Asuh

9 Sebab Anak Sembelit

28
SHARES

“Macam mana boleh sembelit ni? Tak pernah lah pulak si Nana ni sembelit sejak dia lahir. Apa agaknya yang dia makan yang buatkan sembelit ini?”

Sembelit memang sukar dijangka. Kita yang dewasa pun terkesan dengan sembelit apatah lagi anak-anak yang tidak memahaminya. Bagi yang masih kecil, rasa sakit dan kurang selesa di perut menyebabkan mereka menangis, meragam hinggakan kita sebagai ibu bapa turut merasa risau.

Apa punca anak sembelit?

1. Peralihan dalam sistem tubuh badan

Peralihan tubuh badan daripada bayi kepada kanak-kanak menyebabkan mereka mudah mengalami penyakit seperti sembelit, cirit-birit, demam dan pelbagai lagi penyakit lain. Semuanya bergantung pada tahap ketahanan masing-masing.

Corak pemakanan dan kebolehan fizikal juga akan berubah dari bulan ke bulan apabila sistem badan mereka semakin pesat berkembang.

Salah satu faktor sembelit paling popular ialah apabila anak kecil mula bertukar kepada susu formula. Jadi, cuba dapatkan sampel dahulu dan lihat bagaimana najisnya.

2. ‘Toilet training’

Bagi anak yang tidak bersedia beralih daripada lampin ke ‘toilet training’, mereka biasanya akan menahan diri daripada membuang air kecil mahupun besar. Jadi apabila najis tidak dikeluarkan, maka ia akan mengeras dalam saluran dubur dan menyebabkan terjadinya sembelit.

Pastikan anda menjalankan ‘toilet training’ dengan tidak memaksa. Cuba jadikan latihan itu seronok seperti sebuah permainan.

3. Kurang makanan berserat

Makanan yang kurang serat seperti makanan berproses serta manis sukar di hadam dan mengambil masa untuk lumat sepenuhnya. Akibatnya, najis menjadi keras dan sukar dikeluarkan.

Oleh itu, cuba perkenalkan buah-buahan dan masukkan sayuran dalam setiap hidangan yang dimasak untuk anak.

4. Kurang minum air

Apabila kurang air dalam badan, najis menjadi bahan pejal dan akibatnya sukar dikeluarkan.

Antara cara menggalakkan mereka minum air ialah dengan membelikan cawan yang mempunyai warna dan corak kegemaran mereka. Selain itu, jangan lupa ingatkan mereka untuk minum air setiap sejam. Anda juga boleh cuba mendapatkan penyedut minuman atau ‘straw’ unik untuk mereka supaya mereka rasa teruja untuk minum air selalu.

5. Leka bermain

Kadang-kadang apabila anak-anak sedang leka bermain, mereka lebih suka menahan daripada membuang air di tandas.

Jika ditanya, mereka selalu akan kata “tak mahu ke tandas”. Jadi, bawa anak ke tandas setiap 1-2 jam, bergantung kepada tempat dan waktu makan mereka,

6. Pertukaran rutin

Ada anak yang lebih selesa dengan tandas di rumah. Apabila berjauhan daripada rumah, misalannya perlu berjalan jauh ke tempat lain, dia rela menahan daripada pergi ke tandas di tempat lain.

Bagi anak yang baru mula masuk tadika atau sekolah, pastikan mereka diberitahu bahawa mereka boleh ke tandas pada bila-bila masa. Kadang-kadang ada juga anak-anak yang ‘takut’ atau malu dengan cikgu dan rakan sekelas sehingga tidak mahu ke tandas.

7. Kurang bersenam atau bergerak

Kurang bersenam juga boleh menyebabkan terjadinya sembelit. Apabila melakukan senaman, bukan sahaja kaki dan tangan turut bersenam malah juga perut. Kurang bersenam menyukarkan proses pencernaan dalam perut.

Bagi bayi dan anak kecil, boleh gerakkan kaki dan beri urutan supaya mereka dapat membuang najis dengan selesa. Rajinkan diri bawa anak bermain di luar. Elakkan daripada memberi menonton televisyen terlalu lama atau bermain dengan gajet sehingga kurang aktif secara fizikalnya.

8. Penggunaan ubat

Ada ubat yang boleh menyebabkan sembelit terutamanya yang tinggi zat besi.

Periksa ubat yang diambil pada labelnya. Sebaiknya, dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan di farmasi.

9. Sakit

Apabila anak sakit dan kurang selera makan, maka diet pemakanannya terjejas hingga boleh menyebabkan sembelit.

Pantau pemakanan anak sewaktu sakit. Pastikan mereka tidak ternyahidrat. Sup adalah salah satu alternatif yang paling nyaman untuk ditawarkan kepada anak sembelit atau sakit.

Pantau Anak Sembelit!

Sembelit adalah masalah yang biasa dialami oleh kanak-kanak. Kadangkala, anda mungkin tidak perasan yang anak sembelit kerana dia tidak mengerang kesakitan apabila sudah biasa dengan kesakitan tersebut.

Pastikan anak makan makanan tinggi serat agar najis tidak mudah menjadi keras dan senang dikeluarkan. Bawa anak berjumpa doktor jika anak sembelit terlalu kerap. Ditakuti akan menyebabkan buasir pada kanak-kanak.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×