40 Minggu

10 Makanan Milk Booster Terbaik, Untuk Ibu Menyusu!

9.1K
reads
10 Makanan Milk Booster Terbaik, Untuk Ibu Menyusu!

Milk Booster

Susu ibu mengandungi semua bahan berkhasiat seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air. Malah, nutrien yang terkandung dalam susu ibu dapat membantu melancarkan proses penghadaman bayi. Menyusukan bayi pada awalnya adalah saat paling sukar buat ibu. Anda tidak akan berdepan dengan sebarang masalah sekiranya berjaya melepasi tahap ini. Perkara yang paling dibimbangi para ibu ialah kekurangan susu.

Untuk pengetahuan ibu, susu yang dihasilkan oleh payudara adalah mengikut keperluan bayi. Bayi yang baru lahir mempunyai perut hanya sebesar guli. Jadi ibu tidak perlu bimbang susu badan yang diberi tidak mencukupi. ‘Milkbooster’ boleh didapati daripada pelbagai sumber makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, protein, karbohidrat, produk tenusu dan sebagainya. Di bawah ini disenaraikan makanan atau minuman yang boleh diambil semasa tempoh proses penyusuan.

Lobak putih/merah milkbooster

Lobak putih segar yang ditanam sendiri.

1. Lobak merah/putih

Lobak dipercayai dapat membantu dalam penghasilan susu badan yang banyak terutamanya lobak putih. Caranya ialah dengan diparut dan diperah airnya lalu diminum. Rasanya tidak akan membuatkan anda tersenyum akan tetapi hasilnya mungkin memberangsangkan. Lobak merah pula boleh dimasak sebagai juadah makan tengahari atau malam. Juga boleh dimakan mentah memandangkan rasanya lebih enak berbanding lobak putih.

Sayur bayam hijau yang segar

Sayur bayam hijau yang segar

2. Bayam

Sesetengah ibu tidak mengambil bayam di dalam pemakanan harian kerana terpengaruh dengan pesan orang tua-tua yang mengatakan bayam adalah makanan ‘sejuk’ yang boleh memudaratkan badan ibu yang baru lepas bersalin dan juga dikhuatiri menyebabkan bayi kembung perut. Walaubagaimanapun, bayam punya khasiat tersendiri sebagai ‘milkbooster’. Cubalah dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu dan lihat kesannya.

Basuh bersih-bersih dulu sebelum masak

Basuh bersih-bersih dulu sebelum masak

3. Sawi

Sayur sawi terkenal dengan kepahitannya. Namun begitu, jika mengetahui khasiatnya, anda pasti akan melupakan rasa pahit itu. Selain mengandungi vitamin, sawi juga dipercayai boleh memperbanyakkan susu badan. Ibu yang sedang hamil juga digalakkan untuk makan sawi dengan lebih kerap untuk membantu mengatasi masalah sembelit. Cubalah resepi yang pelbagai untuk sayur sawi ini agar ia menjadi kegemaran seisi keluarga.

Barli yang direbus

Barli yang direbus

4. Barli

Banyak kegunaan barli dalam kehidupan seharian kita. Barli dipercayai dapat membantu menyejukkan badan. Oleh yang demikian, kita disarankan untuk minum air barli sekiranya demam. Tambahan pula, barli juga boleh membantu dalam penghasilan susu badan. Rebus barli sehingga kembang dan minum airnya setelah suam. Boleh juga ditambah sedikit gula untuk mengurangkan rasa payau.

5. Durian

Tidak ramai yang mengetahui keajaiban buah durian di dalam penghasilan susu ibu. Benar. Sesetengah ibu dikurniakan susu badan yang melimpah ruah apabila makan buah durian atau makan makanan yang berasaskan buah durian. Walaubagaimanapun, elakkan dari makan terlalu banyak buah durian kerana durian bersifat panas dan akan membuatkan suhu badan anda meningkat.

6. Anggur hitam

Anggur juga jarang diambil sebagai ‘milkbooster’. Namun, sesetengah ibu menyusu mengakui bahawa anggur hitam mampu menambah susu badan mereka. Kepada yang belum mencuba, silakan. Mungkin anggur hitam berjaya membantu penghasilan susu badan anda. Anda juga boleh mencuba kismis hitam kerana ia dikeringkan dari buah anggur hitam juga.

