnya, susu yang diberi berlebihan menggalakkan lagi masalah ‘picky eater’ atau suka memilih makanan.
Ini kerana, kalori yang dibekalkan oleh susu akan menyebabkan mereka berasa kenyang dan kurang berselera untuk memakan makanan ‘sebenar’ pada waktu yang sepatutnya.
4. Risiko Jongang
Orang dulu-dulu selalu cakap, gigi boleh jadi jongang kalau lama sangat hisap puting. Hal ini ada juga benarnya.
Menurut Dr. Wan Salwina Wan Ismail, pensyarah dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, gusi atas akan ‘lari’ dari kedudukan asal dan pertumbuhan gigi menjadi tidak sekata sehingga menyebabkan jongang.
Selain gigi, ia boleh memberi kesan kepada perkembangan otot muka dan bahagian atas mulut yang mungkin memerlukan mereka untuk rawatan ‘braces’ apabila meningkat usia.
5. Mendedahkan Kepada Risiko Jangkitan Telinga
Meminum sambil berbaring adalah tabiat yang boleh mendedahkan anak anda kepada jangkitan telinga.
Apabila minum sambil berbaring, sebahagian susu akan kekal pada bahagian belakang tekak dan memberi ruang kepada bakteria untuk membiak. Seterusnya, bakteria boleh menjangkiti tiub Eustachio di sekitar tekak dan telinga, seperti yang dijelaskan oleh Dr Ayoob.
Lagi Ditangguh, Lagi Susah Berhenti!
Proses ajar anak minum susu menggunakan cawan tentunya akan mengambil sedikit masa. Merujuk kepada ahli terapi kanak-kanak, anak sekitar usia 15-18 bulan akan mula berasa ‘attached’ terhadap perkara yang disukainya. Jadi, anda bolehlah mula memperkenalkan ‘sippy cup’ atau cawan sebagai alternatif sebelum mereka menjadi terlalu ‘sayang’ pada botol susu. Jika anda belum memperkenalkan botol susu pada usia ini, mungkin ada baiknya anda tidak perlu menggunakannya langsung.
Memang, akan datang rasa sebak dan episod ‘tahan air mata’ apabila tak sampai hati tengok anak yang tak boleh tidur dan mencari-cari botol susunya! Tetapi anda perlu kuatkan semangat kerana ia adalah untuk manfaat kesihatan jangka masa panjang si anak itu sendiri.