Famili

‘Bagi Smartphone Pada Anak Sama Macam Bagi 1 Gram Dadah Kokain’

2.1K
reads

“Alah, biasalah kalau bagi anak guna smartphone kejap. Bagi dia tengok kartun bukannya lama sangat pun. Apa sangatlah bahaya smartphone untuk anak kecil tu…?”

Pakar terapi yang khusus dalam bidang ketagihan memberi amaran bahawa perbuatan memberi anak-anak smartphone boleh diibaratkan seperti memberi mereka 1 gram dadah jenis kokain.

5 Bahaya Smartphone Yang Boleh Disamakan Dengan Kokain

1. Tindakbalas Terhadap Otak Seperti Kokain

Dr Delaney Ruston mendapati bahawa peranti elektronik mampu memberi kesan terhadap bahagian korteks hadapan otak manusia. Setelah terdedah kepada smartphone selama 20 jam, imbasan MRI memperlihatkan kesan yang sama sepertimana kesan 1 gram kokain terhadap otak manusia.

Kesan inilah yang boleh menjadikan mereka leka, agresif, dan gelisah apabila tidak mendapatkannya.

Foto Kredit: theadvertiser.com

2. Peningkatan Kadar Dopamin

Apabila mereka bebas menggunakan smartphone pada bila-bila masa, kadar dopamin ini semakin meningkat sehingga ia menyebabkan ketagihan yang teruk. Ini kerana penggunaan smartphone akan meningkatkan kadar dopamin (iaitu hormon gembira) dalam tubuh seorang kanak-kanak, sepertimana kokain juga bertindak sedemikian terhadap manusia biasa.

Menurut New York Post, Dr Nicholas Kardaras juga menyifatkan penggunaan smartphone di kalangan kanak-kanak sebagai ‘heroin digital’. Semakin lama digunakan, semakin banyak masa yang diperlukan untuk ‘memuaskan’ kegembiraan mereka.

bahaya smartphone

Foto Kredit: trackmyfone.com

3. Menjerumuskan Kepada Ketagihan Yang Serius

Sebuah tinjauan mendapati bahawa anak-anak seawal usia 3-4 tahun sudahpun didedahkan kepada penggunaan smartphone selama sekurang-kurangnya 6 jam seminggu.

Lebih teruk lagi, kanak-kanak 8-10 tahun secara puratanya terdedah kepada skrin selama 8 jam sehari. Jumlah jam ini dilihat meningkat lagi pada usia remaja sehingga 11 jam sehari.

Mereka seolah-olah hilang arah, hampir berkelakuan psikotik, dan tidak tahu apa yang patut dilakukan jika tidak ‘berdamping’ dengan smartphone ini.

Foto Kredit: kidstoyhire.com.au

4. Menghalang Interaksi Sosial Yang ‘Sebenar’

Seperti pengambilan kokain atau dadah, salah satu bahaya smartphone yang ramai terlepas pandang adalah ia menghalang interaksi sosial yang ‘sebenar’.

Ya, kanak-kanak mungkin berinteraksi dengan kawan-kawan mereka melalui game dan pelbagai media sosial. Anak yang lebih kecil seperti 2-3 tahun atau lebih awal dari itu juga mungkin dapat belajar banyak perkara seperti lagu ABC, bahasa, dan membaca.

Tapi hakikatnya bukan ini yang mereka perlukan pada usia tersebut. Sebaliknya, mereka memerlukan rangsangan dari dunia sebenar untuk memperkembangkan keupayaan mereka buat jangka masa panjang.

5. Ia Mengeksploitasi Diri Mereka

Selain daripada ketagihan, bahaya smartphone menjadikan anak-anak, terutamanya yang meningkat remaja mudah hilang pertimbangan diri sehingga mengeksploitasi diri mereka. Seperti di bawah pengaruh kokain/dadah, mereka hilang pertimbangan dan mudah bertolak-ansur terhadap perkara yang membahayakan diri mereka. Ada yang berjaga hingga lewat malam, sukar menumpukan perhatian pada perkara lain, dan mengalami masalah kesihatan seperti kerosakan mata dan obesiti kerana tidak terlibat dengan aktiviti fizikal.

Selain itu, ia juga berpotensi mengeksploitasi harga diri anak-anak, terutamanya yang semakin meningkat remaja. Ini terbukti dalam laporan Malaysian Digest dan R.AGE di mana ramai di antara mereka mengakui bahawa perbuatan menghantar gambar lucah atau gambar bogel diri mereka kepada orang luar adalah ‘normal’. Malah, perbuatan sexting semakin berleluasa tanpa mereka sedari bahawa mereka berada di bawah kawalan pemangsa seksual atau sexual grooming.

bahaya smartphone

Foto Kredit: rage.com

‘Dadah’ Senyap Ini Perlu Diawasi

Tidak dinafikan teknologi telah memanfaatkan banyak pihak dalam menyebarkan ilmu pengetahuan, merapatkan hubungan, dan memudahkan kerja harian. Namun, penggunaannya juga berisiko apabila disalah guna dan perlu dikawal dengan ketat agar ia tidak memakan diri.

Maka tidak hairanlah mendiang Steve Jobs, pengasas jenama Apple sendiri melarang penggunaan gajet pada anak-anak beliau. Malah, jurutera dan eksekutif teknikal Silicon Valley turut mengambil langkah yang sama dengan menghantar anak mereka ke No-Tech Waldorf School.

Jadi, apa tindakan kita sebagai ibu bapa?

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Yang Popular

To Top