Asuh

Najis Bayi : Apa Yang Normal, Bila Patut Panik?

184
SHARES

Sejak menjadi ibu, anda perasan tak yang kita semua sangat tekun meneliti najis bayi? Bentuk, warna, tekstur, boleh kata semua dikaji. Pantang kalau ada yang tak kena, mesti ramai yang panik. Kadangkala, hati jadi risau tak terkata apabila najis yang ditunggu-tunggu tak kunjung tiba.

Aduh, begitulah betapa pekanya kita terhadap najis bayi! Jadi, untuk memudahkan anda semua, mari kita lihat ‘kod warna’ najis bayi yang normal dan tidak normal sebagai panduan buat ibu-ibu.

Warna Najis Bayi Normal

Najis Pertama Bayi: Hijau kehitaman

Apabila bayi baru lahir, najis mereka dikenali sebagai meconium. Najis ini mengandungi semua  benda yang ditelan oleh bayi di dalam plasenta  ibu sebelum dilahirkan. Teksturnya sangat melekit. Jika bayi tidak mengeluarkan najis ini dalam masa 48 jam selepas dilahirkan, anda patut memberitahu doktor atau misi yang datang memantau anda.

Warna Kuning Kecoklatan

Dalam masa seminggu selepas dilahirkan, bayi yang menyusu badan biasanya akan berak sebanyak 3-4 kali sehari.  Ketika ini, teksturnya lembut dan sedikit berbiji. Selepas seminggu, mungkin corak kekerapannya membuang air besar akan berubah. Mungkin sehari sekali atau seminggu sekali. Menurut ClevelandClinic.org, selalunya, tiada apa yang anda patut risaukan sekiranya mereka menyusu badan secara normal dan aktif.

Warna Coklat

Bayi yang diberi susu formula akan mendapat najis yang berwarna sedikit gelap atau perang berbanding bayi yang menyusu badan. Ia selalunya diiringi dengan bau yang agak kuat berbanding bayi menyusu. Kepekatannya dan teksturnya adalah seperti mentega kacang. Walaubagaimanapun, adalah normal juga untuk mereka membuang najis berwarna kekuningan atau kehijauan.

Warna Coklat Kehijauan, Hijau Gelap

Ramai ibu yang berasa pelik dan mungkin sedikit panik apabila najis bayi mereka berwarna hijau. Biasanya, warna hijau ini disebabkan oleh sumber zat besi dalam dietnya. Kadangkala, buah-buahan yang dimakan atau diminum sebagai jus juga boleh menyebabkan warna hijau atau tona hijau gelap yang seangkatan dengannya.

Warna Hijau Cerah

Adakah anda selalu meggilirkan payudara anda sebelum bayi benar-benar ‘mengosongkannya’? Apabila anda berbuat demikian, bayi kurang mendapat  susu penuh lemak yang terkandung dalam payudara ketika ia hampir kosong. Oleh itu, cuba pastikan bayi anda ‘mengosongkan’ sebelah payudara sebelum mula menyusu pada sebelah lagi dan lihat perubahan najisnya.

Jika bayi anda tidak bergerak aktif dan kerap menangis, jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat doktor. Ini kerana, warna hijau cerah juga boleh berpunca daripada jangkitan virus.

Warna Najis Bayi Foto Kredit: parent24.com

Warna Najis Bayi
Foto Kredit: parent24.com

Warna Najis Bayi Yang Tidak Normal. Jumpa Doktor!

1. Warna Merah Darah

Warna merah pada najis bayi mungkin saja disebabkan oleh beberapa makanan seperti ubi keledek yang dilenyek, buah naga, atau apa saja makanan yang mengandungi pewarna.

Dalam kes yang biasa, sedikit tompokan atau celetan darah yang kelihatan pada najis biasanya adalah tanda-tanda bayi sembelit. Walaubagaimanapun, sekiranya darah kelihatan dengan banyak, anda patut menghubungi doktor dengan segera kerana ia mungkin disebabkan oleh luka dalaman yang lebih serius.

2. Warna Putih Kapur, Kelabu Keputihan

Warna putih menandakan bayi anda kekurangan bilirubilin. Mengikut pengalaman, bayi saya juga menghasilkan najis berwarna putih apabila memakan ubat antibiotik ketika demam. Jelas sekali, ia menyebabkan cirit-birit dan tidak sesuai dengan badannya.

Selain itu, ia juga boleh berpunca daripada masalah pada pundi hempedu dan hati.

3. Warna Hitam Gelap, Likat

Najis berwarna hitam ini hanyalah normal bagi bayi yang baru lahir. Sekiranya ia berterusan atau berlaku selepas 3 hari dilahirkan, segeralah rujuk kepada doktor. Darah dalam saluran usus mungkin menjadi penyebab kepada warna najis jenis ini. Secara saintifiknya, ia dikenali sebagai melena.

Tekstur Najis Bayi: Keras atau Cair?

Tekstur Najis Bayi, Normalkah? Foto Kredit: en.wikipedia.org

Tekstur Najis Bayi, Normalkah?
Foto Kredit: en.wikipedia.org

Terlalu Cair

Terlalu banyak minum jus, alergik, kesan antibiotik, atau keradangan usus mungkin salah satu punca najis begini. Jangan abaikan tanda-tanda ini kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi dan jangkitan pada bayi. Merbahaya sekiranya dibiarkan berterusan tanpa pantauan jika melebihi 24 jam. Dalam kebanyakan kes, ia akan kembali normal selepas 2-3 hari.

Terlalu Keras

Sembelit adalah punca yang paling biasa terjadi kepada bayi yang mempunyai najis keras dan berketul. Kadangkala, ia juga mungkin disebabkan oleh alergik atau dehidrasi. Antara punca yang serius, tetapi jarang berlaku ialah masalah tiroid, atau sejenis penyakit yang dinamakan Hirshprung’s disease.

Dapatkan Rawatan Jika Ragu-ragu

Apa yang dapat diberikan di sini hanyalah panduan berdasarkan penemuan saintifik serta pengalaman. Sekiranya anda berasa tidak sedap hati dan gusar terhadap najis bayi anda, dapatkan pengesahan yang lebih lanjut daripada pakar.

(Sumber Asal Daripada ClevelandClinic.org)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×