40 Minggu

3 Tips Atasi Rasa ‘Down’ Kerana Hamil Lagi

653
reads

“Aku mengandung lagi rupanya. Aduh. Trauma mengandung dan bersalin hari tu pun masih belum hilang, ni dah mengandung lagi. Rasa masih belum sedia untuk mengandung dan ada anak kecil lagi. Macam mana nak pujuk diri sendiri supaya tak rasa macam ni dan ‘enjoy’ kehamilan kali ni?“

Mungkin ada di antara para ibu yang berasa kecewa, kusut, sedih dan ‘down’ apabila mengetahui bahawa diri anda hamil lagi tatkala masih belum bersedia. Mungkin ada juga yang terfikir untuk menggugurkan kandungan tersebut.

Masa tidak boleh diundur kembali. Walau apa pun punca yang membuatkan anda berasa belum bersedia untuk mengandung lagi, kandungan itu tetap perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Menggugurkan kandungan tersebut bukan jalan penyelesaian. Apabila anak tersebut lahir kelak, anak itu juga perlu diasuh dengan baik, bukan juga dibuang sewenang-wenangnya.

belum sedia untuk mengandung

Foto Kredit : justbetweenus.org

Mengapa Wanita Rasa Belum Sedia Untuk Mengandung Lagi?

Ya, terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan anda berasa sebegitu apabila hamil lagi. Mungkin sebelum ini anda mengalami masalah ketika kehamilan atau mempunyai pengalaman bersalin yang mengerikan. Faktor anak sebelum ini yang masih kecil lagi atau mempunyai beberapa orang anak yang jarak umurnya rapat juga merupakan antara penyebab anda belum bersedia untuk hamil lagi.

Sudah pasti terdetik di fikiran, bersediakah anda untuk melalui kehamilan dan pengalaman bersalin yang lebih baik pada kali ini? Mampukah anda untuk menerima kehadiran seorang lagi cahaya mata dan mendidiknya dengan baik kelak? Semuanya terletak di tangan anda. Anda sahaja yang mampu untuk mengubah perasaan tersebut agar anda tidak lagi berasa ‘down’ menerima berita kehamilan kali ini.

Foto Kredit : bibomart.com.vn

Foto Kredit : bibomart.com.vn

Pujuk Diri Dan Bangkit!

Kehamilan seharusnya menjadi suatu berita yang menggembirakan buat anda. Oleh itu, pujuk diri dan usah bersedih. Berikut merupakan 3 perkara yang perlu anda amati sedalam-dalamnya agar anda bangkit semula daripada rasa kecewa kerana hamil lagi serta lebih bersedia untuk melalui hari-hari mendatang.

1. Anak Itu Anugerah

Anak merupakan kurniaan daripada Allah yang sungguh bernilai buat pasangan yang telah mendirikan rumah tangga. Ingatlah bahawa ramai pasangan yang menginginkan anak, namun masih belum dapat menimang cahaya mata mereka sendiri walaupun telah bertahun-tahun menanti. Anda insan terpilih, maka titipkan rasa syukur di hati atas rezeki yang dikurniakan itu.

Anak itu anugerah, bukan beban. Usah khuatir dengan rezeki yang akan Allah kurniakan selepas anak itu lahir. Bulatkan hati dan serahkan segala-galanya kepada Allah. Semoga anda akan memperoleh sesuatu yang indah kelak.

happy

Foto Kredit : wallpaperscraft.com

2. Positifkan Diri

Setkan semula minda anda kepada pemikiran positif bahawa setiap perkara yang berlaku sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Allah perancang terbaik dan Allah Maha Mengetahui.

Allah juga Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yakinlah bahawa Allah memberi sesuatu mengikut kemampuan hambaNya. Allah tidak akan membebani anda dengan sesuatu yang di luar kemampuan anda.

Luangkan masa untuk lebih dekat dengan Allah. Dengan memperbanyakkan solat, membaca Al-Quran, berzikir, selawat, memperdengarkan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan nasyid, serta menonton ceramah agama, In Sha Allah kelak anda akan berasa lebih tenang.

Foto Kredit : shumis.net

Foto Kredit : shumis.net

3. Harta Dunia Akhirat

Anak merupakan harta dunia dan akhirat buat ibu bapa. Apabila anak itu lahir, curahkanlah sepenuh kasih sayang kepadanya. Usah pernah terdetik perasaan benci kepadanya walaupun pada awalnya anda mengalami kesukaran untuk menerima kehadirannya ketika dalam kandungan.

Anak adalah amanah Allah. Didik anak dengan sebaik-baiknya supaya anak itu menjadi insan soleh dan solehah agar mereka dapat mendoakan kita kelak tidak kira sama ada kita masih hidup atau telah tiada lagi di dunia ini.

kids-praying

Foto Kredit : medina-center.ru

Yakinkan Diri Dan Teruskan Perjalanan

Memang benar, bukan mudah untuk memujuk diri sendiri di kala hati masih membengkak dibelenggu kesedihan dan kekecewaan kerana belum bersedia untuk mengandung lagi. Namun, sampai bila anda harus melayani perasaan sebegini? Ayuh, bangkit!

Redha dengan ketentuan Allah, berdoa kepada Allah agar anda diberi kekuatan dan yakinlah bahawa anda mampu melalui semua ini. Teruskan perjalanan, nikmati setiap detik kehamilan anda dan usah bersedih lagi. Semoga segala urusan anda dipermudahkan Allah, In Sha Allah.

Yang Popular

To Top