Bukan sahaja mampu menjawab kira-kira 10 soalan matematik dalam tempoh kurang 60 saat tanpa menggunakan kalkulator dengan tepat, malah kanak-kanak berusia 5 tahun ini juga mempunyai kebolehan membaca huruf Sepanyol, Rusia dan Jawi.
Itulah kebolehan istimewa yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada adik Uwais Mohammad Zulqarnain, yang bukan dimiliki oleh semua kanak-kanak seusia dengannya.
SOALAN MATEMATIK DIJAWAB KURANG 60 SAAT BUDAK 5 TAHUN

Sumber gambar keluarga: Budak lima tahun, Uwais Mohammad Zulqarnain mampu menyelesaikan soalan matematik dengan cepat.
Ibunya, Surya Syafiqah A Rahim, 32, berkata sejak berusia 4 tahun, anak lelaki sulungnya itu dapat menguasai matematik secara berperingkat apabila boleh membuat pengiraan tambahan, tolak dan darab.
Selain itu, Uwais juga boleh membuat pengiraan ratusan hingga trilion dan membuat pengiraan kuasa serta punca kuasa.
Dedahkan permainan pengiraan dan sering bawa ke kedai buku sejak kecil kepada Uwais
Tidak dinafikan kebolehan dan keistimewaan Uwais adalah hasil kesungguhannya dan suami, Mohammad Zulqarnain Alan Zamirza, 33, yang merupakan jurutera sentiasa berusaha memupuk minat anaknya dalam akademik.
“Kami sentiasa mendedahkan permainan pengiraan kepada Uwais selain membawa Uwais ke kedai buku dan teman saya membaca.
“Kami juga menghantarnya ke kelas membaca dan pertuturan di bandar raya ini.
“Dia memang berminat untuk belajar pelbagai bahasa termasuk bahasa Sepanyol dan Russia, dia belajar sendiri dengan mengakses sumber pembelajaran dalam talian dengan pemantauan saya dan suami.
“Berbanding bermain permainan video di telefon bimbit, Uwais lebih gemar belajar sesuatu yang baharu,” katanya.
Pemakanan juga mempengaruhi kekuatan minda Uwais

Sumber gambar keluarga: Uwais dan adiknya serta bersama ibu bapa.
Uwais pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat sekolah termasuk murid cemerlang dan anugerah matematik.
“Selain pendedahan kami lakukan, pemakanan Uwais juga banyak mempengaruhi kekuatan mindanya kerana dia gemar mengambil sayuran seperti brokoli, timun, lobak merah, tomato selain buah-buahan dalam menu harian.
“Kami berharap perkembangan aritmetik anak semakin meningkat selain dapat meningkatkan penguasaan ilmu matematik dan bahasa,” katanya lanjut.
Baca juga: Khas Untuk ‘First Time’ Mama, Dr. Kongsi 6 Ilmu Berguna Sewaktu Uruskan Bayi Baru Lahir!
Uwais masuk kelas kanak-kanak 6 tahun
Katanya lagi, sepatutnya kini Uwais mengikuti kelas matematik kanak-kanak lima tahun namun kini dia dimasukkan ke kelas kanak-kanak enam tahun.
“Selalunya dia jawab satu soalan matematik untuk darab satu angka antara 3 hingga 5 saat.
“Selalunya saya akan memberikannya 20 soalan, kemudian berehat sekejap, namun dia tidak pernah bosan sebaliknya mahu mencuba lebih banyak soalan,” katanya ketika ditemui wartawan Berita Harian di Taman Pulai, Khamis lalu.
Baca juga: Jangan Kecewa Sebab Berderet Anak Lelaki, Ini 6 Kelebihan Tak Disangka & No 2 Ibu Mesti Suka!
Sumber: Berita Harian
FT Image: Keluarga Uwais