Didik

Ibu Bapa, Jaga 5 Perkara Ini. Anak Anda Peniru Yang Hebat!

3.9K
SHARES

“Wah, pandai betul anak aku buat macam ni. Siapa yang ajar dia ya? Rasanya aku pun tak pernah ajar dia buat macam tu. “

Apabila melihat anak kecil menunjukkan perkembangan dalam suatu perkara, ianya merupakan sesuatu yang menakjubkan, bukan? Lebih-lebih lagi apabila perkara tersebut adalah perkara positif. Pasti membuatkan kita sebagai ibu bapa berasa sangat gembira.

Mungkin kita tidak pernah mengajar mereka secara langsung mengenai sesuatu perkara. Tanpa disedari, secara tidak langsung mereka belajar melalui pemerhatian terhadap ibu bapa dan persekitaran mereka.

Foto Kredit : deenty.com

Foto Kredit : deenty.com

Anak Meniru Melalui Pemerhatian

Anak kecil mempelajari pelbagai perkara baru setiap hari. Mereka akan menjadi pemerhati dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Setiap yang dilihat dan didengari akan disimpan dalam memori. Kelak apabila sudah tiba masanya, usah terkejut apabila anak berjaya meniru perkara yang dilihat dan didengarinya itu.

Oleh yang demikian, kita perlu mempamerkan perkara yang positif sahaja dan sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara yang dilakukan supaya anak tidak meniru sebarang perkara negatif dalam menjalani aktiviti seharian mereka.

anak meniru sikap ibu bapa

Foto Kredit : aurhelio.it

Ibu Bapa, Jaga 5 Perkara Ini

Berikut merupakan 5 perkara yang perlu sentiasa dijaga oleh ibu bapa agar kita sentiasa menjadi contoh tauladan terbaik buat anak.

1. Solat

Solat tiang agama. Solat di awal waktu dan jangan pernah sekali pun kita meninggalkan solat. Usah dimarahi sekiranya anak datang ‘mengganggu’ kita yang sedang solat. Benarkan mereka memerhatikan kita dan bermain di sekeliling kita tatkala kita solat. Ingatlah bahawa anak sedang belajar daripada amalan yang kita lakukan ini.

Suatu hari nanti, pasti anak meniru perbuatan solat tersebut dan akan menunjukkan minat untuk solat. Sekiranya kita sendiri tidak menjaga solat dan sering mengabaikan solat, bagaimana pula dengan anak-anak kita kelak?

anak meniru sikap ibu bapa 2

Foto Kredit : riekstkodis.lv

2. Membaca Al-Quran

Jadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian kita. Jika kita mampu menghadap media sosial seperti Facebook sepanjang hari, mengapa tidak kita luangkan masa membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 5 ke 10 minit sahaja untuk setiap kali bacaan? Lebih baik lagi sekiranya kita dapat membaca Al-Quran dalam tempoh masa yang lebih lama beserta tafsirnya sekali.

Apabila anak melihat kita membaca Al-Quran setiap hari, secara tidak langsung, mereka turut belajar bahawa Al-Quran ini merupakan salah satu amalan harian yang penting. Kelak, kita pasti akan berasa sangat bersyukur apabila anak mengambil sendiri Al-Quran ini untuk dibaca walaupun pada ketika itu mereka masih belum mengenal huruf-huruf hijaiyah tersebut.

Foto Kredit : furkannesli.com

Foto Kredit : furkannesli.com

3. Kata-kata

Setiap bait kata ibu bapa pasti didengari anak setiap hari. Anak kecil menambah kosa kata mereka melalui perkataan-perkataan yang didengarinya. Jika baik perkataan ibu bapa, maka baiklah perkataan yang diluahkan oleh anak. Jika sebaliknya, bersedialah kita untuk menghadapi anak yang juga tidak menjaga percakapan seharian mereka.

Intonasi juga memainkan peranan yang penting dalam berkata-kata. Sekiranya anak sering dipuji dan mendengar kata-kata yang lemah lembut daripada ibu bapa, sudah pasti anak ini akan turut mengikut cara sebegini dalam berkomunikasi. Sekiranya anak kerap dimarahi dan dicemuh saban hari serta mendengar perkataan yang kurang elok daripada individu di sekeliling mereka, tidak mustahil mereka akan turut mengeluarkan kata-kata sebegitu suatu hari nanti.

anak meniru

Foto Kredit : mojok.co

4. Akhlak

Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan, kelakuan dan akhlak yang baik sepanjang masa. Bayangkan jika anak acap kali melihat kita bercekak pinggang, membaling atau mencampak barang-barang terutamanya ketika dalam keadaan marah, adalah tidak mustahil sekiranya anak meniru kelakuan kita ini kerana mereka mungkin menganggapnya sebagai perkara biasa.

Usah ditanya mengapa anak kita dilabel sebagai budak nakal sekiranya ibu bapa masih belum berjaya mengawal kelakuan diri sendiri. Dengan izin Allah, ibu bapa yang berakhlak mulia akan melahirkan generasi yang turut berakhlak mulia.

Foto Kredit : dawn2dusk.org

Foto Kredit : dawn2dusk.org

5. Aktiviti Seharian

Selain daripada menyelesaikan tugasan seharian di rumah, lakukan aktiviti yang bermanfaat setiap hari bersama anak. Membaca buku, melukis, mewarna, beriadah, dan bermainlah bersama anak. Melalui aktiviti-aktiviti sebegini, secara tidak langsung, kita dapat menerapkan nilai-nilai positif dalam diri anak sekaligus mereka dapat mengaplikasikan perkara yang dipelajari semasa membuat aktiviti tersebut dalam kehidupan seharian.

Sekiranya kita menonton video atau televisyen, pastikan kita menonton rancangan yang baik sahaja agar anak tidak terjebak menonton rancangan yang tidak berfaedah. Percaya atau tidak, anak akan kerap memukul atau menendang sesuatu kerana sering menonton rancangan televisyen yang menayangkan aksi-aksi sebegitu dalam jalan ceritanya.

Anak sememangnya peniru yang hebat, bukan?

Foto Kredit : newhdwallpaper.in

Foto Kredit : newhdwallpaper.in

Anak Amanah Allah, Didik Sebaiknya

Anak merupakan rezeki yang sangat bernilai daripada Allah. Anak adalah amanah Allah. Maka kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya untuk mencorakkan mereka dengan didikan terbaik agar mereka dapat meneruskan perjuangan menegakkan agama Islam di muka Bumi ini. Jika bukan kita yang mendidik mereka, siapa lagi?

Ajar anak meniru cara kita mengagungkan Allah, percaya kepada Rukun Iman dan beramal dengan Rukun Islam. Terapkan nilai positif dalam diri anak. Bimbing mereka ke jalan yang lurus. Sentiasa berdoa agar mereka menjadi anak soleh dan solehah yang akan mendoakan kita kelak. Semoga mereka menjadi insan berjasa yang akan mengharumkan nama keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara tercinta.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×