Makanan Ibu Mengandung Menurut Islam
Pemakanan yang betul sangat penting untuk memastikan perkembangan janin di dalam kandungan. Janin di dalam kandungan bergantung sepenuhnya kepada ibu mereka untuk bekalan makanan berkhasiat.
Wanita hamil digalakkan tidak mengikut perasaan makan tanpa memikirkan kebaikan atau keburukan jenis makanan yang diambil. Penting untuk memastikan makanan yang diambil memenuhi semua keperluan tenaga, protein, vitamin dan garam mineral. Makanan ibu mengandung menurut Islam ialah yang terbaik. Bukan boleh sebarangan sahaja.
Digalakkan bagi wanita hamil makan makanan semulajadi dengan tahap minimum jika ia sudah diproses. Hal ini untuk memastikan tiada bahan sintetik yang berlebihan di dalam tubuh yang mengakibatkan kelemahan sistem tubuh seterusnya tidak dapat berjalan dengan baik.
Khasiat Buah Kurma
Berdasarkan pada ayat-ayat Al-Quran dan hadis Rasullah S.A.W, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut kajian Dr.Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku Tempoh Mengandung dari Segi Perubatan, Fiqhiyah dan Perundangan, hasil kajiannya menunjukkan jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
Manakala hasil kajian Profesor Madya Aisyah Mohd Zain, Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa jus kurma membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar. Selain itu, membantu merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan dan melawaskan. Di samping menambahkan tenaga seksual, kurma juga boleh digunakan sebagai pencuci mulut. Ini adalah antara kajian sains yang telah dibuat berdasarkan perincian kelebihan buah kurma tersebut.
Apa lagi khasiat buah kurma?
Menurut laman ini, kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah SAW kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi. Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.
Kawal Pemakanan
Konsep bersalin alami ini tidak dijamin berjaya sekiranya ibu tidak mengawal pemakanannya semasa mengandung. Semasa mengandung, ibu tidak digalakkan makan gula putih dan produk yang mengandungin garam halus (vacuum salt, iodinized salt), susu tepung ibu hamil, dan bahan yang dibuat dari gandum (kecuali tepung atta atau gandum asli). Pemakanan secara semulajadi ini penting dalam memastikan pembentukan salur darah uri dan tumbesaran anak kerana ia berkait rapat dengan kejadian darah tinggi dan kencing manis semasa hamil, juga pengeluaran susu selepas anak dilahirkan (do not delayed milk production).
Sekiranya terpaksa keluar makan dan makanannya meragukan, ambil sesudu kecil madu asli (tidak guna sudu besi) sebelum keluar rumah atau dalam 15 minit sebelum makan makanan tersebut. Kalau keadaan yang terpaksa, mintalah perlindungan Allah S.W.T kerana Allahlah yang paling mengetahui keadaan kita dan dalam keadaan terpaksa, janganlah kita menngambil lebih dari yang perlu.
Mohon Ampun
Ingatlah Allah S.W.T itu sangat mengetahui apa yang kamu sembunyikan dalam hati-hati kamu. Selalulah bertaubat sekiranya kita insan yang suka mengikut hawa nafsu dalam kehidupan seharian kita. Selalulah memilih untuk merendah diri dengan sesiapa sahaja.
Islam ini sangat indah dan sangat selari dengan fitrah baik dalam diri manusia. Kemodenan hari ini adalah tidak seimbang dan menyebabkan manusia berada dalam keadaan tekanan yang melampau dan mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang akhirnya menyebabkan manusia menjadi lemah jiwa dan lemah fizikal akibat penyakit.
“Ya Allah, berkatilah usaha aku. Peliharalah anakku selama dia dalam kandunganku ini Ya Allah. Sihatkan dia Ya Allah. Engkaulah yang menyembuhkan. Tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu Ya Allah.”
Untuk maklumat tambahan, boleh baca entri kami tentang makanan yang dilarang untuk ibu hamil. Juga boleh baca panduan makanan untuk ibu mengandung dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semoga bermanfaat!