7. Oat

Bijirin ini adalah antara yang popular di kalangan ibu menyusu sebagai penggalak susu badan. Selain menjadi ‘milkbooster’, oat juga turut membantu dalam penjagaan diet para ibu kerana ianya mengenyangkan dan melawas sistem pembuangan. Oat boleh disudukan bersama air milo atau susu. Kini, oat juga boleh didapati dalam bentuk biskut dan dipek supaya mudah dibawa ke mana-mana. Jadi, ibu-ibu yang sibuk tidka perlu bimbang lagi. Beli sahaja di pasar raya dan bawa beberapa paket di dalam tas tangan anda sebagai kudapan harian.

Adakah Horlicks lebih sedap dari Milo?

Adakah Horlicks lebih sedap dari Milo?

8. Horlicks

Selain oat, minuman horlicks juga dikenali ramai. Malah, rasanya juga sedap dan mengenyangkan. Akan tetapi, harganya sedikit mahal berbanding minuman kesihatan yang lain. Horlicks boleh didapati di kedai-kedai mahupun pasar raya. Ia dijual dalam bentuk serbuk dan dipek ke dalam botol atau paket. Terdapat juga pek horlicks berserta bijirin yang dijual di pasaran. Selain dibeli dalam bentuk serbuk, sesetengah kedai makan turut menyediakan air horlicks di dalam menu minuman mereka.

9. Keju

Oh sedapnya keju! Pasti penggemar keju akan teruja mengetahui hal ini. Keju adalah salah satu hasil tenusu yang sesuai untuk pelbagai kegunaan. Ambillah keju di dalam sarapan anda bersama sandwich. Anda juga boleh memasak makanan berasaskan keju seperti lasagna, makaroni bakar berkeju, membuat kek keju, dan sebagainya. Kini, banyak pencuci mulut dan pembuka selera turut berasaskan keju. Keju memang menyelerakan tetapi awas! Keju mengandungi kadar lemak yang tinggi.

Pastikan madu yang asli

Pastikan madu yang asli

10. Makanan Sunnah

‘Milkbooster’ yang terakhir ialah makanan sunnah. Setiap rumah disarankan mempunyai makanan sunnah. Ia bukan sahaja sebagai penambah susu badan malah mengandungi khasiat yang pelbagai untuk seisi rumah tida kira usia dan jantina. Ibu hamil dan ibu menyusu sangat digalakkan untuk mengambil makanan sunnah ini.

Tiga makanan sunnah yang biasa kita dengar ialah buah kurma, habbatussauda dan madu. Buah kurma boleh dimakan begitu saja atau dikisar bersama kacang badam dan susu untuk menambah susu badan. Terdapat juga jus kurma di pasaran yang telah diproses daripada buah kurma. Habbatussauda atau jintan hitam juga terkenal dengan khasiatnya. Ia boleh dimasukkan ke dalam minuman atau dimakan begitu saja. Manakala madu boleh diambil satu sudu sehari dan dibancuh ke dalam air suam lalu diminum sebaik-baiknya semasa perut kosong. Amalkanlah memakan makanan sunnah ini sekurang-kurangnya sekali sehari.

Kesimpulan

Dengan tersenarainya 10 sumber ‘milkbooster’ ini, maka berakhirlah entri kali ini. Sebenarnya, makanan penambah susu terlalu banyak untuk disenaraikan. 10 sumber ini hanyalah sebahagian daripadanya. Perlu diingat bahawa ‘milkbooster’ adalah bergantung kepada badan masing-masing. Sesetengah sumber makanan sangat membantu dalam penghasilan susu badan seseorang manakala yang lainnya tidak ataupun hanya membantu sedikit. Apa yang penting ialah berusahalah mencari ‘milkbooster’ anda dan ambillah secara konsisten. Pengambilan yang konsisten akan membantu mengekalkan kualiti dan kuantiti susu ibu yang dihasilkan. Walaubagaimanapun, jangan mengabaikan untuk minum air yang banyak setiap hari di samping pengambilan ‘milkbooster’.
Sekian. Semoga bermanfaat!

Gambar kredit: tanamsendiri.com, laman-seri, suteraungu87, sayepunyebelog

Yang Popular

To Top