Tempoh pantang adalah masa yang penting buat ibu untuk memulihkan diri mereka selepas bersalin. Oleh itu, pemakanan mereka sangat dijaga dalam tempoh ini. Untuk memulihkan kondisi badan, ada buah-buahan yang sesuai buat ibu berpantang lepas bersalin.
Seperti umum tahu, buah-buahan mempunyai banyak khasiat yang berguna untuk ibu baru bersalin kerana memiliki pelbagai nutrien. Ikuti perkongsian penulis mengenai 10 buah-buahan yang digalakkan untuk ibu berpantang.
Baca juga: Lepas 3 Hari Bersalin Dah Minum Ais Coklat, Doktor Ini Kongsi Sebab Pilih ‘Pantang Moden’
10 BUAH-BUAHAN BAGUS UNTUK IBU PANTANG AMBIL SELEPAS BERSALIN
1. OREN
Untuk pengetahuan, oren adalah buah yang memberi tenaga dan makanan penyusuan yang sangat bagus untuk ibu menyusu kerana ibu yang masih berpantang memerlukan lebih banyak Vitamin C berbanding ketika hamil.
2. KURMA
Kurma merupakan sejenis buah kering yang sangat berkhasiat untuk ibu lepas bersalin. Ini kerana, Kurma memiliki serat yang tinggi seperti folat, zat besi dan vitamin K. Di tambah pula, ia juga berfungsi untuk memastikan sistem pencernaan berjalan lancar.
3. STRAWBERI
Strawberi kaya dengan vitamin C yang menyokong pertumbuhan bayi terutama ketika menyusu kerana mampu meningkatkan penyerapan zat besi. Apatah lagi, buah ini menjadi kegilaan ramai bagi ibu semasa berpantang disebabkan oleh rasa masam manisnya.
4. EPAL MERAH
Epal merah memiliki kandungan serat yang tinggi seperti Vitamin C, Vitamin A, kalium dan pektin. Kalau nak tahu, pektin adalah prebiotik yang menyokong bakteria baik dalam usus ibu, sekali gus ibu cepat pulih selepas bersalin.
5. KURMA MERAH CINA (JUJUBE)
Kurma merah atau jujube mampu memulihkan tubuh badan selepas sakit atau bersalin kerana mengandungi antioksidan yang sangat tinggi dan berupaya melindungi fungsi hati.
Kalau nak tahu, orang Cina suka ambil buah ini untuk dijadikan sebagai minuman herba selain mengamalkannya dalam amalan berpantang mereka.
6. BUAH TIN (FIG)
Buah ini kaya dengan kalsium, zat besi, potassium dan zink yang sangat diperlukan selepas bersalin. Kalium yang tinggi boleh membantu mengawal pengeluaran darah terutama ibu akan kehilangan banyak darah selepas bersalin.
7. BLUEBERRY
Blueberry kaya dengan mineral dan vitamin K. Malah, buah ini turut bekalkan ibu karbohidrat yang sihat dan mencukupi supaya dapat mengekalkan tenaga maksimum sepanjang hari.
8. ANGGUR
Tahukah anda kandungan nutrien dalam anggur boleh memulihkan badan yang melalui perubahan biologi ketika hamil? Ini kerana anggur memiliki antioksidan yang meningkatkan sistem imun tubuh seperti flavonol, tanin, linalool dan geraniol. Kandungan ini menolong mencegah jangkitan kuman.
9. KISMIS
Sama seperti kurma, kismis juga adalah buah kering yang dihasilkan dari buah anggur. Ia membantu menyumbang tenaga tambahan kepada tubuh ibu kerana mereka telah lalui banyak perubahan ketika hamil dan selepas beranak.
Selain itu, kismis turut membantu menguatkan sistem imun ibu selepas bersalin.
10. PRUN
Untuk pengetahuan anda, beta-karoten dan vitamin A terbukti mampu membantu perkembangan mata dan kulit yang sihat, meningkatkan sistem imun dan penghasilan sel darah merah. Apa lagi yang best, buah prun ini memiliki kedua-dua zat tersebut. Sekali gus menjadikannya sebagai buah kering yang sangat disarankan ketika berpantang.
Buah-buahan di atas bukan sahaja memiliki rasa yang sedap dan manis tapi juga bermanfaat untuk ibu lepas bersalin.
Semoga ibu baru bersalin dapat menjalani tempoh berpantang tanpa sebarang masalah sambil menikmati buah-buahan yang lazat ini.
Sumber: Motherhood.com.my