40 Minggu

7 Tips Elak Badan Letih Ketika Hamil

455
SHARES
Letih ketika hamil

“Bukan malas, tapi letih…”

Dengan perut yang semakin membesar, belakang dan pinggang mulai sakit. Kaki pula ada yang bengkak seperti tidak mampu menanggung tubuh sendiri. Hendak berehat, tetapi sukar betul melelapkan mata.. Aduhai, itulah letih yang biasanya dialami oleh wanita hamil!

 

Letih ketika hamil

Letih ketika hamil

Foto Kredit: babycenter.com

Sepanjang proses ini, tubuh anda sebenarnya sedang bekerja keras untuk membekalkan keperluan bagi janin yang sedang dikandungkan. Maka, jangan biarkan letih anda berterusan kerana ia boleh menjadi lebih serius dan mengganggu emosi anda.

 

Tips elak letih semasa hamil

Cubalah 7 tips di bawah untuk kekal cergas ketika hamil.

1. Banyakkan aktiviti fizikal

Ironiknya, apabila badan terasa ‘berat’ inilah masanya anda perlu lebih banyak bergerak. Namun, anda tidak perlu menjalankan senaman yang sukar, cukuplah sekadar aktiviti yang santai seperti berjalan di taman.

Selain berjalan, berenang merupakan aktiviti senaman yang sangat sesuai dilakukan semasa kehamilan kerana badan anda akan berasa ringan dan terapung ketika berada di dalam air. Aktiviti fizikal lain yang boleh dijalankan termasuklah yoga, aerobik berimpak rendah, dan tarian.

Tapi, jika anda seorang yang aktif dan rajin bersukan, pastikan rejim senaman anda turut disesuaikan dengan kadar kehamilan.

2. Banyakkan meminum air kosong

Air yang satu ini terlalu banyak manfaatnya. Tidak kira sama ada anda hamil atau tidak, letih, lesu, dan mengantuk juga boleh berpunca daripada kehausan.

Oleh itu, pastikan tubuh anda mendapat air yang secukupnya pada setiap masa. Mereka yang meminum air, walau setengah gelas, pada setiap jam akan mendapati diri mereka begitu bertenaga.

3. Makan sedikit tetapi kerap

Kajian telah membuktikan bahawa saiz hidangan makan yang sedikit tetapi menyihatkan sebenarnya memberi anda lebih banyak tenaga berbanding makan dengan kuantiti yang lebih banyak.

Maka, anda digalakkan untuk mengambil 5 hidangan kecil setiap hari berbanding 3 hidangan utama yang anda biasa ambil pada waktu pagi, tengahari, dan malam.

Bagi anda yang suka mengunyah, isi tenaga anda dengan kudapan yang segar dan berkhasiat tinggi seperti kurma, badam, serta buah-buahan setiap empat jam untuk kekal cergas.

4. Bersarapan!

Pengambilan sarapan akan menyebabkan sesorang itu lebih bertenaga dan mempunyai emosi yang lebih positif pada hari tersebut.

Pastikan sarapan anda kaya dengan zat besi seperti sayuran, kekacang, dan bahagian daging yang tidak berlemak (lean meat) kerana kekurangannya sering dikaitkan dengan punca letih. Pengambilan vitamin C boleh membantu proses penyerapan zat besi tersebut manakala makanan tenusu pula memberi tindakbalas yang sebaliknya jika diambil bersama.

5. Hirup udara segar

Sebelum memasuki kereta untuk ke pejabat, hiruplah udara yang segar sedalam-dalamnya.  Udara pagi  mengandungi oksigen dalam jumlah yang banyak dapat membantu untuk meningkatkan daya tahan tubuh anda. Ia tidaklah begitu sukar bukan?

6. Mandi dengan kerap

Di Malaysia, faktor panas dan kelembapan akan menyebabkan kita bertambah letih dan kurang selesa akibat peluh.

Mandi sebenarnya dapat meredakan tekanan serta berperanan meningkatkan sistem kekebalan tubuh. Selain itu, anda juga digalakkan berendam di dalam kolam air suam di rumah untuk merehatkan otot-otot yang telah penat bekerja pada waktu siang.

Cuba titiskan aroma menyegarkan dalam tab mandi sebagai terapi bagi anda yang sukar untuk tidur di malam hari.

7. Dapatkan rehat dan tidur yang berkualiti

Antara punca utama letih semasa hamil ialah tidak cukup tidur malam. Kalau ada kelapangan, lelapkanlah mata seketika pada sekitar waktu tengahari.

Sekiranya anda tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam, cuba lakukan tips ringkas ini untuk mendapatkan keselesaan:

  • Posisi yang sesuai

Gunakan bantal peluk dan susun beberapa biji bantal yang empuk supaya ia menampung bahagian belakang anda sewaktu dalam posisi mengiring. Kebanyakan pakar mengesyorkan posisi ini untuk keselesaan maksima ketika hamil. Pernahkah anda lihat bantal kehamilan? Bentuknya direka khas untuk fungsi ini.

  • Diserang kekejangan kakiletih?

Rendamkan kaki pada air hangat sebelum tidur boleh membantu otot kaki berehat. Pada waktu siang, lakukan senaman regangan ketika duduk di atas kerusi di tempat kerja, sambil menonton televisyen, dan hindarkan daripada duduk bersila terlalu lama.

  • Minimakan bangun malam untuk buang air kecil

Banyakkan minum air di siang hari dan kurangkan pengambilannya pada sebelah malam. Di samping itu, minimakan minuman berkafein, seperti kopi dan air berkarbonat kerana ia menggalakkan pengumpulan air kencing.

Akhir kata

Mengandung, mengandung juga. Namun ia bukan alasan untuk kita asyik nak baring dan tidur sepanjang masa. Pastikan diri kita kekal cergas.

Bagaimana dengan anda? Ada tips lain untuk kekal cergas semasa hamil?

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×