Tak kira lelaki atau perempuan, kini kes buli semakin berleluasa. Semua nak tunjuk samseng, semua ada geng masing-masing. Bergaduh pula tentang hal remeh yang kadang-kadang tak masuk akal. Ada yang berebut kekasih, tak puas hati sebab dimalukan, atau ada juga sekadar nak tunjuk ‘power’.
Lumrahlah kalau sesekali kita berasa marah, sedih, atau tak suka pada seseorang. Tapi, tak adalah sampai nak membuli, memukul, dan menyebabkan mengalami impak mendalam secara fizikal mahupun emosi.
Jadi, mengapa anak-anak kita zaman kini sering memberontak dan tergamak untuk melakukan ‘serangan’ buli ini kepada rakan mereka? Sudah tentu tiada 1 sebab spesifik yang boleh menjawabnya. Namun, apa yang kita hampir pasti adalah bagaimana sifat anak mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan didikan ibu bapa.
6 Cara Ibu Bapa ‘Melahirkan’ Seorang Pembuli & Pemberontak
Ibu bapa sering risau memikirkan nasib anak zaman kini. Lebih ramai yang takut anak mereka dibuli dan mungkin tidak begitu ramai yang takut anak mereka menjadi pembuli. Malah, kebanyakan kita tak pernah terlintas bahawa anak kita boleh menjadi pembuli yang dahsyat.
Disebabkan ketidaksedaran inilah semakin anak yang menunjukkan ‘belang’ mereka apabila berada di sekolah dan di samping mangsa-mangsa mereka. Apakah sifat ibu bapa yang berpotensi menjadikan anak sebagai pembuli atau pemberontak?
1. Ibu Bapa Terlalu ‘Rajin’ Bekerja
Tidak dinafikan dengan keadaan ekonomi yang semakin zaman kini, ibu bapa terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk mendidik anak-anak. Kalau boleh, seluruh tenaga mahu dikerah untuk mencukupkan keperluan diri dan keluarga.
Walaupun begitu, kita sebagai ibu bapa perlu tahu hadnya. Kita perlu sedar bahawa anak kita tak selamanya kecil. Penerapan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak lebih berkesan jika mereka dididik dari awal. Tanpa komunikasi yang utuh, ibu bapa gagal memahami anak-anak mereka. Seperti yang dijelaskan oleh Dr Gail Gross, the powerless child atau the forgotten child berpotensi memberontak dan menjadi pembuli akibat kurangnya perhatian di rumah.

Foto Kredit: koreabizwire.com
2. Expectation Yang Terlampau Tinggi
Berbeza dengan sifat pertama, ada pula ibu bapa yang ‘terlalu’ memberi perhatian kepada anak – tetapi dari satu sudut sahaja iaitu pencapaian. Si anak baru berusia 4-5 tahun sudah dihantar ke pelbagai jenis kelas dari pagi ke petang. Mereka dipaksa agar dapat membaca, menulis, mengira, menghafal, bermain alat muzik, bersukan, atau menguasai bahasa kedua. Bukankah ini satu tindakan yang menidakkan naluri anak yang perlu bermain? Ingatkah apa yang kita lakukan semasa berusia 4-5 tahun dahulu?
Tidak salah mengajar anak dengan ilmu, tetapi ia haruslah disertai oleh penglibatan ibu bapa, diselangi dengan kerelaan dan keseronokan, serta tidak sekadar bertujuan menjadikan anak kita ‘lebih’ daripada orang lain.
Menurut kajian, antara pelaku-pelaku kegiatan buli ini menganggap perbuatan mereka adalah sekadar hobi atau ‘release tension’ semata-mata. ‘Tension’ dengan apa? ‘Tension’ dengan sikap kita! Ini membuktikan bahawa masyarakat yang semakin maju dan berpendidikan tinggi tidak semestinya melahirkan insan yang berfikiran waras!

