Mangga adalah buah kegemaran ramai disebabkan oleh keenakan jusnya serta rasanya yang masam manis. Ibu hamil pun turut suka buah ini namun kebimbangan mereka adalah sama ada boleh atau tidak makan mangga ketika mengandung? Untuk pengetahuan anda, sebenarnya ada banyak khasiat mangga untuk ibu hamil yang tak ramai tahu!
Mangga adalah selamat untuk dimakan ketika mengandung tetapi perlulah dikawal pengambilannya. Ibu hamil boleh makan buah ini sekurang-kurangnya 1 biji sehari. Mangga kaya dengan sumber nutrisi yang penting dan juga membekalkan tenaga untuk ibu mengandung. Untuk khasiatnya yang lebih mendalam, ikuti perkongsian penulis!
Baca juga: Pelik Dah Makan Ubat Tapi Suhu Tak Turun? ‘Check’ Balik Dos Ubat Demam Yang Diperlukan Anak
9 KHASIAT MANGGA UNTUK IBU MENGANDUNG
1. VITAMIN B6: SESUAI UNTUK OTAK JANIN DAN SISTEM SARAF
Mangga kaya dengan sumber vitamin B6. Vitamin B6 ini mempunyai peranannya tersendiri terhadap perkembangan otak janin dan sistem saraf.
2. SERAT MAKANAN: URUS MASALAH PENCERNAAN
Kandungan serat dalam mangga boleh membantu ibu hamil berasa kenyang untuk tempoh waktu yang lama. Selain itu, mangga juga menolong penghadaman dan mencegah sembelit yang sering dialami oleh ibu pada trimester pertama.
3. MAGNESIUM HALANG PREEKLAMPSIA
Magnesium yang terkandung dalam mangga bertindak sebagai ubat semulajadi yang sangat bagus untuk preeklampsia. Bukan itu sahaja, vitamin E dalam buah ini berupaya membantu membina otot janin dan juga mencegah preeklampsia.
4. SEIMBANGKAN CECAIR DALAM BADAN
Ketika jumlah darah meningkat semasa kehamilan, ibu hamil memerlukan mineral tambahan dalam badan. Mangga mengandungi elektrolit seperti kalium, magnesium, kalsium dan natrium yang berupaya mengekalkan keseimbangan cecair. Elektrolit memastikan saraf, otak, jantung dan otot ibu hamil berfungsi dengan baik.
5. ASID FOLIK: BANTU PERKEMBANGAN JANIN
Mangga adalah sumber asid folik yang baik untuk perkembangan otak janin serta saraf tunjang. Ibu hamil yang makan mangga dapat mengalang kecacatan tiub saraf yang boleh terjadi pada awal kehamilan.
6. KAYA ANTIOKSIDAN
Kandungan vitamin C dalam mangga bertindak sebagai antioksidan kuat yang membantu menguatkan daya tahan terhadap radikal bebas , di mana ia boleh mengganggu perkembangan janin dan juga menyebabkan kanser. Malah, vitamin C juga mampu mengurangkan risiko kelahiran bayi pramatang.
7. ZAT BESI MENGHALANG ANEMIA
Mangga adalah buah yang kaya dengan vitamin C dan membantu dalam penyerapan zat besi. Ibu hamil memerlukan zat besi untuk mengatasi anemia yang berpotensi berkaitan dengan kehamilan mereka.
8. VITAMIN A: PERKEMBANGAN BAYI
Vitamin A yang tinggi dalam mangga berupaya menolong pembentukan gigi dan tulang bayi. Ia juga penting untuk perkembangan mata dan sistem imun di samping perkembangan jantung, paru-paru dan buah pinggang bayi ibu hamil. Wow betul banyak khasiatnya kepada bayi dalam perut!
9. LAWAN ALAHAN PAGI
Khasiat terakhir untuk ibu mengandung adalah rasa fresh buah mangga boleh membantu alahan pagi mereka. Malah, vitamin B6 dalam mangga juga memainkan peranan penting dalam melegakan loya dan mual ibu hamil.
Konklusinya, ada banyak sebenarnya khasiat mangga buat ibu hamil. Usah takut untuk makannya namun awasi kuantiti pengambilan buah ini mengikut nasihat doktor. Cuba amalkan mangga demi pertumbuhan bayi anda yang sihat.
Sumber: Mom Junction