Dapur

Resepi Kubis Roll Yang Sihat & Berkhasiat. Diet Tetap ‘On’!

2.3K
SHARES

“Bosanlah asyik makan sandwich aja. Apa lagi menu diet yang boleh dicuba ya?”

Nak diet memang mencabar, otak pun kena kreatif nak fikirkan hidangan yang sihat tapi tetap menyelerakan dan berkhasiat.

Bagi yang dah ‘kering idea’ tu, mungkin boleh cuba kubis roll ini sebagai salah satu menu di rumah. Caranya cukup ringkas, bahannya pun tak susah nak cari. Rasanya pula dah tentulah sedap!

Ini resepi sumbangan Puan Noorazian Muhamad @ Xiyanz Muhamad.

Sesuai untuk seisi keluarga. Jom tengok cara membuatnya dengan lengkap di bawah ini.

Resepi Kubis Roll Yang Mudah, Lazat & Sihat

Berikut adalah senarai bahan-bahannya.

Bahan-bahan

  • Kubis (untuk roll)
  • Daun bawang (untuk mengikat)
  • Daging kisar / ayam kisar
  • 1/2 biji bawang holland cincang
  • 1/2 btg carrot cincang
  • Cili merah cincang
  • Hirisan daun bawang
  • Garam
  • Serbuk lada hitam
  • Minyak bijan – 1 sudu teh

Cara-cara

1. Leraikan Kubis

Mula-mula, leraikan kubis satu-persatu. Kalau boleh jangan terkoyak.

Saya guna kubis Cina sebab lembut dan warnanya pun cantik lepas dicelur.

2. Celur Kubis & Bawang

Kemudian celurkan kubis dalam 6-8 minit. Masukkan sedikit garam dalam air mendidih.

Daun bawang pun dicelur sekejap.

3. Sediakan Inti

Intinya tadi cuma gaulkan semua bahan-bahan di atas kecuali kubis dan daun bawang yang nak digunakan untuk menggulung.

Jadi masukkan daging kisar / ayam kisar, bawang, carrot, cili, garam, lada hitam, minyak bijan semua ke dalam sebuah bekas.

Tak perlu masak dulu sebab masa kukus nanti ia akan masak.

Gaul sebati.

4. Gulung

Kemudian dah bolehlah gunakan inti tadi untuk digulung dalam kubis yang telah dicelur.

Gulungkan macam biasa, lebih kurang macam gulung kuih ketayap.

5. Ikat

Kemudian boleh ikat dengan daun bawang supaya gulungan tadi lebih kukuh.

6. Kukus

Lepas tu, kukus dengan api sederhana selama lebih kurang 10-15 minit.

7. Siap!

Dah siap pun. Beginilah hasilnya.

Mudah saja. Sedap tau, orang yang tak gemar makan sayur pun mesti akan suka.

Sedap dicicah dengan sos atau dimakan begitu saja.

Boleh Pelbagaikan Intinya

Anda boleh pelbagaikan intinya ikut citarasa masing-masing. Contohnya saya ada juga buat inti guna isi udang macam dalam gambar di bawah ini.

Memang lazat dan cukup mudah. Yang penting, sihat dan berkhasiat kan?

Jadi jangan tunggu lagi. Rugi tak cuba tau!

 

*Resepi kubis roll daging ini dikongsikan oleh Puan Noorazian Muhamad menerusi Facebook. Ia telah disunting dan dikongsikan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×