Asuh

Tiada ‘Screen Time’ Untuk Bayi, Maksimum 1 Jam Sehari Untuk Kanak-kanak – Garis Panduan WHO Terbaru

656
SHARES

Kanak-kanak bawah 5 tahun disarankan agar tidak menghabiskan lebih daripada satu jam sehari menonton televisyen dan video atau bermain permainan komputer.

Manakala bayi yang berusia kurang dari 1 tahun tidak sepatutnya didedahkan kepada skrin elektronik sama sekali, menurut garis panduan atau guideline terbaru yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu, 24 April 2019 yang lalu.

Agensi tersebut menegaskan bahawa anak-anak zaman moden kini harus aktif secara fizikal dan mendapatkan tidur yang cukup untuk membantu mengembangkan tabiat seumur hidup yang baik serta mencegah obesiti atau penyakit lain di kemudian hari.

Foto Kredit: huffingtonpost.com

Sekurang-kurangnya 3 Jam Aktiviti Fizikal Setiap Hari

WHO juga menyarankan agar kanak-kanak meluangkan sekurang-kurangnya 3 jam sehari untuk melakukan aktiviti fizikal.

Bayi pula dicadangkan agar memperbanyak aktiviti bermain di lantai dan mengelakkan sebarang bentuk aktiviti skrin sama sekali, tidak kiralah menonton TV mahupun video di handphone.

Ini kerana kanak-kanak yang tidak aktif menyumbang kepada peningkatan bilangan kes obesiti dan masalah berlebihan berat badan di tahap yang makin membimbangkan di seluruh dunia.

Pencegahan Perlu Bermula Awal

Berat yang berlebihan boleh mengakibatkan kematian awal dari penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan beberapa bentuk kanser.

“Mencegah kes-kes seperti ini perlu bermula dalam kehidupan awal,” kata Dr Bull.

1 daripada 3 orang dewasa hari ini mengalami berat badan berlebihan atau obes, manakala 1 daripada 4 orang dewasa tidak melakukan aktiviti fizikal yang cukup, katanya lagi.

“Kini 40 juta kanak-kanak di seluruh dunia mempunyai berat badan berlebihan. Daripada jumlah tersebut, 50 peratus berada di Afrika dan rantau Asia Tenggara,” tambah beliau.

Zaman kanak-kanak adalah tempoh di mana berlakunya perkembangan fizikal dan kognitif yang pesat. Dalam tempoh inilah tabiat terbentuk dan rutin gaya hidup keluarga mula ditanam pada diri.

“Tingkah laku sedentari, iaitu memilih sama ada menunggang pengangkutan bermotor daripada berjalan atau berbasikal, duduk di meja di sekolah, menonton TV atau bermain permainan berasaskan skrin yang tidak aktif semakin banyak dan dikaitkan dengan kesihatan yang kurang baik,” kata WHO.

Masalah Tidur Juga Punca Obes,  ‘Screen Time’ Faktor Penyumbang

Tidur yang tidak mencukupi telah dikaitkan dengan peningkatan pengumpulan lemak yang berlebihan seperti yang diukur oleh indeks jisim badan (BMI).

WHO menyarankan waktu tidur sebanyak 10 hingga 13 jam sehari bagi kanak-kanak berusia bawah 5 tahun.

Tempoh tidur yang lebih pendek dikaitkan dengan lebih banyak tontonan TV dan masa yang dihabiskan bermain permainan komputer.

Semua ini berkait rapat dan ibu bapa perlu mengambil tindakan untuk mengawalnya.

Bukan Mudah, Tapi Tak Mustahil!

Dalam zaman serba moden begini, memang diakui tak mudah untuk ibu bapa menidakkan penggunaan gajet atau peranti elektronik kepada anak-anak.

Ianya bukan saja memudahkan ibu bapa, tetapi ia juga digunakan sebagai medium pendidikan yang berkesan dan lebih menarik minat mereka.

Namun, kita harus menyedari impaknya terhadap kanak-kanak bagi jangka masa panjang.

Tengok pada statistik pula, Malaysia adalah tersenarai ‘paling gemuk’ di Asia baru-baru ini. Takutnya!

Jadi, jangan pandang ringan ya. Tak salah kan kalau kita sama-sama cuba mengehadkan penggunaan gajet dan TV pada kanak-kanak.

Mak ayah ajaklah mereka beraktiviti di taman, ataupun sekadar di halaman rumah. Yang penting, mereka dapat bergerak aktif dan mengeluarkan peluh, taklah tenung skrin saja ok!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×