Terapi

8 Cara Mengawal Marah Bila Tengah Stres ‘Gila’ Dengan Anak-anak

735
SHARES

“Ha, kan dah jatuh. Mama kan dah cakap tadi jangan berlari, kamu yang degil. Nak kena cakap berapa kali?! “

Semua ibu bapa tidak pernah terlepas dari memarahi anak. Dengan pelbagai masalah di pejabat dan kerja yang berlambak di rumah, perangai anak-anak kadang kala membuatkan kita melepaskan segala kemarahan pada si kecil tanpa disedari.

8 Cara Mengawal Marah Terhadap Anak Dengan Lebih Efektif

Berikut adalah beberapa cara mengawal marah yang boleh anda praktikkan kepada anak-anak.

1. Ingat Bahawa Anak Anda Seorang Yang Unik

“Cubalah buat perangai elok sikit. Tak malu ke dengan adik?”

“Ish, kalau Papa buat macam ni dulu memang habislah kena rotan dengan Atuk kamu tau…! Kamu nak kena rotan?”

Secara tidak sedar, ini antara ayat perbandingan yang kita biasa gunakan kepada anak. Tiada manusia di dunia ini yang suka dibanding-bandingkan dengan orang lain, termasuklah anak kecil. Jadi, berhenti bandingkan anak dengan sesiapa termasuklah diri kita sendiri.

Menurut Psychology Today, situasi ini juga sering berlaku kerana karenah anak mengingatkan kita kepada tingkah laku kita sendiri pada zaman kanak-kanak. Contohnya, dulu kita selalu dirotan bila tak dengar cakap. Jadi kita fikir, kalau kita kena hukum, anak pun patut terima hukuman yang sama. Kemarahan dan rasa dendam yang ada pada zaman kanak-kanak mempunyai pengaruh yang besar kepada seseorang individu sehingga menjadi dewasa.

Apabila dikaburi memori negatif sedemikian, ia mendorong membuatkan kita memberi respon dengan berkelakuan kebudak-budakan. Sebagai individu yang matang, adalah penting untuk kita mengawal kemarahan dan memikirkan cara yang lebih rasional untuk mendidik anak.

Foto Kredt: scarymommy.com

2. Asingkan Anak Dari Tempat Kejadian

Apabila anak buat perangai dan kita mula rasa nak marah, tarik nafas dalam-dalam sebelum memberi respon pada anak. Dengan helaan nafas, kita dapat berfikir secara lebih rasional. Kemudian, bertindak tanpa perlu berkata apa-apa.

Contohnya jika anak sedang bergaduh atau melontar barang, tarik mereka daripada tempat kejadian supaya tidak mencederakan orang lain. Dengan mengasingkan anak daripada tempat kejadian, ia dapat mengelakkan keadaan daripada bertambah buruk.

cara mengawal marah

Foto Kredit: chicagotribune.com

3. Menjerit Dan Membebel Hanya Akan Memburukkan Keadaan

Bila anak sedang meragam, mereka tidak dapat fokus pada percakapan kita dengan baik. Maka, perbuatan menjerit dan membebel dalam keadaan marah juga hanya akan memberi ketegangan pada keadaan. Malah, mereka lebih mudah terikut-ikut dengan cara kita mempamerkan kemarahan.

Jadi tunggulah waktu yang sesuai untuk mengingatkan dan menegur mereka tentang apa yang berlaku apabila anda berdua berada dalam keadaan yang lebih tenang.

Foto Kredit: kleo.ru

4. Cuci Muka Untuk ‘Sejukkan Badan’

Jika perasaan marah sedang meluap-luap, ambil sedikit masa untuk mengasingkan diri anda pula. Cara terbaik adalah dengan mencuci muka atau mengambil wudhuk. Sedikit sebanyak, air ini dapat menyejukkan ‘api’ kemarahan.

Kemudian, kembalilah pada anak dengan mood yang lebih baik. Dengan mengukir senyuman walaupun sedang marah, ia dapat memberi arahan kepada otak supaya respon dengan lebih positif terhadap situasi yang dihadapi.

