Kebiasaannya, para ibu akan mengeluarkan daging beku terlebih dahulu, beberapa jam sebelum memasak. Malah, terdapat juga segelintir orang menggunakan teknik nyahbeku bahan mentah dengan meletakkan periuk logam berisi air di atas daging tersebut. Di mana, ternyata ianya berkesan lebih cepat.
Proses ini dikenali sebagai perpindahan haba, menurut Doktor Fatimah Salim yang merupakan seorang ahli kimia. Beliau juga menyatakan teknik ini sebenarnya boleh dipraktikkan dengan lebih berkesan jika menggunakan cara ini. Apakah caranya? Jom baca di bawah!
Baca juga: Ahli Kimia Tegaskan Peralatan Memasak Non-Stick Selamat Digunakan, Usah Panik!
RUPANYA ADA CARA LEBIH BERKESAN NYAHBEKU BAHAN MENTAH, SEPANTAS KILAT DAH CAIR!
Beberapa hari lepas, tular pasal tip mempercepatkan proses nyahbeku daging beku petak dengan menggunakan teknik meletakkan periuk logam yang berisi air di atas daging itu. Dikatakan proses nyahbeku hanya akan mengambil masa selama 30 minit saja.
Dalam kepala saya, tip ini mungkin berkesan, namun bergantung kepada beberapa faktor.
Sebagai ahli kimia yang suka meraikan pelbagai pandangan, jadi saya pun berujikaji. Namun di rumah, saya tiada stok daging beku petak. Jadi saya pun menyahbeku kepak ayam untuk memastikan teori asas saya betul.
Maka semalam sambil menunggu mencuci dan menjemur baju, saya jalankan ujikaji seperti gambar di bawah.
Dapatan ujikaji saya menunjukkan walaupun setelah 1 1/2 jam berlalu, kelihatan bahagian atas yang bersentuhan dengan tapak periuk besi telah ternyahbeku. Manakala bahagian tengah dan bawah masih lagi belum ternyahbeku.
Kepak ayam masih lagi bercantum antara satu sama lain. Maka saya pun alirkan kepak ayam tersebut di bawah air paip seketika untuk proses memisahkan.
Ternyata pemahaman teori asas saya benar. Teknik tersebut mungkin berkesan bergantung kepada suhu persekitaran, luas permukaan daging beku dan tapak periuk logam yang bersentuhan, jumlah air yang dimasukkan ke dalam periuk serta saiz daging yang perlu dinyahbeku.
DIPANGGIL PROSES PERPINDAHAN HABA
Konsep asas fenomena ini saya ajar dalam topik kimia haba (Thermochemistry). Ianya dipanggil proses perpindahan haba (heat transfer) daripada bahan bersuhu tinggi (air dalam periuk) kepada bahan sejuk (di sini daging beku).
Asasnya haba kedua bahan yang berbeza akan mencapai kesetaraan apabila bersentuhan.
– q = + q
Maksudnya, daging akan ternyahbeku untuk menyamai suhu persekitaran air dalam periuk. Walaupun air mampu menyerap dan menyimpan haba yang lebih, sekiranya suhu air dalam periuk telah menyamai suhu daging beku, maka proses penyahbekuan akan menjadi lama. Kecuali air di dalam periuk ditukar berulang kali.
NYAHBEKU BAHAN MENTAH DENGAN TIPS LEBIH BERKESAN!
Teknik ini sebenarnya boleh dipraktikkan dengan lebih berkesan apabila memasukkan daging beku ke dalam periuk besi. Boleh tutup supaya ianya tidak terdedah terus dengan udara yang juga membawa kuman.
Periuk yang diperbuat daripada logam seperti periuk tembaga, aluminium, besi, keluli tahan karat adalah pengalir haba yang baik. Periuk logam boleh membantu menyerap haba daripada persekitaran dan memindahkannya kepada daging yang nak dinyahbeku.
Maka, cepatlah proses dinyahbeku berlaku. Semoga penerangan ini bermanfaat!
ChM Dr Fatimah Salim, Ahli kimia.
“SAYA BUAT SEPERTI SARANAN DR…MEMANG CEPAT NYAHBEKUNYA” – NETIZEN
Sementara itu, di ruangan komen ternyata dalam kalangan netizen telah menggunakan tips yang dikongsikan Dr. Fatimah di mana, keberkesanannya lebih tinggi jika memasukkan daging beku ke dalam periuk besi dengan menutup rapat.
Malah, perkongsian info daripada Dr. Fatimah Salim, turut dikongsikan oleh Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan Negeri Kelantan di laman Facebooknya dua hari lalu sehingga mencecah 2.7K perkongsian.
Baca juga: Facebook Fatimah Salim