Puting kosong diperbuat daripada puting getah, plastik atau silikon. Ia mempunyai tiga bahagian iaitu puting memanjang, pelindung mulut, dan pemegang. Antara kebaikan puting kosong adalah menenangkan bayi atau membantu bayi mudah tidur.
Walau bagaimanapun, menghisap puting kosong akan menjadi satu masalah sekiranya tabiat ini berterusan sehingga gigi kacip kekal tumbuh. Terdapat juga beberapa kesan lain sekiranya bayi hisap puting kosong seperti yang dikongsi oleh Dr Azila Mohd Kasim di laman Facebooknya. Ikuti penerangan lanjut di bawah.
Baca juga: Ingatkan Tabiat Anak Gesel Gigi Sebab Gangguan Jin, Rupanya Sebab Ini…
KESAN BAYI HISAP PUTING KOSONG YANG RAMAI IBU BAPA TAK TAHU
Disebabkan gusi bayi masih lembut, tabiat menghisap puting terlalu kerap atau berterusan akan membuatkan tulang dan gigi hadapan mereka terbentuk mengikut bentuk puting. Kesan ke atas gigi kekal adalah seperti gigi jongang dan gigi hadapan menjadi jongang (overjet).
Ketika anak masih bayi tabiat hisap puting masih boleh dipertimbangkan lagi. Bagi bayi yang berumur setahun ke bawah, penggunaan puting tidak dianggap menjejaskan pembentukan gigi.
Namun puting kosong tidak harus diberikan kepada kanak-kanak selepas berumur setahun kerana pada masa itu pembentukan gigi telah bermula.
Selain menggunakan puting kosong, jangan biarkan bayi menghisap ibu jari. Tabiat ini juga akan menyebabkan masalah pembentukan gigi.
Kanak-kanak mungkin memerlukan rawatan ortodontik apabila dewasa kerana kesannya adalah sama seperti menghisap puting kosong (pacifier).
Tempoh terbaik adalah menghentikan tabiat hisap puting kosong dan hisap jari di awal usia anak kecil. Ini kerana tulang mereka masih dalam proses membesar. Berikut antara petua untuk membantu anak berhenti menghisap ibu jari:
1. Balut ibu jari.
2. Sapukan bahan yang rasanya tidak disukai oleh kanak-kanak seperti kuinin atau lada sulah pada ibu jari.
3. Beri pujian, ganjaran dan perhatian apabila anak anda tidak menghisap ibu jari.
4. Pastikan anak anda sibuk dengan aktiviti seperti menyanyi dan bermain muzik supaya lupa untuk menghisap jari.
5. Libatkan anak dengan aktiviti yang melibatkan pergerakan tangan. Contoh: alat permainan.
6. Dapatkan khidmat nasihat pakar sekiranya tabiat ini berterusan sehingga gigi kacip kekal tumbuh (berumur 7-8 tahun).
Ibu bapa di luar sana pastikan ambil tahu tentang ilmu pergigian kanak-kanak ini agar lebih ramai cakna kesan puting kosong dan tabiat menghisap ibu jari.
Sumber: Facebook Dr Azila Mohd Kasim