Perkongsian seorang ibu, Effa Kelly, yang merakam reaksi anak sulung, Umar Azhar, ketika memberikan ucapan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-10 mengundang perhatian warganet.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, Umar dilihat menangis ketika ibunya meluahkan isi hati dan menyampaikan ucapan istimewa buat anak sulungnya itu.
ANAK SULUNG MENANGIS DENGAR UCAPAN HARI LAHIR DARI IBU

Dalam ucapannya, Effa mengakui Umar adakalanya membuatkan dia gembira, namun ada juga masanya anak itu membuatkan dirinya pening kepala.
Walau bagaimanapun, sebagai seorang ibu, dia turut menyedari bahawa anaknya itu kadangkala terpaksa mengalah dan memendam perasaan.
Effa juga memohon maaf sekiranya ada ketika dia tidak memahami perasaan Umar, selain menitipkan pesanan bahawa anaknya tidak perlu sentiasa mengalah semata-mata untuk menjadi seorang anak yang baik.
“Kadang-kadang dia buat saya happy. Kadang-kadang dia buat saya pening kepala. Saya tahu kadang-kadang dia sedih. Sebab selalu kena mengalah.
“I’m sorry kalau ada masa saya tak faham perasaan. Saya nak tahu yang dia tak perlu selalu mengalah untuk jadi anak yang baik,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Effa mengenang kembali perjalanan membesarkan Umar yang dirasakan seolah-olah baru semalam bermula, namun kini anak sulungnya itu sudah pun berusia 10 tahun.
Ucapan penuh emosi itu turut memperlihatkan kasih sayang seorang ibu yang mahu anaknya membesar dengan perasaan dihargai dan difahami.
“Terima kasih hadir dekat hidup ibu. Minta maaf kalau ibu selalu marah-marah Umar. Ibu mungkin tidak sempurna tetapi ibu harap Umar tahu yang ibu sayang Umar,” luahnya.

Warganet titip doa buat Umar
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut menerima respons daripada warganet yang mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada Umar.
Seorang pengguna media sosial turut berkongsi bahawa anaknya juga baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-10 pada minggu sebelumnya.
“Happy birthday Umar. Aunty doakan Umar dan juga anak aunty membesar menjadi anak yang soleh, bijak pandai, penuh ilmu dan adab yang tinggi, hormat, baik, lembut tutur kata dan dilindungi Allah SWT. Yang baik-baik selalu untuk anak-anak kita semua ya Puan,” tulisnya.
View on Threads
Baca juga: JAWI Mula Laksana Pengebumian Kubur Bertingkat Di Kepong, Jenazah Diturunkan Sedalam 8 Kaki
Sumber: Threads Effa Kelly
