Jika kita imbas kembali perjalanan rutin penjagaan wajah, kebanyakan daripada kita hanya serius memulakan rutin penjagaan wajah hanya apabila mencapai akil baligh.
Akil baligh menyebabkan remaja melalui perubahan hormon dan menyebabkan kelenjar minyak di dalam kulit menjadi aktif yang menyebabkan wajah tampil berminyak dan boleh menjurus kepada pertumbuhan jerawat.
Sirap Limau berkesempatan menemubual Sarini Zainal dari The Pastels Shop untuk merungkai cara yang betul mendidik anak remaja menjaga kulit wajah mereka. Mari baca artikel ini untuk tahu jawapannya!
Perlu Bermula Dari Rumah
Semakin seseorang individu meningkat umur, kulit mereka akan lebih terdedah kepada radikal bebas dari cahaya matahari dan perubahan hormon. Jadi, amatlah penting untuk amalkan rutin penjagaan wajah dari awal supaya keadaan kulit sentiasa sihat.
Menurut Sarini, remaja lazimnya cenderung untuk menggunakan produk penjagaan wajah yang tidak sesuai dengan kondisi wajah kerana kekurangan informasi dan tergesa-gesa ingin melihat kesan yang cepat.
“Kondisi kulit seperti parut berlekuk (traumatic scarring) daripada jerawat amat susah untuk dirawat. Keadaan parut ini hanya boleh dipulihkan dengan rawatan laser yang memakan kos tinggi. Kondisi kulit ini boleh dielakkan dengan amalan penjagaan kulit wajah yang betul”.
“Pendidikan penjagaan wajah sebaiknya dimulakan dari rumah. Anak-anak di Malaysia ni celik skincare cuma bukan terhadap produk yang betul. Mereka belajar dengan memerhati rutin ibu bapa”.
“Ibu bapa boleh memulakan kesedaran penjagaan wajah dari mula dengan membeli produk “jumbo size” untuk dikongsi seisi keluarga. Apabila produk penjagaan kulit mudah didapati, seperti diletakkan di almari untuk kegunaan harian. Sedikit sebanyak, ia akan memudahkan seisi keluarga mendapat akses penjagaan kulit”.
Baca juga: 5 Langkah Basic Untuk Dapatkan Kulit Bersih & Halus Mulus Macam Pelakon Korea, Gebu!
Perkara Asas Penjagaan Kulit Wajah
Sarini berkongsi tiga asas penting dalam penjagaan kulit wajah:
- Cuci – mengamalkan amalan mencuci wajah dua kali sehari (AM/PM) dan sebaiknya memilih produk dengan formulasi kandungan pH yang seimbang.
- Lembap – melembapkan wajah dua kali sehari, dengan kuantiti yang betul (pea-sized shape) dan formulasi bersesuaian dengan kondisi kulit.
- Lindung – menyapu krim pelindung matahari apabila melakukan aktiviti luar rumah. Sebaiknya memilih “waterbased-sunscreen” kerana lebih mudah dibilas.
Pilihan produk tambahan seperti serum dinasihatkan untuk ditambah dalam rutin penjagaan wajah selepas tiga asas wajib sudah stabil & serasi dengan keadaan kulit.
Beliau turut menambah agar berhati-hati dengan produk kecantikan yang mendakwa boleh selesaikan semua jenis masalah kulit. Menurutnya, setiap produk mempunyai bahan aktif yang berbeza dan sasarkan masalah kulit yang berlainan. Sebaiknya memilih produk yang tidak mempunyai alkohol, tanpa pewangi (fragrances) dan mempunyai formulasi pH yang seimbang.
Produk Penjagaan Kulit “Genderless”
Menurut Sarini, produk penjagaan wajah tidak terhad kepada hanya satu jantina. Produk penjagaan wajah diformulasikan untuk semua jenis keadaan kulit, seperti kulit berminyak, kulit kering atau kulit sensitif.
“Saya tahu lelaki malu atau kurang gemar memakai produk penjagaan wajah kerana skeptikal kepada stereotaip penjagaan wajah hanya untuk wanita atau lebih kepada feminim. Produk penjagaan kulit di pasaran dibezakan hanya melalui “penjenamaan”, melalui pemilihan warna bekas produk, tambahan pewangi yang khusus kepada sesuatu jantina dan pemilihan duta”, tambah Sarini.
#PastelsCommunity Untuk Mereka Yang Suka Ilmu Kecantikan
Baru-baru ini, The Pastels Shop meraikan #PastelCommunity dalam sebuah majlis makan tengahari sambil berkongsi penyelidikan teliti di sebalik Bakuchiol Solution, satu produk terlaris kerana keberkesanan dan formulasinya yang lembut.
Pastels Community adalah komuniti media sosial yang dimulakan secara tidak sengaja oleh Sarini untuk berkongsi tips kecantikan & nasihat penjagaan kulit sejak tahun 2011.
Sarini berharap Pastels Community yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pendidikan ini menjadi pempengaruh dalam menyebarkan ilmu kecantikan dan produk yang selamat kepada masyarakat. Saya juga merancang untuk mempelbagaikan aktiviti Pastels Community seperti percubaan produk baharu, lawatan kilang dan makmal serta melibatkan komuniti luar.
Ikuti tanda palang #PastelsCommunity di semua media sosial untuk mendapat akses kepada informasi kecantikan dan penjagaan wajah dari komuniti kecantikan ini.
Baca juga: “Suami Tak Suruh Buat Plastic Surgery Ke?”- Ada Tanda Lahir Di Dahi, Wanita Bangga Kerana Unik!