Sudah semestinya perasaan teruja dan berdebar menyelubungi pengantin baharu yang buat pertama kalinya akan ditinggalkan berdua-duaan setelah sah bergelar suami isteri. Inilah yang dikatakan sebagai malam pertama pengantin yang perlu diharungi dan tidak semestinya bermula dengan hubungan intim serta merta.
Terutamanya dalam agama Islam, terdapat beberapa adab yang disarankan buat pengantin baharu. Kata orang, kalau dimulakan dengan elok maka insyaAllah pengakhirannya pun mesti elok…
Baca juga: Risau Suami Ada ‘Skandal’? Ini 10 Perkara Si Isteri Boleh Buat Untuk Kembalikan Panahan Cinta!
5 ADAB MALAM PERTAMA PENGANTIN BAHARU DALAM ISLAM, JANGAN ‘TERKAM’ DULU…
1.Mengambil wuduk dan solat sunat dua rakaat.
Antara adab di malam pertama yang boleh anda amalkan adalah dengan mensucikan diri dengan wuduk. Sebelum melakukan hubungan seksual untuk pertama kali, anda digalakkan untuk mengambil wuduk dan mengerjakan solat sunat dua rakaat bersama pasangan.
Amalan ini telah menjadi amalan para sahabat dan orang soleh yang terdahulu. Tak salah rasanya untuk anda cuba kerana ia bertujuan untuk mengambil berkat dan memulakan perhubungan dengan cara beribadah dan amal soleh. Selepas solat berjemaah bersama, bacalah doa ini:
“Allahummar zuqnii ilfahaa wa wuddahaa wa ridoohaabii wa ardinii bihaa, wa ajma’ bainanaa biahsani ijtimaa’ wa anasi itilaafin fainnaka tuhibbul halaala wa tukrihul haraam.”
2.Memberi salam dan berdoa untuk isteri.
Khususnya buat para suami, jangan terus ‘menerkam’ ya! Berikan salam kepada isteri dan letakkan tangan di ubun kepala isteri dan bacalah doa ini:
“Allahumma inni as-aluka khoiroha wa khoiroma jabaltahaa ‘alaih wa ‘a’uzubika min sharriha wa min sharrima jabaltahaa ‘alaih.”
Maksud: “Ya Allah, aku memohon darimu kebaikannya dan kebaikan yang dibawanya dan aku berlindung dari kejahatannya dan dari kejahatan yang dibawanya”
3.Memberi minuman manis kepada isteri seperti susu atau madu.
Selain daripada menghampiri isteri dengan lemah-lembut, para suami juga digalakkan untuk membawa secawan minuman manis untuk diberikan kepada isteri. Jadi, siap-sedialah rumah anda dengan air manis seperti susu atau air madu sebelum bawa isteri pulang ya!
Tujuan memberikan minuman ini adalah untuk membuatkan isteri anda kurang gelisah dan lebih selesa. Ia juga dianggap sebagai ice breaker untuk kurangkan rasa kekok. Dalam satu hadith sahih diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Asmaa bint Yazeed ibn al-Sakin ada berkata:
“Aku menyediakan dan mencantikkan Aishah untuk Rasulullah. Kemudian, baginda menghampirinya dan duduk di sebelah Aishah. Baginda diberikan secawan besar susu, lalu baginda minum dan memberikannya kepada Aishah.”
4.Menggosok gigi sebelum bersama.
Adalah disarankan untuk gosoklah gigi anda sebelum melakukan hubungan seksual bersama pasangan. Ini supaya nafas kita kekal segar dan wangi lalu sekaligus membantu melancarkan hubungan intim kerana tiada rasa tidak selesa akibat bau yang tidak menyenangkan.
Dalam satu hadith oleh Shuraih ibn Haani:
“Aku bertanya kepada Aishah tentang apa yang Rasulullah akan buat sebelum dia masuk ke rumah dan Aishah menjawab: “Memberus gigi!”
5.Baca doa hubungan intim.
Ia adalah satu doa yang cukup indah kerana jika kita menghayati maknanya, kita dapat memahami bahawa doa ini meminta kebaikan sekiranya hubungan kita diberkati dan membuahkan hasil dengan kehadiran cahaya mata.
Doanya berbunyi seperti ini:
Bismillah allahumma jannibnaa ash-shaiton wa jannibi ash-shaitona maa rozaqtanaa
Maksudnya: Dengan nama Allah, Oh Allah, jauhi syaitan daripada kami dan jauhi syaitan daripada apa yang akan Engkau berikan kepada kami.
Pada penghujung hadith doa ini, Rasulullah ada bersabda: “Jika Allah mengurniakan zuriat kepada mereka, syaitan tidak akan dapat mengapa-apakannya.”
*Boleh baca dan hadam siap-siap informasi ini dan dijadikan rujukan masa hadapan buat anda yang bakal menjadi pengantin baharu. Yang tak ada calon lagi, kita baca saja lah kan…
Sumber: Tiktok @hadihanafirz
Foto: Adobe Stock, Pinterest