Hasrat seorang wanita yang ingin mengusahakan kawasan kebunnya agar dilengkapi dengan sistem fertigasi merupakan impian besar yang diidamkan oleh kebanyakan petani moden kini. Di mana, kaedah ini banyak digunakan dalam sistem tanaman tanpa menggunakan tanah.
Nor Sarah Shukri, 38, menjelaskan, sistem fertigasi merupakan kaedah penyiraman tanaman yang menyatukan proses penyiraman dengan penambahan baja. Di mana, ia membolehkan petani memberikan nutrien terus ke akar tanaman melalui air irigasi (sistem pengairan).
Baca juga: #ProjekMimpi: 5 Cara Nak Cepat Dapat Anak, Sampai Tempoh Subur Terus Ajak Isteri Buat!
SISTEM FERTIGASI
Ekoran impiannya itu, Sarah telah berani membuka langkah dengan menyertai #ProjekMimpi yang dianjurkan Sirap Limau pada November lalu sehingga menjadikannya sebagai salah seorang 10 peserta disenarai pendek. Di mana, projek ini membuka peluang kepada orang ramai untuk berkongsi kisah impian dan berpeluang memenangi wang tunai sejumlah RM5,000.
Bercerita lanjut mengenai impiannya untuk memiliki sistem fertigasi di kebun, pada tahun 2016, Sarah bersama suaminya telah membeli tanah seluas seekar dan mengusahakan pelbagai jenis tanaman buah-buahan. Antaranya adalah pokok durian, langsat, kelapa, mangga, ciku, pisang dan beberapa tanaman lain.
Kebun yang kaya dengan hasil bumi itu terletak di Jelebu, Negeri Sembilan, telah dijadikan sebagai pendapatan sampingan mereka sekeluarga dengan menjual hasil buah pisang kepada peniaga pisang goreng. Namun, hasil tanaman buah yang lain tidak dijualkan kerana Sarah memilih untuk berkongsi rezeki itu kepada keluarga, jiran terdekat dan rakan sekerjanya.
Ujarnya lagi, kebun di tanah negeri beradat tersebut merupakan sebahagian daripada pelan persaraannya bersama suami, selain berhasrat untuk membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.
“Ini adalah ‘retirement plan’ saya dan suami. Awalnya saya dan suami mengusahakan secara sambilan. Insha Allah, jika ada rezeki di hari ke depan, kami nak pakai pekerja untuk meluaskan lagi kebun kami dan mungkin hasilnya boleh dipasarkan di pasaraya-pasaraya di seluruh Malaysia. InshaAllah,” komen Sarah kepada penulis Sirap Limau.
Baca juga: #ProjekMimpi Jejaka OKU Penglihatan, Celik IT Dikagumi Ramai, Satu Dalam Sejuta!
Wang hadiah bakal dimanfaatkan untuk menjayakan sistem fertigasi di kebunnya
Lantaran itu, menurut Sarah sekiranya dia berpeluang memenangi RM5000, wang tersebut akan digunakan sebaik mungkin. Ia akan dimanfaatkan untuk membeli kemudahan berkaitan seperti sistem irigasi (drip/sprinkler), pam air, alat sistem penyiraman, sensor kelembapan tanah dan pengawal masa, selain menghadiri kursus.
Tambahnya lagi, bagi melaksanakan projek fertigasi, wanita yang bekerja sebagai Juru X-Ray ini juga perlu memenuhi beberapa keperluan asas seperti sumber air yang baik, tanah, jenis tanaman dan baja bersesuaian.
Berbekalkan keazaman yang tinggi, semoga hasrat #ProjekMimpi empunya nama Nor Sarah Shukri ini tercapai.
“Saya berazam untuk menyumbang kepada pertumbuhan negara dengan menggalakkan amalan pertanian yang cekap sambil meningkatkan hasil makanan tempatan. Dengan tekad ini, saya yakin ia tidak hanya menambah bekalan makanan negara tetapi juga mencipta peluang baru untuk meningkatkan pendapatan dalam sektor pertanian,” ujarnya.
Baca juga: #ProjekMimpi: Wanita Dikagumi Ikat Sendiri Bata Bina Rumah, Kemas Macam Pro!
FT Image: Nor Sarah Shukri
– Artikel ini adalah hasil dari temu bual eksklusif bersama finalis Projek Mimpi anjuran Sirap Limau. –