Dapur

Cara Buat Pes Tomyam Homemade Yang Paling ‘Kaw’. Tak Susah Pun!

9K
SHARES
resepi tomyam

Sebut saja tomyam, dah ramai yang terliur. Tomyam yang paling sedap selalunya ada kuah yang pekat, pedas, ‘kaw’, dan terasa semua bahannya. Sekali dihirup, memang ‘terangkat’lah!

Tapi, mungkin tak ramai yang tahu membuat pes tomyam ini sendiri dan selalu menggunakan perencah segera yang kini mudah didapati. Sebenarnya, cara membuat pes tomyam ini tidak sesukar yang anda fikirkan. Malah, lebih sedap kalau dibuat sendiri kerana boleh diubah-ubah mengikut citarasa masing-masing.

Kali ini, kami ingin kongsikan resepi tomyam pes yang ‘kaw’, tapi cukup mudah oleh Puan Azzuliza Sukirman.

Resepi Tomyam Homemade Yang Paling ‘Kaw’. Tak Susah Pun!

Menurut Puan Azzuliza, sejak dah tahu buat pes tomyam sendiri, memang dah jarang sangat beli perencah di kedai. Bahannya mudah didapati dan cara membuatnya memang ‘simple’ sangat.

Mari kita lihat bahan-bahannya dan cara membuatnya.

Bahan-bahan

Bahan kisar:

  • 2 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 sudu besar cili blend
  • 1 biji tomato
  • 2 batang serai
  • 1 biji limau nipis (perah jusnya)
  • 3 tangkai cili besar
  • 1 biji kiub ayam (*kalau nak guna pati ayam buatan sendiri pun boleh)

Bahan lain:

  • 2 batang serai (diketuk)
  • 3 helai daun limau purut (dikoyak-koyak)
  • Ayam
  • Sayuran pilihan
  • Sos tiram secukup rasa
  • Garam secukup rasa

resepi-tomyam-2

Cara-cara

Ini pula cara memasaknya.

1. Kisar Bahan

Pertama sekali, kisarkan semua bahan kisar yang disenaraikan di atas bersama sedikit air.

resepi-tomyam-3

2. Masak Bahan Kisar

Masak bahan kisar tadi di dalam kuali atau periuk menggunakan api perlahan.

Tak perlu tumis dengan minyak kecuali kalau anda nak buat stok pes tomyam. Kalau nak makan terus, rebuskan saja. Lagi sihat!

resepi-tomyam-4

3. Masukkan Bahan Seterusnya

Seterusnya, masukkan ayam, serai, dan daun limau purut. Kacau sehingga ayam kental atau separuh masak.

Tunggu pes sehingga agak kering airnya. Tapi, jangan sampai hangit ya. Kekalkan api perlahan saja.

resepi-tomyam-5

4. Masukkan Air Dan Sayur

Apabila ayam dah separuh masak, boleh masukkan air dan sayuran kegemaran anda.

resepi-tomyam-7

5. Perasakan

Setelah sayuran empuk, boleh perasakan dengan garam dan sos tiram.

resepi tomyam

Siap Dihidang!

Mudah, bukan resepi tomyam ini? Kalau nak buat tomyam daging, seafood, dan sebagainya tambahkan saja. Anda juga boleh pelbagaikan bahan lagi jika anda sukakan bahan tertentu seperti belacan atau sedikit gula untuk mengimbangkan rasa.

Boleh Dijadikan Stok Dan Disimpan Dalam Peti Sejuk

Menariknya, pes tomyam ini juga boleh disimpan dalam peti sejuk untuk dijadikan stok. Tapi, ia mesti ditumis dengan sedikit minyak dan dimasak atas api agar boleh tahan lebih lama.

Untuk memudahkan, anda boleh buat dalam kuantiti yang lebih sedikit supaya lain kali ia boleh terus digunakan untuk memasak dengan mudah dan cepat.

 

*Resepi tomyam ‘kaw’ yang dikongsikan oleh Puan Azzuliza Sukirman melalui post Facebook beliau ini diterbitkan semula dengan kebenaran.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×