Antara cabaran bergelar ibu bapa adalah memastikan bayi tidur malam pada waktunya. Ini bukanlah satu perkara mudah kerana boleh menyebabkan tahap kesihatan dan emosi ibu bapa terganggu memikirkan punca bayi tak tidur malam.
Meninjau ke laman media sosial milik Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, beliau ada kongsikan beberapa tips bayi susah tidur malam untuk ibu bapa praktikkan. Menurutnya, teknik 5S yang dikongsikan itu sememangnya dapat membantu si manja tidur lebih awal dan nyenyak.
Baca juga: Risau Anak Kecil Berjam-jam Tengok Telefon, Ibu Ayah Sila Kawal, Jangan Nanti Menyesal!
BAYI SUSAH TIDUR MALAM? BOLEH ATASI GUNA TEKNIK 5S INI
1. Swaddling
Merujuk kepada teknik membedung bayi menggunakan kain supaya lengan dan kaki mereka dalam kedudukan yang ketat.
Ini boleh membantu bayi berasa selamat dan selesa seperti dalam kandungan serta dapat mengurangkan refleks kejutan yang boleh membangunkan mereka daripada tidur.
2. Side Lying
Perlu diingatkan, bayi harus tidur pada belah kanan mereka dan kepala bayi harus diletakkan pada bahagian yang lebih tinggi daripada badan mereka untuk mengurangkan risiko SIDS.
3. Shushing
Shushing adalah cara mengeluarkan bunyi desiran lembut yang meniru bunyi bayi dengar dalam kandungan. Bunyi ini dapat membantu menenangkan bayi dan membantu mereka tidur dengan lebih mudah.
Ibu ayah boleh membuat bunyi shushing dengan suara mulut atau menggunakan aplikasi di telefon.
4. Swinging
Merujuk kepada cara mengayun bayi dengan lembut di dalam pelukan atau buaian. Teknik ini dapat membantu bayi memejamkan mata dan merangsang tidur yang tenang menggunakan buaian bayi, kerusi berayun, atau mengayun dalam pelukan.
5. Sucking
Teknik terakhir ini ibu bapa boleh berikan pacifier supaya dapat tidur dengan cepat namun, pastikan bayi tahu menyusu dan berat badan mencukupi terlebih dahulu sebelum memberikan pacifier.
Kombinasi daripada teknik-teknik ini dapat membantu bayi tidur dengan lebih mudah dan merangsang tidur yang tenang. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa setiap bayi berbeza-beza, jadi ibu ayah perlu mengenalpasti teknik mana yang sesuai untuk si manja.