Foto Kredit: voiceofsandiego.org
3. Biarkan Anak Jadi ‘Bos’
Mungkin sebab kita dah biasa susah, kita tak mahu anak kita susah macam kita dulu. Salah satu fenomena anak-anak zaman sekarang adalah betapa mudahnya mereka mendapatkan apa yang mereka mahu dengan sekali jeritan, lebih-lebih lagi di tempat awam. Tambahan pula, dengan tekanan sosial, ibu bapa takut dicop sebagai ‘tak tahu jaga anak’ dan terus viral di media-media massa.
Ibu bapa perlu faham bahawa bukan semua kemahuan anak perlu dipenuhi dengan serta-merta. Biasakan anak dengan menunggu. Biar mereka tahu bagaimana sesuatu yang dimahukan ada prosesnya yang tertentu. Bila mereka dah biasa jadi ‘bos’, mereka tak teragak-agak menyuruh orang lain melakukan apa-apa untuk memuaskan hati mereka.

Foto Kredit: papodehomem.com.br
4. Tidak Menapis Apa Yang Ditonton Oleh Anak
Dipetik dari Astro Awani, pengaruh budaya popular mampu membentuk pemikiran mereka. Adakah kita pernah menonton apa yang mereka tonton di televisyen, pawagam, atau apa-apa rakaman yang terdapat dalam handphone mereka?
Pernah viral satu video buli di mana terdapat dialog budak sekolah bercakap seperti ini?: “Gua pailang; itu Kak Yong”. Bukankah itu antara dialog yang dipopularkan oleh filem-filem gangster yang berlambak di pawagam dan kemudiannya di televisyen? Tapi, adakah kita sepatutnya menyalahkan industri filem dan internet semata-mata? Di mana tindakan kita sebagai ibu bapa?

Foto Kredit: dailypost.ng
5. Serba Salah Menegur Anak
Anak minta apapun kita sedaya-upaya akan turutkan. Bila mereka buat sesuatu yang kurang elok, kita diamkan pula. Malas nak layan barangkali. Bagi anak-anak, diam adalah tanda setuju.
Akhirnya, anak akan terbiasa dengan sifat suka meminta pada orang di sekitarnya. Bahkan, mereka seolah-olah tiada rasa kasihan atau empati kerana mereka sendiri tidak pernah merasakan susah atau kesulitan hidup yang ‘sebenar’. Ini salah satu sebab mereka boleh memukul, merampas hak, dan membuli tanpa memikirkan akibatnya terhadap orang lain.

Foto Kredit: sundaykiss.com
6. Anggap Anak Masih Kecil
“Nanti dah besar pandailah dia…” inilah tanggapan ibu bapa yang selalu mengambil mudah terhadap kecenderungan atau potensi anak.
Anak suka bergaduh, berebut, bawa balik barang kawan di sekolah, kita anggap normal. Bila musim cuti, semua anak-anak ‘melepak’ tanpa melakukan perkara berfaedah. Basuh baju sendiri pun tak disuruh, apatah lagi diminta tolong yang lain. Kalau anak ada masalah disiplin di sekolah, kita anggap tak ada apa-apa. Biasalah, remaja. Bila kawan lelaki datang ajak anak perempuan kita keluar, kita anggap tak apalah sebab dah minta izin. Mereka pun bukannya pandai nak buat ‘macam-macam’.
Disebabkan ibu bapa tak pernah bertegas, anak ‘kecil’ ini tak pernah berfikir sedalam-dalamnya terhadap tindakan mereka. Mereka seolah-olah tak mampu berfikir di luar kepentingan diri mereka sendiri. Apa yang mereka tahu, segala kemahuan emosi mereka yang kurang matang mesti dipenuhi dengan cara apa sekalipun. Pemberontak dan pembuli ini sebenarnya gagal membezakan baik buruknya sesuatu tindakan.
Jangan Cepat Menuding Jari
Sebelum kita cepat menuding jari kepada masyarakat dan guru-guru, sewajarnya ibu bapa mengambil serius terhadap didikan anak-anak. Ingat, ibu bapa adalah role model pertama bagi anak-anak.
Mereka juga adalah amanah Allah untuk kita jaga. Memang banyak cabarannnya dan kita perlu sentiasa bersabar. Mudah-mudahan kita semua diberi kekuatan dan hikmah untuk mendidik anak menjadi orang yang berguna.