Mempunyai tanda lahir adalah normal bagi setiap kejadian manusia. Namun, terdapat pelbagai jenis tanda lahir yang mungkin terjadi kepada anda, malah ada yang meliputi hampir semua keluasan wajah.
Seperti perkongsian di laman Tiktok milik Nursyamimi Afrina Mohamed atau @syamimiafrn mendapat perhatian ramai apabila dirinya mempunyai tanda lahir yang besar di bahagian dahi. Bukan sahaja kelihatan unik, malah mengundang persoalan dan kecaman para netizen yang iri hati.
Baca juga: “Jemput Datang ke Pahang, Raikan Perkahwinan Diraja Anakanda Saya”- Tunku Azizah
ADA TANDA LAHIR BESAR DI DAHI, ORANG PANDANG SINIS
Sejak kecil sehingga dewasa bukan sahaja dari segi kata-kata, malah pandangan sinis dilemparkan kepada wanita muda berusia 24 tahun ini kerana tanda lahirnya di dahi. Dia tidak menafikan kadangkala terasa hati dek kata-kata kecam badan (body shaming) yang diterimanya.
Malah, ketika di zaman kanak-kanak ada yang menyamakan wajahnya seperti haiwan. Dalam perkongsian video di laman media sosial, ramai yang bertanya mengapa tidak menjalankan pembedahan kulit atau plastic surgery? Hal ini kerana, tanda lahir yang dimilikinya adalah sangat dalam dan rapat dengan kulit, pembedahan kalau diteruskan akan mengundang risiko.
“Doktor pakar cakap, tanda lahir sangat dalam. Kalau buang, boleh berlekuk kepala. Pilihlah, tanda lahir atau kepala berlekuk”
Namun, rezeki itu di tangan Allah SWT apabila Nursyamimi sudah menjadi model beberapa iklan komersial kecantikan kerana pemain industri kecantikan amat menghargai wajahnya yang tidak ada pada wanita lain. Kini, Nursyamimi bukan sahaja menjadi pilihan banyak pemain industri kecantikan, malah dia giat mempromosikan sokongan psikologi kepada mereka yang mempunyai tanda lahir yang unik.
WANITA ITU CANTIK DI MATA ORANG YANG TEPAT
Katanya, dia bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga terutama ibu dan ayah yang cukup menyayangi dirinya dan tidak pernah membezakan kasih sayang kerana tanda lahir yang dimiliki. Bukan itu sahaja, dirinya yang sudah berkahwin kini turut mempunyai suami yang penyayang dan sentiasa menerima dirinya yang unik. Bak kata orang, setiap wanita itu cantik di mata orang yan tepat.
“Ketika di zaman kanak-kanak saya pernah katakan kepada ibu dan ayah tidak mahu ke sekolah kerana malu kawan-kawan mengejek saya”.
“Suami tak suruh buat plastic surgery ke?”- komen netizen
Nursyamimi berkata, dia yang aktif di media sosial sering berkongsi pengalaman dan memberi kata-kata semangat kepada mereka yang mempunyai tanda lahir unik secara umum. Malah, ada juga dalam kalangan ibu yang mempunyai anak-anak ada tanda lahir besar turut berkongsikan pengalaman.
“Apabila saya berkongsi mengenai perkara ini di sosial media, saya bukan sahaja mendapat sokongan daripada pengikut tempatan, malah dari luar negara yang sama-sama menyokong antikecam badan kerana tanda lahir yang unik,” katanya.
*Jadi, jagalah setiap pertuturan kerana anak-anak anda pada masa hadapan pun mungkin akan mempunyai kondisi yang sama.
Baca juga: Wajah Terkini Adik Ainul Mardhiah Ceria & Lincah, Pernah Viral Derita Kanser Mulut Usia 9 Bulan
Sumber: Harian Metro, Tiktok @syamimiafrn