Sebelum menunaikan solat yang sah, cara ambil wuduk yang betul dan sah juga perlu diberi perhatian. Kadang-kadang ada sahaja persoalan apabila terlihat cara orang lain mengambil wuduk dan terlintas sama ada cara itu sah atau tidak.
Seperti video yang tular di laman media sosial ini memaparkan individu mengambil wuduk dengan cara mencedok tangan dalam air di gayung. Adakah perbuatan itu menjadikan wuduk sah atau sebaliknya? Ini jawapan dari Mufti.
Baca juga: 5 Soalan & Jawapan Tentang Ibadah Semasa Bencana Banjir Dari Ustaz Wadi Annuar, Tak Ragu-Ragu!
SAH KE CARA AMBIL WUDUK DENGAN CEDOK TANGAN DALAM GAYUNG?
Menerusi video dimuat naik di TikTok Masjid Kg Nakhoda, Imam Ustaz Zaid Amran, dilihat melakonkan watak individu yang sedang berwuduk dengan mencedok tangan ke dalam gayung sebelum bekas itu ditolak oleh jemaah lain. Apabila ditanya, individu itu berkata dia berbuat sedemikian kerana air di dalam gayung tersebut adalah air musta’mal dan tidak sah digunakan untuk berwuduk.
Namun, Ustaz Zaid berkata air tersebut bukanlah air musta’mal. Sebaliknya, air musta’mal terjadi apabila tangan yang kotor menyentuh air yang jumlahnya kurang daripada dua kolah. Oleh itu, menurutnya umat Islam disunatkan agar membasuh tangan terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk.
“Bila kita dah basuh tangan, kemudian kita sentuh air yang belum cukup dua kolah, air mutlak tidak akan bertukar menjadi air musta’mal,” katanya.
Walaupun video asal dari Tiktok masjid itu telah dipadam, orang ramai masih tertanya-tanya dengan penjelasan yang seterusnya. Lalu, terdapat penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang status sah atau tidak wuduk jika diambil menggunakan cara berkenaan seperti di bawah.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata jika tiada perubahan sifat air iaitu dari segi warna, bau dan rasa pada air tersebut, maka ia akan kekal sebagai air mutlak, tetapi jika sebaliknya ia akan berubah menjadi air musta’mal. Dalam laman web ini, tidak disyaratkan bahawa air mutlak yang digunakan bagi berwuduk mesti lebih daripada dua kolah.
Sebaliknya, hukum penggunaan kadar dua kolah hanyalah merujuk kepada status takungan air, yang dimasuki najis, sama ada berubah menjadi air mutanajjis, yang tidak boleh digunakan untuk bersuci, atau tidak berubah. Hukum air mutlak kekal menyucikan walaupun diambil dan ditakung di dalam bekas kecil tidak mencukupi dua kolah, dengan syarat tiada sesuatu yang menajiskan atau merosakkan sifat menyucikannya (tohuriyyah).
HUKUMNYA ADALAH DIHARUSKAN
Air musta’mal pula merujuk kepada air kurang daripada dua kolah yang telah digunakan bagi mengangkat hadas seperti ketika berwuduk, mandi atau untuk membersihkan najis.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, mencelup semula tangan ke dalam bekas kecil berisi sedikit air merupakan cara berwuduk yang dilakukan oleh para sahabat. Kesimpulannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan:
1.Hukum mengambil wuduk dengan mencebok air daripada bekas yang kecil seumpama gayung adalah diharuskan.
2.Perbuatan mencebok air daripada gayung menggunakan tangan selepas basuhan muka ketika berwuduk tidak menyebabkan air di dalam gayung menjadi air musta`mal jika perbuatan mencebok itu tidak diniatkan untuk mengangkat hadas, sebaliknya semata-mata untuk memindahkan air.
3.Air percikan daripada basuhan mana-mana anggota wajib wuduk tidak menyebabkan air di dalam gayung berubah menjadi musta`mal kerana kuantiti baki air tersebut adalah sedikit yang tidak mengubah sifat air serta sukar dijaga pada kebiasaannya, maka dimaafkan seperti mana yang difahami daripada zahir hadis-hadis yang sahih.
4.Tidak boleh kita menghukum seseorang yang berwuduk dengan cebokan menggunakan tangan daripada gayong sebagai tidak sah atas alasan air musta`mal kerana wujud nas-nas yang mengharuskannya.
Sekian.
Baca juga: “Bukan Aku Punya”- Wanita Jadikan Bahagian Muka Telekung Letak Di Kaki Dikecam!
Sumber: Tiktok Masjid Kg Nakhoda, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan