Asuh

“Kesiannya Anak Sulung”- Anak Buah Darjah 2 Tulis Nota Kecil, Wanita Ini Ingatkan Ibu Bapa Jaga Hati Anak-Anak

anak buah

Kadangkala, perkara yang tidak disedari oleh orang dewasa boleh meninggalkan kesan mendalam kepada anak kecil. Itulah yang menyentuh hati ramai apabila kisah anak buah kepada seorang wanita ini yang baru berusia di bangku sekolah rendah dikongsikan untuk mengingatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan perasaan anak-anak.

Baca juga: “Pergi Scan Benjolan Rupanya…”- Wany Hasrita Tak Sangka Anak Perempuan Alami Angin Pasang & Perlu Dibedah

NOTA KECIL ANAK BUAH UNDANG SEBAK

anak buah

Gambar ihsan @aaisyahrapi.

Menerusi hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai @aaisyahrapi berkongsi bahawa dia terjumpa nota tulisan anak buahnya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan kini berada di darjah dua.

Perkongsian itu dibuat sebagai peringatan kepada ibu bapa agar lebih peka terhadap emosi anak, terutama apabila mereka masih belum pandai menyampaikan perasaan dengan jelas.

“Saya berkongsi di sini sebagai awareness untuk kita sama-sama alert dengan anak-anak kita selepas ini. Kadang-kadang kita tak sedar ada perkara yang melukai mereka,” katanya.

Ibu bapa turut sedih selepas membaca nota anak

Menurut wanita itu, ibu bapa kanak-kanak berkenaan sudah mengetahui perkara tersebut dan turut berasa sedih selepas membacanya.

Mereka juga mengakui ada perkara yang mungkin terlepas daripada perhatian tanpa disengajakan.

Menerusi perkongsian sama, @aaisyahrapi menceritakan hubungannya yang rapat dengan anak buah berkenaan. Kanak-kanak itu disifatkan sebagai seorang yang bijak serta mempunyai minat mendalam terhadap aktiviti melukis dan menulis sejak kecil.

Malah, setiap kali pulang bercuti ke kampung, dia sering memeluk anak buahnya itu. Kanak-kanak berkenaan juga gemar melukis gambar orang lidi, termasuk wajah ibu saudaranya sendiri.

“Saya selalu hug kakak ini kalau balik cuti ke kampung. Antara anak buah yang paling rapat dengan saya. Bijak budaknya, memang dia suka melukis dan menulis dari kecil. Muka saya pun dia selalu lukis jadikan org lidi. Terima kasih yang mendoakan kakak,” katanya lagi.

anak buah

Gambar ihsan @aaisyahrapi.

Ramai kongsi pengalaman sendiri ketika kecil

Hantaran itu turut mengundang reaksi warga maya yang berkongsi pengalaman masing-masing ketika membesar, termasuk perasaan yang pernah dipendam kerana merasakan diri kurang mendapat perhatian berbanding adik-beradik lain.

Seorang pengguna, @lylazhr__, menceritakan pengalaman menulis diari ketika kecil kerana merasakan ibu bapanya lebih menyayangi adik lelaki. Menurutnya, selepas bapanya mengetahui perkara itu, mereka berbual dari hati ke hati dan bapanya memujuknya. Pengalaman tersebut turut membawa perubahan apabila kerja rumah kemudiannya dikongsi bersama adiknya.

Sementara itu, @novurosite meluahkan rasa sebak sebagai anak sulung dan mengingatkan ibu bapa supaya memberikan kasih sayang secara adil kepada setiap anak. Dia turut menekankan kepentingan menghargai perasaan anak, tidak meletakkan semua tanggungjawab kepada anak sulung serta tidak berasa ego untuk meminta maaf apabila melakukan kesilapan.

Seorang lagi pengguna, @andreaazandra, berkongsi pengalaman apabila diarinya pernah ditemui ibunya ketika dia berada di darjah dua. Menurutnya, kejadian itu menjadi titik perubahan yang membantu memperbaiki hubungannya dengan ibu bapa.

Dia turut mengingatkan bahawa ibu bapa juga manusia biasa yang masih belajar membesarkan anak. Kesediaan untuk mendengar, memahami perasaan anak, mengakui kesilapan dan memperbaiki hubungan bersama-sama merupakan perkara yang lebih penting daripada cuba menjadi ibu bapa yang sempurna.

Anak juga perlukan ruang untuk meluahkan perasaan

anak sulung

Gambar ihsan @aaisyahrapi.

Kisah ini menjadi peringatan bahawa anak-anak mempunyai emosi dan cara tersendiri untuk meluahkan apa yang dirasai, walaupun mereka masih kecil.

Ada kalanya, mereka belum mempunyai kosa kata yang cukup untuk menerangkan kesedihan atau rasa kecewa. Namun, perkara itu tidak bermakna perasaan mereka boleh diketepikan.

Ibu bapa boleh mengambil langkah kecil dengan meluangkan masa berbual bersama anak, bertanya tentang perkara yang mengganggu fikiran mereka dan mendengar tanpa terus menyalahkan atau menghakimi.

Pada masa sama, menunjukkan kasih sayang secara konsisten dan menghargai setiap anak tanpa membanding-bandingkan mereka juga boleh membantu anak berasa lebih selamat untuk berkongsi perasaan.

Hakikatnya, ibu bapa tidak perlu menjadi sempurna untuk membesarkan anak dengan baik. Kesediaan untuk mendengar, mengakui kesilapan dan memperbaiki hubungan juga merupakan sebahagian daripada proses membina keluarga yang lebih memahami antara satu sama lain.

Sumber: Threads @aaisyahrapi

FT Image: Threads @aaisyahrapi

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×