Didik

Jangan ‘Bunuh’ Perkembangan Anak. 7 Kerugian Besar Bila Mereka Tak Bermain Di Luar

1.3K
reads
manfaat bermain di luar

“Kasihan pula aku dengan budak-budak ni. Setiap hari aku balik kerja hari dah nak gelap. Macam manalah nak dapat manfaat bermain di luar. Bahayakah kalau berterusan begini?”

Semakin hari, anak-anak semakin cepat terdedah kepada gajet dan peranti elektronik di usia yang awal. Menurut kajian di Amerika, anak-anak kini hanya meluangkan masa antara 4 hingga 7 minit di luar setiap hari berbanding 7 jam di hadapan skrin!

Sebenarnya, terlalu banyak manfaat bermain di luar yang boleh didapati oleh anak. Malah, terdapat saranan yang menggalakkan anak bermain di luar tidak kira apa pun cuaca pada hari itu.

Tidak dinafikan bahawa penggunaan gajet mempunyai kesan positif terhadap pendidikan anak dan dapat membantu ibu bapa. Namun, pakar berpendapat bahawa impak negatifnya boleh memberi kesan jangka panjang kepada kanak-kanak sekiranya ia digunakan secara berterusan tanpa pemantauan daripada ibu bapa.

7 Sebab Anak Kita Patut Bermain Di Luar. Rugi Besar Kalau Asyik ‘Terkurung’ Di Rumah!

Ini 7 sebab kita patut biarkan anak bermain di luar.

1. Anak Lebih Sihat

Menurut penelitian dari Majalah TIME, anak yang dibiarkan bermain ‘kotor’ adalah 3 kali ganda lebih sihat.

Apabila anak bermain di luar, mereka terdedah kepada mikrob aktif yang berfungsi mempertahankan organ dalaman tubuh daripada bakteria. Ironinya, anak yang sering dilindungi dan bermain di dalam rumah sebenarnya lebih mudah terdedah kepada risiko lelah (asthma) dan juga alergi.

anak selalu sakit

Foto Kredit: justdakhila.com

2. Memacu Perkembangan Otak

Sungguhpun sebuah gajet boleh membantu anak kita mengenal huruf dan nombor, kita seharusnya sedar bahawa memperkenalkan anak kepada alam sekitar adalah jauh lebih bermanfaat untuk usia mereka. Ini kerana, di sinilah berlakunya eksplorasi terhadap semua jenis deria – penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau, dan rasa.

Menurut Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli, 3 tahun pertama pertumbuhan otak adalah sangat penting, di mana saiz otak adalah dua pertiga daripada saiz otak dewasa. Apabila anak-anak mengalami masalah kurangnya stimulasi sensori seperti yang dilihat dalam rajah di bawah (ruang-ruang kosong), rugi besarlah jika sel-sel otak tersebut mati begitu sahaja.

manfaat bermain

Foto Kredit: ukm.my

3. Membina Keyakinan Diri

Sebaik saja kita melangkah ke luar rumah, kita sebenarnya melangkah daripada zon selesa. Secara tidak langsung, perasaan ini akan menggalakkan lebih banyak aktiviti menyelesaikan masalah (problem solving skill), terutamanya dalam diri anak-anak kecil.

Oleh kerana aktiviti bermain di luar adalah bebas dan tidak berstruktur, minda mereka akan lebih berkembang kerana mereka perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan – berbanding sekadar menatap skrin televisyen atau gajet. Melalui proses ini, anak-anak belajar untuk membuat keputusan, tindakan, dan menguruskan emosi. Semua ini membantu mereka berasa lebih konfiden.

4. Lebih Petah Bercakap

Manfaat bermain di luar antara lainnnya adalah menggalakkan interaksi dan ekspresi emosi yang sihat. Ini disokong oleh pelbagai pemerhatian yang mendapati bahawa anak kecil akan menggunakan 5 kali ganda lebih banyak perkataan semasa bermain di luar rumah berbanding di dalam.

Dalam sebuah artikel yang diterbitkan di The New York Times, penulis buku iBrain:Surviving the Technological Alteration of the Modern Mind, Dr Gary Small mengatakan anak-anak yang menghabiskan terlalu banyak waktu dengan teknologi cenderung mengalami gangguan interaksi serta kebolehan komunikasi. Tidak hairanlah, ia juga dikaitkan dengan masalah speech delay.

anak malas

Foto kredit : makesmokinghistory.org.au

5. Bantu Anak Tidur Lebih Awal

Bermain di luar bukan saja menyeronokkan, tetapi ia juga boleh membantu anak untuk menyalurkan tenaga mereka yang ‘tak pernah habis’. Bila tenaga ini dapat disalurkan dengan betul, mereka sebenarnya dapat tidur lebih awal. Sikap agresif dan tantrum merupakan salah satu tindakbalas untuk anak mengeluarkan tenaga dan mengekspresikan perasaan mereka.

Malah, jika anak anda bermasalah dalam mematuhi waktu tidur, cuba periksa semula waktu yang diluangkan oleh mereka untuk bermain gajet. Dalam sebuah artikel My Positive Parenting hasil kerjasama oleh Persatuan Pediatrik Malaysia & Persatuan Psikiatri Malaysia, ditegaskan bahawa penggunaan gajet berpotensi untuk mengganggu waktu tidur kanak-kanak, iaitu sekurang-kurangnya 12 jam jam setiap hari.

6. Kurang Risiko Obesiti

Seperti yang kita sedia maklum, bermain di luar tentunya akan membantu anak bergerak lebih aktif berbanding duduk di sofa. Oleh itu, ia dapat menjadi langkah terawal untuk mengelakkan komplikasi penyakit seperti diabetes, serangan jantung, rabun jauh, dan sebagainya.

Foto Kredit: huffingtonpost.com

7. Mengajarkan Tentang Tanggungjawab

Untuk berinteraksi dengan alam sekitar, ia adalah salah satu bentuk tanggungjawab sosial. Contohnya, mereka akan belajar untuk tidak membuang sampah merata-rata, melayan kucing jalanan dengan baik, berjumpa kawan baru, dan tidak merosakkan harta awam.

Ini semua tak mungkin dapat diajar kalau tidak didedahkan kepada dunia luar. Sedikit sebanyak, ia turut mendidik anak menjadi lebih prihatin dan bertimbang rasa.

anak suka bergaduh

Foto Kredit: babyzzz.ru

Jangan ‘Bunuh’ Perkembangan Anak

Mungkin kita tidak menyedari bahawa anak kita selama ini ‘terasing’ daripada alam semulajadi seperti tumbuhan, haiwan, batu-batuan, awan, dan langit. Mereka sepatutnya mampu melempar bola, melompat, berlari, meneroka, menyentuh, dan menikmati masa di luar. Semua ini adalah manfaat bermain di luar yang merangsang perkembangan saraf motorik.

Tak perlu jauh-jauh, bermain di halaman rumah atau taman permainan awam pun dah cukup bagi mereka. Walaupun nampak kecil, ia adalah dunia yang serba gergasi untuk mereka terokai.

Yang Popular

To Top