Sudah masuk minggu ketiga berpuasa dan rata-rata ada yang mula membuat biskut raya. Sekiranya anda mencari resepi tart nenas anti gagal dan cair di mulut, boleh ikut perkongsian Nita Maira di bawah ini.
Jelasnya, resepi ini sangat sedap dan hasilnya tidak mengecewakan. Pasti tetamu yang kunjung teruja apabila mencubanya.
Baca juga: Panduan Tukar Sukatan Gram Ke Cawan & Mililiter, Baru Lebih Senang Nak Buat Kek/Biskut
RESEPI TART NENAS ANTI GAGAL, CAIR DI MULUT BILA MAKAN
Hari ini saya ingin berkongsi resepi tart nanas (cara saya). InsyaAllah, hasilnya tidak mengecewakan. Tart yang rangup dan cair di mulut, tak muak, tak lekat dekat lelangit dan anti gagal.
Bahan-bahan A:
- 1 buku majerin (jenama Twincow)
- 1 penutup esen vanila
- 50gram/2 sudu besar gula biasa yang dikisar halus
- 2 titik pewarna kuning lemon
Bahan-bahan B:
- 40gram/3 sudu besar tepung jagung
- 350gram/ 3 cawan kopi tepung gandum
Bahan-bahan sapuan kuning:
- 2 biji kuning telur
- 2 titik pewarna kuning lemon
- 2 sudu kecil minyak masak
Cara penyediaan:
1. Gaul rata semua bahan A di dalam bekas.
2. Kemudian, campurkan dengan semua bahan B.
3. Uli-uli manja sehingga mendapat doh yang lembut. Berhenti uli bila doh sudah tidak melekat di tangan dan bekas.
4. Rehatkan doh selama kira-kira 10 minit.
5. Seterusnya, guna acuan bersesuaian dan buat seperti biasa.
6. Sebelum bakar, sapukan tart nenas dengan sapuan kuning untuk lebih cantik dan tidak merekah.
7. Bakar selama 20 minit dengan suhu 160.
Siap dan boleh disimpan di dalam bekas kedap udara supaya tahan lebih lama.
Selamat mencuba!
Baca juga: 16 Tips Masak Sambal Ikan Bilis Kekal Rangup, Boleh Tahan Berminggu-Minggu!
Sumber: Facebook Nita Maira