Nampaknya, bencana banjir yang dialami penduduk di kawasan Pantai Timur Malaysia dilihat semakin teruk. Baru-baru ini juga tular video di laman media sosial memaparkan beberapa individu yang menunaikan solat di saat paras air banjir sudah sama tinggi sehingga ke kepala!
Lantas, ramai yang tertanya sama ada ibadah ini diterima atau tidak? Adakah air banjir itu bersih dan boleh digunakan sebagai wuduk? Jadi, berikut merupakan penjelasan dari Ustaz Wadi Annuar tentang beberapa persoalan mengenai ibadah ketika dalam bencana banjir.
Baca juga: Guna Tandas Duduk Tak Cuci Bersih, Jadi Punca Najis Melekat & ‘Makhluk Terjelir’ Ikut Belakang
FIQH AIR BANJIR: ADAKAH SAH WUDUK DAN SOLAT?
1.Adakah sah berwuduk dengan air banjir?
Sah. Kerana air banjir selalunya datang dari air sungai dan air hujan, kedua-duanya adalah air mutlak.
2.Solat memakai baju yang terkena air banjir dan lumpur?
Sah. Selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda jelas ia telah terkena najis.
3.Adakah boleh jamak solat ketika banjir?
Pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie adalah TIDAK BOLEH. Tetapi, sekiranya ada kesukaran dan keperluan mendesak seperti menyelamatkan nyawa dan diri, maka dibolehkan mengikut pendapat sebahagian ulama seperti al-Nawawi.
4.Adakah wajib Solat Jumaat?
WAJIB sekiranya tempat penempatan mangsa banjir mencukupi 40 orang yang diwajibkan Jumaat ke atas mereka.
TIDAK WAJIB sekiranya terkandas di dalam rumah disebabkan banjir.
5.Solat di dalam air?
Solat di dalam air adalah SAH dan wajib rukuk dan sujud seperti biasa sekiranya mampu, kerana paras air tidak terlalu tinggi.
Namun begitu, sebahagian pendapat mengharuskan untuk solat dengan isyarat sahaja seperti menundukkan sedikit kepala lebih daripada rukuk tetapi tidak sampai ke dalam air sebagai isyarat bagi sujud.
*Jadi buat anda yang terlibat dalam bencana banjir dan menghadapi keraguan tentang ibadah solat, ini adalah jawapan supaya tiada lagi keraguan!
Baca juga: Cara Berubat Dengan Betul Guna Air Hujan, Jangan Terkejut Tiba-Tiba Rasa Mual Kerana Itu PETANDA!
Sumber: Ustaz Wadi Annuar
Foto: Mufti WP