5. Kenalpasti Waktu ‘Bermasalah’

Jika kita terlalu kerap ‘naik angin’ pada waktu pagi, mungkin kita perlu mengejutkan anak lebih awal. Kalau kita asyik memarahi anak sebaik saja pulang dari kerja, itu mungkin bermakna kita bertemu mereka dalam keadaan yang serabut. Jika kita selalu marah anak yang tak nak tidur pada waktu malam, barangkali kita dahpun kehabisan tenaga pada waktu malam.

Maka, kenalpasti waktu anda kerap melenting. Rasa penat dan keadaan yang tidak terkawal sering membuatkan kita cepat marah. Oleh itu, cuba fikirkan cara untuk mengatur jadual secara efisyen agar anda dapat menguruskan waktu ‘bermasalah’ ini dengan lebih baik. Berpakatlah dengan pasangan untuk bergilir-gilir mendapatkan rehat atau menguruskan anak bersama-sama.

perkembangan anak 2 tahun

Foto Kredit: romper.com

6. Letak Diri Di Posisi Anak

Bayangkan kalau kita berada di tempat anak. Apakah yang akan kita rasa? Tengah excited nak bermain dengan ibu ayah, anak pula dimarah dan diherdik sedangkan mereka belum faham apa-apa tentang masalah di tempat kerja.

Tentu anak akan rasa keliru, sedih dan takut jika tak disayangi ibu ayah. Mungkin anak anda mahukan perhatian atau mahu memberitahu anda sesuatu yang baru mereka pelajari hari ini. Dengan siapa lagi mereka mahu berkongsi perasaan dan kegembiraan, bukan?

cara kawal marah

Foto Kredit: oumama.com

7. Peluk Anak

Kalau tak tahu nak buat apa, peluklah mereka erat-erat walaupun dalam hati tengah ‘geram’. Anda akan merasakan perubahan emosi menjadi lebih tenteram. Tak percaya, cubalah!

Sambil peluk mereka, ingatlah gelak tawa anak yang selama ini menceriakan kita. Ingatlah bahawa mereka adalah amanah Allah kepada kita. Ingatlah bahawa mereka dalam proses belajar dan masih belum mampu membezakan baik dan buruk. Ingatlah bahawa dengan memarahi mereka, tidak semestinya mereka akan belajar memperbaiki kesalahan, sebaliknya mereka akan belajar untuk ‘takut’ dengan kita.

Foto Kredit: melodijolola.com

8. Amalkan Doa

Berdoalah yang baik-baik ketika kita diselubungi rasa panik, kelam-kabut, atau stres. Antara doa yang boleh diamalkan sebagai cara mengawal marah adalah:

Doa Pertama
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: Ya Allah berikanlah kekuatan jiwa padaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling elok yang menyucikannya, Engkaulah walinya dan Engkaulah tuannya.

Doa Kedua (Amalkan sebelum dan selepas tidur)
اللَّهُمَّ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّ كُلِّ شَىْءٍ وَمَلِيكَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِى وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ
Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku, Yang Maha Mengetahui Perkara Yang Gahib dan Nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku Memohon dengan Engkau daripada keburukan diriku dan daripada keburukan Syaitan serta sekutunya.

cara mengawal marah

Foto Kredit: everytinything.com

Berlembut Bukan Bererti Memanjakan Anak

Marah bukanlah cara untuk kita menunjukkan authority atau kuasa kepada anak-anak. Buktinya, sesetengah anak dah ‘lali’ pada kemarahan kita sebab mereka dah selalu sangat kena marah. Bahkan bagi mereka, perlu untuk melawan kita atau berteriak sebagai cara mempertahankan diri.

Adalah sunnah bagi mengawal emosi dalam mengendalikan anak-anak. Menurut sebuah Hadis Riwayat Ahmad, baginda bersabda bahawa “Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredhai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredhai.”

Berlembut bukanlah bermaksud kita memanjakan mereka kerana kita tetap mempamerkan ketegasan di sebalik kelembutan. Di samping itu, ibu bapa perlu mencari ilmu dan kreatif untuk berkomunikasi dengan anak secara berhikmah. Jadi, jika anda belum pernah mencuba cara ‘halus’ atau berlembut, masih belum terlambat untuk memulakannya hari ini!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×