Jika anda peminat mi kari tetapi mencari kelainan dari rasa rempah yang biasa, Mee Kari Putih atau lebih dikenali sebagai Penang White Curry Mee adalah jawapan yang anda cari!
Hidangan ikonik dari Pulau Pinang ini mempunyai keistimewaannya tersendiri iaitu kuah putih berasaskan santan yang dimasak tanpa cili dan rempah, menghasilkan rasa lemak yang halus dan memuaskan deria rasa anda setiap kali makan.
RESEPI PENANG WHITE CURRY MEE, SEKALI CUBA NAK LAGI!

Keunikan Mee Kari Putih terletak pada cara penyajiannya: sambal pedas dihidang berasingan, membolehkan setiap orang menyesuaikan tahap kepedasan mengikut selera sendiri. Oleh itu, berikut merupakan perkongsian resipi yang anda pun boleh cuba di rumah.
Bahan utama:
– 2 bungkus mi
Bahan-bahan sambal cili:
– 4 sudu besar rempah kari daging
– 5 sudu besar cili kisar (ikut tahap kepedasan, boleh kisar sendiri menggunakan cili kering yang direbus)
– 2 ulas bawang besar (kisar)
– 5 ulas bawang putih (kisar)
– 1 inci halia (kisar)
– Gula dan garam secukup rasa
– 1 sudu besar udang kering tanpa kulit (dikisar)
– 1 batang serai (ketuk)
– 1/2 cawan minyak
Cara buat sambal cili:
1. Kisar bahan-bahan yang bertanda “kisar”. Anda boleh kisar sekali semua bahan ini.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis serai yang diketuk terlebih dahulu.
3. Masukkan bahan kisar, rempah kari dan cili kisar ke dalam kuali. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
4. Masak sambal cili ini sehingga garing, pecah minyak dan pekat. Pastikan rasa manis dan pedas seimbang.
Bahan-bahan kuah putih:
– Stok udang atau air rebusan kepala dan kulit udang yang telah ditapis (isi udang digunakan untuk hiasan di atas mee)
– 2 batang serai (ketuk)
– 2 inci lengkuas (ketuk)
– 3 batang daun bawang
– Fishball, fishcake dan tauhu kembong
– 1 kotak santan (untuk lebih pekat, boleh tambah santan)
– Garam, gula sedikit dan serbuk perasa
Cara buat kuah putih:
1. Didihkan stok udang. Tambahkan sedikit air dan masukkan serai, lengkuas dan batang daun bawang. Renih selama kira-kira 30 minit.
2. Setelah mendidih, masukkan santan dan kacau rata.
3. Masukkan fishcake, fishball dan tauhu kembong. Taburkan daun bawang pada akhir sekali.
4. Sementara itu, celur mee kuning, cuci dan tapis.
5. Celur taugeh, isi udang, ketam beku, kacang panjang dan potong daun bawang.
6. Hidangkan mee dengan bahan-bahan tersebut dan tuangkan kuah. Letakkan sambal di sisi sebagai pelengkap.

*Sedapnya bila hirup, terus rasa macam ada di Pulau Pinang!
Baca juga: Tips Untuk Pokok Daun Kari Tumbuh Merimbun Guna Beras, Daun Pun Hijau Gemuk-Gemuk!
Sumber: Eny Yusnizar Abdullah
