“Belum mengantuk lagi ya? Hmmm… Apa lagi Papa nak buat dengan kamu ni ya? Lama pula Mama di bilik air tu. Takkan nak saling berpandangan saja. Nak ajak main, kamu tu kecil sangat. “
Siapa kata bayi yang kecil tak boleh buat apa-apa? Sebenarnya bayi mempunyai potensi yang amat tinggi jika didedahkan dengan pelbagai perkara yang bermanfaat seawal usia.
Ini kerana, walaupun mereka mungkin tidak dapat memberi respon seperti orang dewasa, tetapi setiap bahagian otak mereka sedang memproses segala maklumat dan membina semula imej-imej tersebut menjadi gambaran dan akhirnya bertahan dalam memorinya.
Oleh kerana bayi baru lahir selalunya tidur dan menyusu, manfaatkan peluang yang ada ketika bayi berjaga untuk mengaplikasikan tips bayi pintar ini. Di samping mengukuhkan kemesraan, dapat juga menggilap keupayaan mereka yang sedia ada.
7 Aktiviti Paling Seronok Dan Bermanfaat Untuk Bayi Baru Lahir
Berikut adalah aktiviti menarik untuk anda cuba sambil menerapkan tips bayi pintar secara santai.
1. Mendengar Muzik
Orang selalu kata, salah satu tips bayi pintar adalah memperdengarkan irama yang menenangkan seperti muzik klasik ‘Beethoven’, ‘Mozart’ dan sebagainya. Hal ini memang ada betulnya.
Menurut sebuah kajian yang diketuai oleh Christina Zhao melalui Proceedings of the National Academy of Sciences, setiap jenis muzik mempunyai corak atau ‘pattern’ yang tersendiri. Otak bayi yang didedahkan terhadap muzik mampu memberi respon yang baik, terutamanya dari segi ucapan, berbanding mereka yang kurang mendengarnya.
Maka, tidak hairanlah muzik sering menjadi medium terapi sama ada bagi anak kecil mahupun orang dewasa. Bagi orang Islam, jadikanlah lantunan ayat-ayat suci al-quran dan zikir sebagai peneman hidup anak sejak kecil lagi. Mudah-mudahan gelombang ayat suci ini turut memberi kesan positif terhadap mereka.
2. ‘Membebel’ Dengan Bayi
Ucapkan perkataan yang baik. Walaupun mereka tidak memahami apa yang diperkatakan, bayi sebenarnya sangat sensitif dan boleh meneka melalui gaya anda.
Tak perlu bercakap pelat dengan ‘bahasa bayi’ yang pelik, sebaliknya bertuturlah secara normal kerana ia membantu bayi memproses kefahaman terhadap bahasa dengan lebih jelas.
Selain itu, perkataan baik dan nasihat juga boleh menjadi doa untuk mereka.
3. Membuat Ekspresi Muka Dan Suara
Walaupun tidak digalakkan bercakap pelat atau ‘bahasa bayi’, tidak bermakna anda perlu memberi syarahan yang membosankan pula terhadap mereka.
Apa yang boleh anda lakukan adalah mempelbagaikan nada serta kenyaringan suara anda – buat suara kecil, suara besar, suara garau, dan suara yang kelakar. Di samping itu, buatlah aksi-aksi yang menarik perhatiannya.
Melalui cara ini, sebenarnya anak anda turut belajar untuk mengenalpasti emosi dan menguatkan daya konsentrasinya. Selain itu, ia tentunya akan merapatkan hubungan anda berdua.
4. Biar Bayi ‘Mencapai’
Papa dan Mama boleh memperkenalkan pelbagai jenis mainan atau barangan yang berada di sekitarnya. Biarkan bayi mencapai permainan yang digantung, atau yang diletakkan berhampirannya.
Secara tidak langsung, anda melatih bayi untuk mengkoordinasikan tangan, mata, dan kaki di samping belajar untuk menghiburkan diri sendiri.
5. Membaca Buku Cerita
Tiada istilah terlalu awal untuk anda membacakan buku cerita atau apa-apa bahan bacaan kepada anak anda.
Walaupun mereka belum dapat memahami anda, tabiat suka membaca itu sendiri dapat dipupuk melalui pendekatan ini. Apabila besar nanti, tentu mereka akan mempunyai perasaan ingin tahu serta lebih menghargai dan mencintai ilmu yang bermanfaat!
6. Rekodkan Pergerakan Bayi
Jika anda berasa ‘mengantuk’ atau ‘tak larat’ menjaga bayi – terutamanya ketika sedang keletihan – cubalah keluarkan kamera dan rakam gambar mereka. Sekelip mata, anda akan rasa lebih bersemangat dan terus hilang mengantuk. Secara tidak langsung, anda akan menjadi peka terhadap perkembangan bayi dan lebih mudah untuk memantau kebolehan mereka.
Sebelum mereka pandai memilih baju sendiri, masa mereka kecil inilah anda berpeluang memakaikan mereka dengan pelbagai jenis kostum dan pakaian comel. (Tapi, pastikan pilih pakaian yang selesa, ya!)
Tak lama lagi, bayi akan pandai bergerak dan barulah anda akan tahu betapa susahnya untuk mengambil gambar mereka – tak boleh duduk diam, asyik tutup mata, hilang dari radar, dan ada masanya pula pakaian habis comot dengan makanan dan kotoran!
7. ‘Tummy Time’
Dari semasa ke semasa, beri peluang untuk bayi meniarap buat beberapa ketika setiap hari. Latihan ini dapat membantu bayi menguatkan otot tangan, leher, dan belakang bayi.
Mulakan dengan 15 saat setiap sesi dan tambahkan tempohnya apabila bayi sudah bertambah mahir. Secara tidak langsung, ia memberi bayi melihat dari sudut pandangan yang berbeza selain berbaring.
Penglibatan Ibu Bapa Paling Penting!
Wah, macam-macam aktiviti menarik Mama dan Papa boleh dilakukan bersama bayi baru lahir. Sambil bermain, secara tidak langsung anda menerapkan tips bayi pintar terhadap mereka.
Kajian menunjukkan bahawa interaksi ibubapa dengan bayi menjadikan bayi lebih responsif terhadap persekitaran dan dapat belajar dengan lebih cepat. Memetik kata seorang pakar kanak-kanak, “Ibu bapa adalah permainan pertama dan paling digemari oleh bayi!”